Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempengerusikan Persidangan Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187 di Bangunan Kompleks Islam Negeri Perak di Ipoh, Perak, semalam. Turut serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (lima dari kiri).
Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Persidangan Ke-187, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di Ipoh, Perak semalam.
SEGALA puji milik Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Kali Ke-187, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.
Kali terakhir Almarhum bertitah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dizahirkan semasa berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-117, bertarikh 20 Februari 1997. Antara peringatan Almarhum semasa menzahirkan titah tersebut, dapat dirumuskan kepada tujuh perkara:
Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah badan tertinggi yang diamanahkan sebagai pembuat dasar, penentu matlamat serta pengatur strategi dan keutamaan; oleh itu segala perbincangan dan keputusan Majlis mempunyai kesan besar dan langsung terhadap kedudukan serta kemajuan agama dan masyarakat Islam.
Kedua: Amanah dan tanggungjawab membangun dan memajukan masyarakat Islam perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, kesungguhan, berstrategik dan kerelaan.
Ketiga: Kemajuan dan pencapaian ekonomi dan material tidak memberi makna sekiranya umat Islam lemah dari segi iman.
Keempat: Pentingnya pendidikan agama untuk melahirkan umat Islam yang maju, berdaya saing dan bertakwa.
Kelima: Umat Islam perlu bersatu, memiliki kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu, sanggup bekerja kuat dan memiliki disiplin yang tinggi.
Keenam: Perlunya diutamakan pembinaan sahsiah di kalangan umat Islam dengan memberikan perhatian kepada program membina keluarga dan rumah tangga bahagia.
Ketujuh: Pentingnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak memantapkan usaha memajukan tanah-tanah wakaf dan Baitulmal dan Majlis perlu berusaha untuk mendapatkan lebih banyak tanah yang strategik dan berpotensi supaya dapat dimajukan secara komersial. Walaupun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah mangkat, kata-kata yang telah dizahirkan oleh Almarhum 17 tahun lalu, hendaklah terus dijadikan kompas panduan untuk memandu arah haluan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Semoga roh Almarhum dilimpahkan segala ihsan daripada Allah SWT, ditempatkan bersama roh para Solihin.
Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada Allah SWT, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum. Al-Fatihah.
Atas nama peribadi Beta sebagai anakanda kepada Almarhum serta bagi pihak Paduka Bonda Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan seluruh anggota keluarga Almarhum, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri Perak, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta pelbagai agensi, institusi, pertubuhan dan individu yang terlibat baik secara tertera dan secara terselindung, mengendalikan urusan pemakaman Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Beta amat tersentuh, menyaksikan begitu ramai kalangan rakyat jelata dari pelbagai lapisan, pegangan agama dan kaum yang datang berduyun-duyun; di kalangan mereka ada yang uzur, berusia tua, bertongkat, dipapah, berkerusi roda, berpakaian lusuh, berjalan kaki mendaki bukit - memanjat tangga istana, tetapi berhati cekal untuk menziarahi dan mendoakan kesejahteraan jenazah Almarhum.
Beta percaya, kebanyakan mereka, tidak pernah menemui Almarhum secara peribadi semasa hayat Almarhum, tetapi secara khusus, mereka mempamerkan semangat kasih setia rakyat kepada batang tubuh seorang raja pemerintah yang telah mangkat; dan secara simboliknya, mereka mempamerkan sifat kesetiaan, mendukung kelangsungan institusi pemerintahan berteraskan raja.
Dalam suasana hiba menghadapi kemangkatan ayahanda Beta, kehadiran rakyat biasa ini, telah menjadikan Balai Rong Seri Istana Iskandariah sebagai bilik darjah pengajian kepada Beta.
Pada ambang Beta dimasyhurkan sebagai seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan, pintu hati Beta dibukakan oleh Allah SWT kepada satu pendidikan yang amat berharga, untuk Beta dapat mengenali hati budi rakyat jelata secara dekat. Kehadiran mereka di Balai Rong Seri, telah menginsafkan Beta akan nilai kasih serta erti kesetiaan rakyat jelata kepada Raja mereka.
Kehadiran mereka telah meningkatkan kesedaran Beta bahawa tanggungjawab utama seorang raja pemerintah itu, adalah untuk memastikan menyempurnakan pemerintahan secara adil, mengambil berat akan hal ehwal rakyat, mempamerkan rasa kasih terhadap rakyat, membela nasib rakyat biasa yang majoriti. Bahawa raja pemerintah itu wajib memberikan setinggi-tinggi perhatian terhadap kehidupan rakyat biasa - rakyat jelata yang merupakan kumpulan majoriti penduduk dalam sesebuah negara.
Titah di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 187 ini, merupakan titah sulung yang Beta zahirkan atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.
Hubungan langsung Beta dengan Majlis bermula pada 1 Julai 1997, ketika Beta diperkenankan lantikan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak oleh Marhum Al-Maghfur-Lah.
Tanpa disedari, lantikan tersebut merupakan satu latihan yang disediakan oleh Almarhum ayahanda Beta, mempersiapkan diri didik Baginda, untuk pada kemudian hari nanti, mengambil tanggungjawab lebih besar sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak.
Ia adalah amanah dan tanggungjawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil di hari kebangkitan; dengan keinsafan dan kesedaran akan peringatan yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab bermaksud;
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan" .
