KENYATAAN MEDIA
DELEGASI PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM KE SEMAKAN BERKALA
SEJAGAT KE GENEVA, SWITZERLAND (MUSLIMUPRO)
27 Mac 2014 bersamaan 25 Jamadil Awal 1435
Sesi penerimaan muktamad (final adoption) bagi Malaysia di pusingan kedua Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review - UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland telah selesai pada 20 Mac 2014 dengan 150 iaitu 2/3 dari keseluruhan syor-syor diterima secara penuh atau secara prinsip manakala baki syor-syor ditolak Kerajaan Malaysia. Pihak MuslimUPRo ingin sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, yang telah menzahirkan penegasan terhadap tuntutan-tuntutan Hak Asasi Manusia (HAM) bersifat kontroversi, tetapi pada masa yang sama mengambil inisiatif untuk memperbaiki keadaan HAM di Malaysia menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan dan realiti agama, budaya dan sejarah Negara.
Delegasi MuslimUPRo seramai enam orang telah pun selamat kembali ke tanahair. MuslimUPRo ingin menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas taufiq dan inayahNya untuk kami menyuarakan kegusaran umat Islam terhadap beberapa tuntutan tidak munasabah HAM, melalui siri lobi, pertemuan serta perbincangan dengan wakil-wakil misi asing dan NGO-NGO HAM di Geneva. Usaha kecil MuslimUPro ini adalah berkat doa, sokongan serta sumbangan pelbagai pihak, khususnya pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) apabila kesedaran mengenai isu-isu yang melatari HAM ini mulai tercetus, khususnya semenjak 1 Mac 2012 susulan penyataan keprihatinan NGI terhadap Resolusi 17/19 PBB mengenai Hak-hak berdasarkan SOGI.
Semasa di Geneva, kekhuatiran MuslimUPRo telah dilupuskan dengan pendirian bertanggungjawab Kerajaan Malaysia menolak tuntutan-tuntutan tidak munasabah khususnya enam perkara utama yang menjadi pemusatan keprihatinan MuslimUPRo. Kami bersyukur, walaupun dengan beberapa kelemahan situasi HAM yang wujud dan boleh diperbaiki, bahawa secara keseluruhannya Malaysia tegas mempertahankan HAM tanpa berkompromi dengan asas-asas utama Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3(1) berhubung keistimewaan kedudukan Islam sebagai agama Negara.
Walau bagaimanapun, kami menyaksikan dengan mata kami sendiri, betapa kebiadaban pihak COMANGO berterusan, apabila secara terus menerus memanipulasi fakta dengan melemparkan pelbagai tuduhan. Acara sampingan yang dianjurkan COMANGO pada 21 Mac 2014 terbukti menjadi medan yang menyerlahkan angkuh mereka yang mahukan tuntutan-tuntutan tidak munasabah diterima kerajaan Malaysia. Selain dari menyatakan tidak puas hati terhadap pendirian tegas Malaysia untuk tidak terburu-buru meratifikasi baki enam konvensyen HAM (termasuk ICCPR & ICERD) mereka juga terus menimbulkan tuntutan berkaitan undang-undang perkahwinan Islam. Mereka terus campurtangan di dalam hal ehwal undang undang Islam dengan mempersoalkan penafian Malaysia tentang wujud sebarang diskriminasi terhadap wanita Islam dan mendesak Malaysia menarik semula pengecualian atau "reservation" di dalam beberapa konvensyen berkaitan CEDAW dan CRC.
Yu Ren Cheng (Women's Aid Organization) menyatakan: "We are disappointed that Malaysia rejected all seven recommendations to remove its reservations to CEDAW, CRC, and CRPD." "Malaysia stated during its review that it is ‘unfounded' that Malaysia's ‘Islamic Family Law … discriminates Muslim women on marriage issues.' This means Malaysia should have no objections to removing its reservations to Article 16 of CEDAW, on equality in marriage."
Selain itu, isu LGBT terus dipolemikkan dengan kenyataan Thilaga Sulathireh dari Seksualiti Merdeka - Pada sesi lalu, Malaysia telah menolak terus segala tuntutan berkaitan 'Sexual orientation and gender identity (SOGI). Thilaga memanipulasi isu ini dengan menuduh pihak berkuasa dan autoriti agama "mendiskriminasi" golongan LGBT, sedangkan mereka berselindung di sebalik isu ini dengan bermatlamat akhir untuk mendapat pengiktirafan perlakuan homoseksual secara bebas dan perkahwinan sesama jenis. Thilaga: "Violence against LGBT persons continues with impunity by the police, religious officials and some members of the public." "Restrictions on freedom of assembly, association and expression equally affect LGBTI persons in Malaysia. It is of great concern that issues pertaining to sexual orientation and gender identity continue to be politicized to further create religious and racial divide in Malaysia,".
Kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada COMANGO juga telah menyebabkan beberapa NGO luar Negara seperti British Humanist Association, Amnesty International, Human Rights Watch, Action Canada for Population and Development dan sebagainya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat mengenai isu-isu berkaitan Islam dan HAM di Malaysia, malah menggesa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi memastikan tuntutan-tuntutan mereka dipenuhi. Malah, kami percaya bahawa untuk tempoh seterusnya sehingga sesi pusingan ketiga UPR apda 2017, COMANGO akan terus membuat tuntutan tidak munasabah terhadap Malaysia.
