Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 14 June 2014

Misteri Tanda-Tanda Awal Ramadhan

WALAUPUN anak bulan Ramadan lama lagi akan muncul, beberapa tanda-tanda awal sudah dilihat, didengar, dibaca malah dirasai oleh kita semua bahawa puasa sudah tiba.

Seminggu dua ini semasa mendengar siaran radio ketika kenderaan merangkak dan terperangkap dalam kesesakan teruk pulang dari pejabat, tiba-tiba nyanyian di stesen pilihan terhenti.

Dalam keresahan melihat kenderaan merangkak seperti kura-kura, dan bimbang petrol dalam tangki akan habis, kedengaran suara seorang perempuan begitu manja dan menggoda, berbisik: “Yusuf Taiyoob....”

Bisikan itu salah satu tanda bahawa kita akan berpuasa.

*SELAIN suara manja mengiklankan kurma, satu lagi tanda awal puasa ialah apabila tiba-tiba sahaja bekalan barang keperluan harian berkurangan atau tiada langsung di kedai dan pasar raya.

Minggu lalu pengguna beberapa negeri di utara Semenanjung mengeluh kerana kesukaran mendapat bekalan minyak masak. Tak fasal-fasal minyak yang selalu melimpah tiba-tiba hilang.

Tanya pada pekedai runcit kenapa tiada minyak masak, mereka kata tidak dapat bekalan daripada pemborong. Tanya pada pemborong, mereka kata tidak dapat bekalan daripada pengilang.

Peruncit kata pemborong. Pemborong kata pengilang. Betul-betul macam lagu ‘Bangau, Oh Bangau’. Apabila lagu bangau muncul, itu tandanya puasa sudah hampir.

*SUDAH menjadi semacam tradisi sejak turun-temurun, setiap kali musim puasa atau raya banyak barang keperluan tiada di pasaran. Bukan sahaja minyak masak, jangan terkejut jika sehari dua nanti tepung gandum dan gula pun hilang dari kedai.

Bersedialah juga untuk menghadapi kekurangan bekalan ayam, hinggakan ayam tua bangka pun tidak ada di pasaran. Hatta kelapa pun akan sukar diperoleh, harganya semahal cincin permata.

Sesetengah peniaga sengaja menyembunyikan barang atau menjualnya pada harga melebihi had siling. Mereka hendak untung lebih, dan sanggup menjadi puntianak menghisap darah pengguna. Kehadiran puntianak pun satu tanda kedatangan puasa.

*SEPERTI biasa, setiap kali barang hilang atau naik melampau, kerajaan segera mengeluarkan kenyataan untuk membanteras kegiatan puntianak.

Seperti yang dilaporkan media Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengarahkan pengilang untuk meningkatkan pengeluaran tepung gandum dan minyak masak paket antara tujuh hingga 10 peratus bagi menampung permintaan tinggi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Selalu menteri kata: “Kita akan bertindak tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.” Tetapi tidak ada pun tindakan diambil. Ini bukan tanda puasa akan tiba, ini tanda ketidakcekapan kita.

*APA pun ada satu berita baik menjelang puasa. Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memperuntukkan RM45 juta di bawah Skim Bazar Ramadan 2014, memberi pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil yang ingin berniaga pada bulan puasa.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, skim yang turut dikenali sebagai Skim Pembiayaan MikroI Bazar Ramadan tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah berlandas Syariah sehingga RM3,000 untuk dijadikan modal perniagaan.

Tempoh bayaran balik pinjaman ialah dua bulan selepas Ramadan iaitu 50 peratus dijelaskan sebelum tamat Syawal dan bakinya perlu dibayar sebulan selepas Syawal .

Harap-harap kita tidak lagi mendengar cerita lama: berebut meminjam, tetapi liat membayar. Ingat, berdosa tidak bayar hutang!

*INI bukan tanda awal puasa. Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corp. Bhd, (YTL) Tan Sri Francis Yeoh berkata, artikel mengenai kapitalisme kroni telah dipetik melalui gambaran yang salah.

Beliau sedih kerana ayat yang diucapkan pada majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia kali ketujuh baru-baru ini telah disalah tafsir seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita bahasa Inggeris.

“Saya amat sedih kerana kata-kata saya telah disalah tafsir. Bagaimanapun dengan rendah hati saya memohon maaf jika kenyataan yang disalah tafsir itu memberi kesan. Saya sangat menyesal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Harap selepas ini Tan Sri kena berhati-hati apabila membuat kenyataan, supaya wartawan tidak tersalah tafsir atau tersalah petik.

*AKHIR kalam, beberapa orang kawan sepejabat mula mengeluh sebab gastrik, dan meminta surat pengesahan doktor. Itu pun tanda awal kedatangan Ramadan! SUMBER

http://pistolnakal.blogspot.com/2014/06/misteri-tanda-tanda-awal-ramadhan.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...