29 Jun - Pada pertengahan 90an, irama nasyid menjadi kegilaan ramai baik anak kecil sehinggalah warga emas dek munculnya pelbagai kumpulan nasyid ketika itu.
Seiring dengan masa dan ketika, irama nasyid tempatan tidak lagi menjadi sebutan kemungkinan besar kerana kurangnya karya baru dan segar yang boleh menggamit pendengar untuk menghayatinya.
Walaupun ramai peminat irama nasyid kini lebih meminati konsep yang di bawa oleh penyanyi antarabangsa Maher Zain, namun fenomena irama nasyid yang pernah mencetuskan fenomena di industri muzik tanah air dahulu masih lagi diingati sehingga kini.
Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh beberapa kumpulan nasyid lelaki tempatan masih lagi segar dalam memori.
Mari kita lihat siapakah mereka, mungkin anda juga masih mengenali kumpulan-kumpulan nasyid yang pernah mewarnai industri irama nasyid, ada juga di antara mereka yang masih kekal aktif menghasilkan karya sehingga kini.
Raihan
Pastinya anda semua masih lagi mengingati kumpulan nasyid terbaik sepanjang zaman ini. Mereka kini dianggotai oleh empat orang ahli iaitu Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Bin Mustaza. Sepanjang pembabitan mereka, Raihan pernah dianggotai oleh Nazrey Johani dan Nordin Jaafar serta Allahyarham Azhari Ahmad yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun 2001. Memulakan pembabitan kerjaya mereka sebagai artis rakaman pada tahun 1996 dengan lagu hits mereka yang mencetuskan fenomena seluruh Malaysia dan dunia yang berjudul "Puji-Pujian". Album pertama mereka ini berjaya terjual lebih 750,000 unit dan 3,500,000 di seluruh dunia. Telah melahirkan sebanyak 11 buah album, Raihan sentiasa mengharumkan nama Malaysia menerusi irama nasyid dan penah memenangi Anugerah Kembara sebanyak tiga kali di Anugerah Industri Muzik Malaysia.
Rabbani
Selepas kejayaan yang dicipta oleh Raihan, maka bermulalah artis nasyid tumbuh bak cendawan selepas hujan, di antaranya adalah kumpulan Rabbani yang mula melahirkan album pertama mereka pada tahun 1997. Tampil dengan kelainan apabila membariskan 11 orang ahli mereka yang ketika itu dianggotai oleh Zul, Rahmat, Arwah Ustaz Asri, Asri Ubai, Deen, Lokman, Azadan, Afendi, Azhar dan juga Azizan. Antara lagu-lagu mereka yang menjadi hits adalah "Pergi Tak Kembali", "Intifada" yang mana lagu-lagu ini merupakan hasil kerjasama mereka bersama KRU yang menampilkan irama nasyid yang segar dan diberi nafas baru.
Hijjaz
Menampilkan irama nasyid kontemporari, kumpulan ini dianggotai oleh 4 orang iaitu Munif, Isman, Faizal dan Ariffin serta Allahyarham Salleh merupakan di antara 4 orang ahli terawal mereka di zaman awal kemunculan kumpulan nasyid ini. Muncul dengan album pertama mereka pada tahun 1997 dan kesemua daripada mereka permah menganggotai kumpulan Nada Murni lebih daripada 10 tahun. Di antara lagu mereka yang popular adalah "Cahaya Ilahi", "Sumayyah", "Pelita Hidup" dan "Rindu". Kini kumpulan Hijjaz melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan selain masih aktif mengadakan persembahan di bawah syarikat milik mereka Hijjaz Music Entertainment.
Brothers
Kumpulan Brothers juga berjaya mencuri perhatian peminat muzik nasyid dengan lagu-lagu hebat mereka seperti "Teman Sejati" dan "Kedamaian". Walaupun kini kumpulan ini sudah pun tidak aktif lagu-lagu mereka tetap menjadi ingatan dan siulan. Penah dianggotai oleh Yasin, Syah, Salleh, Faiz dan Akbar, Brothers sering membawakan mesej-mesej murni di dalam koleksi lagu mereka buat tatapan pendengar. Yasin yang keluar dari kumpulan ini dan bergerak solo masih lagi aktif sebagai komposer lagu buat artis-artis ternama di Malaysia.
In-Team
Muncul pada tahun 1998, kumpulan nasyid yang dianggotai oleh empat orang anak muda ini pernah menjadi kegilaan golongan hawa terutamanya kaum remaja suatu ketika dahulu. Di awal pembabitan mereka di dalam industri muzik, In-Team terdiri daripada Syah, Amin, Hisyam dan Suhaimi. Selepas pengunduran Suhaimi, kini mereka kekal bertiga. Di antara lagu popular mereka adalah "Kasih Kekasih", "Impian Kasih", "Damba Kasih" dan banyak lagi.
Mirwana
Tanggal 1996 bermulalah karier kumpulan ini yang kini dianggotai oleh Akmal, Izzat, Hafiz, Along, Ikram dan Naim sejak dibangku sekolah lagi. Buat anda yang tidak mengetahui sejarah kumpulan ini, Mirwana pernah dianggotai oleh penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir suatu ketika dahulu sebelum menyertai rancangan hiburan realiti "One In A Million". Secara komersialnya, kumpulan ini mula mengeluarkan album mereka pada tahun 2004 dan popular dengan lagu "Aku Tanpa Cintamu", "Hikmah Kembara" dan banyak lagi.
https://my.entertainment.yahoo.com/news/penyanyi-nasyid-lelaki-berkumpulan-tempatan-170041888.html
No comments:
Post a Comment