Pihak MuslimUPRo, dengan kekuatan dan dokongan NGI-NGI yang prihatin tentang gerakan COMANGO tersebut akan meneruskan lobi dan usaha menjelaskan persepktif sebenar mengenai situasi HAM di Malaysia, khususnya yang melibatkan kedudukan Islam. Di kesempatan ini MuslimUPRo ingin mengumumkan secara rasmi penubuhan "Centre for Human Rights Research And Advocacy" atau ringkasnya CENTHRA yang akan berdaftar di bawah undang-undang Malaysia dan berfungsi sebagai entiti non-partisan yang memfokus pada isu-isu Islam dan HAM. CENTHRA merupakan penzahiran prinsip permuafakatan NGI-NGI di Malaysia yang mahu menangani isu HAM secara kolektif, proaktif dan berjangka masa panjang. Kemuncak inspirasi penubuhan CENTHRA juga lahir dari kesepakatan NGI-NGI seusai Seminar Islam dan Hak Asasi Manusia yang dianjurkan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaaan Malaysia pada 12 Mac 2014, beberapa hari sebelum delegasi MuslimUPro berangkat ke Geneva.
MuslimUPro merakamkan rasa penghargaan terhadap YADIM yang berjaya mengumpulkan kesepakatan lebih 80 NGI dan terhadap UKM yang menampilkan keprihatinan akademik berwibawa yang berupaya menyediakan landasan kukuh untuk CENTHRA menyerlahkan artikulasi dan hujahan Islam dan HAM di pelbagai peringkat. Kerjasama seumpama ini juga akan diteruskan dengan lebih banyak NGI di Negara ini dan di peringkat antarabangsa.
CENTHRA yang bakal mempunyai pejabat di Kuala Lumpur dan Geneva mempunyai objektif-objektif berikut:
- 1. Memperhalusi kajian tema-tema penting di sekitar isu-isu HAM menurut pandangan Islam;
2. Memainkan peranan sebagai wahana untuk MuslimUPRo dan NGI berkongsi idea dan pengalaman semasa Proses UPR dan mekanisme-mekanisme HAM dan mendapatkan respons serta pandangan arah tuju perjuangan HAM menurut perspektif Islam;
3. Meneruskan sebahagian inisiatif penyelidikan dan penerbitan sebagai sumbangan terhadap kegiatan ilmiah di dalam bidang kajian Islam dan HAM;
4. Memperkasa wacana dan usaha advokasi Islam dan HAM di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa dengan pendedahan isu-isu mutakhir serta kupasan cabaran-cabaran yang melatari perkembangan perbahasan Islam dan HAM di pelbagai peringkat.
5. Mengenal pasti di kalangan ahli akademik dan aktivis NGI yang boleh diketengahkan untuk memperkasa agenda memperjuangkan isu-isu HAM dari peringkat serantau dan antarabangsa termasuk di dalam proses UPR dan mekanisme lain HAM di pelbagai peringkat.
Di antara perancangan terdekat MuslimUPRo melalui CENTHRA termasuklah mengadakan sesi perundingan di peringkat kebangsaan bagi meneliti laporan penuh UPR 2013 yang telah diterima secara muktamad pada 20 Mac 2014. Sesi perundingan ini diharapkan dapat mengumpulkan para pemimpin NGI bersama-sama wakil ulama dan sarjana Muslim yang akan mengkaji syor-syor UPR 2013, bagi membantu perlaksanaan syor-syor yang bertujuan memperbaiki situasi HAM di Malaysia, serta memberikan cadangan kepada pembaikan menjelang penilaian separuh penggal (mid-term assessment) UPR. Sesi perundingan tersebut juga akan membincangkan isu-isu yang masih menajdi kontroversi dan perlu ditangani secara bijaksana melalui mekanisme UPR dan saluran HAM di PBB.
Inisiatif berterusan MuslimUPRo untuk membuat siri penerangan kepada masyarakat awam tentang bahaya tuntutan-tuntutan COMANGO akan diteruskan. Di peringkat serantau, pihak MuslimUPRo telah mencetuskan persefahaman awal dengan Pusat Advokasi HAM Indonesia (PAHAM) dan Majlis Ulama dan Intelektual Muda Indonesia bagi merangka pendekatan berkesan menangani isu-isu Islam dan HAM secara berkesan di antara Negara-negara ASEAN.
Selain itu, MuslimUPRo juga telah merangka hasrat memperkukuh peranan Suruhanjaya Tetap dan Bebas OIC bagi Hak Asasi Manusia, dalam usaha menyemarakkan usaha pendidikan dan kesedaran mengenai perspektif Islam dalam HAM di kalangan Negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Usaha-usaha ini dilakukan atas keinsafan bahawa strategi permuafakatan adalah lebih berkesan di dalam usaha jangka panjang menangani faham sekular-liberal yang mewarnai persepktif semasa mengenai Hak Asasi Manusia.
En. Azril Mohd Amin memberi penjelasan kepada para wartawan
No comments:
Post a Comment