Pengalaman bersama ahli-ahli Majlis dan amanah untuk memimpin Majlis, telah memberi ruang memperdekat Beta dengan para ulama dan ilmuwan Islam, satu pendedahan dan pengalaman yang amat berharga.
Demikian perancangan dan wawasan seorang ayahanda kepada anakandanya, yang pada hari ini diamanahkan mewarisi takhta singgahsana seorang Raja Melayu, sekali gus dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Dengan penentuan Ilahi juga, pada pagi ini, titah sulung atas nama seorang Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah berlangsung dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
Titah yang dizahirkan pada pagi ini, merupakan titah terakhir Beta atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
Beta pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak atas kapasiti seorang Yang Dipertua ketika berlangsungnya Persidangan Majlis kali ke-118 pada 28 Ogos 1997. Ketika menzahirkan titah, Beta telah menyentuh lima perkara utama;
Pertama: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak perlu bertindak secara strategik dan berhati-hati supaya tidak timbul kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik Majlis.
Kedua: Perlunya umat Islam memiliki disiplin dan daya ketahanan diri yang kuat terutama dalam mengharungi era globalisasi dan era teknologi maklumat.
Ketiga: Kebimbangan atas masalah gejala sosial yang kian gawat dan perlu ditangani dengan kebijaksanaan dan kewarasan.
Keempat: Perlu ditingkatkan program-program keagamaan terutama program-program yang melibatkan golongan remaja.
Kelima: Perlunya institusi masjid dimakmurkan serta dihidupkan dengan pelbagai aktiviti, di samping memastikan kebersihan dan keindahan landskap di perkarangan dan kawasan masjid.
Perkara-perkara yang Beta zahirkan semasa pertama kali mempengerusikan Persidangan Majlis, masih relevan dan masih perlu diberikan perhatian. Sehingga persidangan ini, Beta telah mempengerusikan 70 kali Persidangan Majlis.
Beta menzahirkan penghargaan di atas bimbingan dan nasihat yang telah disampaikan kepada Beta oleh ahli-ahli Majlis demikian juga oleh para alim ulama untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di bahu Beta.
Beta memohon untuk terus mendapat nasihat dan bimbingan daripada para alim ulama, memandu Beta untuk memenuhi amanah yang lebih besar sebagai Amirul Mukminin.
Mempertahankan kemurnian, kesucian serta keagungan syiar Islam adalah amanah serta tanggungjawab besar yang wajib disempurnakan sebaik mungkin dan tidak boleh dikompromikan.
Tanggungjawab tersebut hendaklah disempurnakan secara bijaksana lagi bestari, baik dalam bentuk kata-kata yang diungkapkan begitu juga melalui tindak tanduk yang dilakukan oleh umat Islam, lebih-lebih lagi oleh institusi yang diamanahkan dengan urusan hal ehwal Islam.
Umat Islam dan institusi yang berkaitan wajib memperlihatkan sebaik contoh teladan ketika memenuhi tanggung jawab yang telah diamanahkan dengan melaksanakannya secara amanah, jujur, adil lagi saksama. Umat Islam wajib mencerminkan minda berilmu dan berperibadi mulia.
Imej Islam perlu dicerminkan melalui gerak kerja yang berlandaskan unsur-unsur keinsanan serta sifat-sifat kemanusiaan, bersandarkan hikmah - bersandarkan timbang rasa. Keagungan agama Islam jangan sama sekali dicemarkan kerana adanya tindak tanduk bersifat impulsif lagi ofensif yang didorong naluri; sesungguhnya tindak tanduk sedemikian amat tidak bijaksana.
Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya. Hakikat ini wajib diterima dan amat perlu difahami. Islam bukan sahaja pegangan akidah beragama; Islam adalah addin, budaya dan tata cara adab kehidupan yang lebih menyeluruh. Islam amat mengutamakan keadilan - mementingkan keharmonian - menganjur perdamaian; dan sama sekali tidak membenarkan perlakuan berunsur penindasan.
Untuk itu umat Islam dan institusi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam perlu peka kepada sensitiviti penganut agama lain. Pada masa sama, orang bukan Islam pula wajib memahami serta menghormati sensitiviti umat Islam.
Mereka hendaklah sensitif akan perasaan umat Islam apabila mereka memilih untuk mengupas apatah lagi ketika mereka memilih untuk mengkritik secara terbuka perkara-perkara menyentuh hukum hakam Islam serta seruan Ilahi yang terkandung di dalam al-Quran, begitu juga panduan kehidupan yang terkandung di dalam Sunah Rasul.
Membina keharmonian adalah tanggungjawab kolektif semua warga. Oleh itu perbuatan tidak melanggar batasan dan tidak menyeberangi sempadan antara agama, wajib dihormati oleh setiap warga pada setiap masa.
Seorang Yang Dipertua baru akan dilantik untuk menggantikan Beta. Namun Beta akan terus memantau dan mengikuti secara dekat kegiatan-kegiatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Berikanlah sepenuh kerjasama kepada pengganti Beta.
Semoga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sentiasa mendapat rahmat serta petunjuk Ilahi dan terus mencipta kejayaan lebih gemilang lagi cemerlang.
Warna-warni politik
Belantan
http://umno-kgserdang.blogspot.com/2014/06/jangan-cemarkan-keagungan-agama-islam.html
No comments:
Post a Comment