Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 17 July 2014

Akta keharmonian disokong?

Oleh Ahmad Faris Abdul Halim

BEBERAPA anak muda yang menyertai perhimpunan haram Bersih menendang bekas gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak berkuasa bagi menyuraikan mereka di hadapan Stesen Putra LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur, pada 2011.

KITA sememangnya cukup bimbang sekiranya Rang Undang-Undang Harmoni Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 terlampau menjulang Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara Lapan yang memperuntukkan kesamarataan itu sehinggakan mengetepikan pula empat perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan Bahagian III berkaitan kerakyatan (Perkara 14-30).

Kekhuatiran ini pada dasarnya berasas kerana kelihatannya ketika ini yang berlegar-legar dalam fikiran sebahagian ahli berfahaman liberal dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) agak menjurus untuk menguar-uarkan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

Kebimbangan ini diperkukuhkan lagi selepas Majlis Peguam yang dikenali dengan bangkangannya terhadap kerajaan telah diminta, dibenar dan dibiarkan menetapkan dasar dan menggubal akta baharu ini dengan bebas sedangkan mereka jelas mempunyai agenda mereka yang tersendiri.

Tentunya kita jangan silap faham apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu keputusan menggantikan Akta Hasutan dihormati. Apa yang dibangkitkan Ahmad Zahid adalah sokongan bersyarat. Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan, kata Menteri ini, harus merangkumi tiga elemen utama iaitu agama, kaum dan budaya. Kewujudan tiga elemen sedemikian penting bagi memastikan akta berkenaan benar-benar relevan dan berfungsi dengan baik, terutama dalam melindungi perkara sensitif.

Andai kata kita merenung masa lalu, negara ini sebenarnya telah ditadbir mengikut undang-undang tertentu yang mengehadkan kebebasan-kebebasan tertentu. Sejarah kita, jika diimbas kembali telah dicemari banyak kejadian masalah dalaman.

Sejak zaman geng Gee Hin dan Hai San dalam tahun-tahun 1930-an sehingga Al-Ma'unah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2000, kita telah terdedah dengan keganasan.

Seseorang dapat melihat bahawa ini adalah benar apabila melihat kembali Tahun Darurat pada 1948-1960 yang disebabkan pengganas-pengganas komunis, konfrantasi Indonesia dan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Dari 2006 hingga 2011 pula, kita melihat banyak kejadian yang berbau perkauman dan agama seperti mencemar masjid, kuil dan gereja, melontar kepala lembu ke dalam kawasan kuil-kuil Hindu dan kepala babi ke dalam kawasan masjid dan surau terutamanya selepas Mac 2010.

Pada Julai 2011, Kuala Lumpur pula dibanjiri oleh kumpulan-kumpulan rusuhan politik berbaju kuning yang dipanggil Bersih 2.0 yang menuntut perubahan di dalam pilihan raya. Mereka tidak lagi memilih saluran Parlimen untuk menyalurkan tuntutan mereka.

Oleh itu berdasarkan semua insiden ini, negara ada keperluan untuk mengambil tindakan di bawah Undang-Undang seperti - Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Polis 1967, Akta Kediaman Terhad 1933, Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan akta-akta keselamatan dan ketenteraman awam yang lain.

Pentadbiran undang-undang ini, walaupun dikritik kerana hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang yang dipinggirkan, ia telah dapat mengawal banyak kejadian yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam aspek ini, UMNO selaku tunjang kerajaan sedia ada tidak boleh mengabaikan kebimbangan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang mempertikaikan akta menggantikan Akta Hasutan. UMNO kena ingat bahawa parti itu menjadi sandaran dan harapan orang Melayu.

Jangan nanti pisang berbuah dua kali yang setelah undang-undang pencegahan seperti ISA dimansuhkan dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dilupuskan pun, apa hasil yang diperoleh daripada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei tahun lalu? Lebih mengecewakan lagi apabila kegiatan militan bermaharajalela disebabkan tiada peruntukan menahan mereka yang terlibat.

Kelompongan yang wujud selepas ISA dimansuhkan membolehkan beberapa kumpulan militan seperti saki baki Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan yang terbaru militan yang berjuang di Syria dan Iraq beroperasi di Malaysia. Walaupun, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA telah diwujudkan, ia masih mempunyai kelemahan.

Misalnya selepas 28 hari seseorang ditahan, dia hendaklah dibicarakan di mahkamah terbuka. Soalnya, siapakah yang hendak menghulur tengkuk menjadi saksi? Untuk mengatasi kelemahan-kelemahan sebegini, pindaan telah dibuat di antaranya kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Dan apatah lagi golongan muda di Malaysia hari ini dilihat tidak terlalu mempedulikan kebaikan yang dibawa oleh merdeka atau apa maksud Rukun Negara. Mereka juga tidak peduli mengenai politik bertolak-ansur. Kebebasan menggunakan media alternatif terutama melalui internet telah membentuk satu set nilai kepada mereka yang mana berlawanan dengan kebiasaan ibu bapa mereka.

Adakah kita masih mahu menyo­kong segelintir yang diketahui berfa­ha­man liberal ter­babit dalam MKPN? Hakikatnya, mujur orang Melayu masih mempunyai satu aset yang tidak berjaya dihapuskan penjajah Inggeris iaitu hak-hak keistimewaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Ini kerana penjajah Inggeris sendiri menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Malahan Frank Swettenham pernah berkata orang Melayu mempunyai hak mereka sebagai pewaris kepada tanah ini. Dan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 pula, pegawai-pegawai tinggi Inggeris terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal ketika Bintang Tiga dan pengganas komunis cuba merampas Malaya.

Perkara pokok seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran raja-raja Melayu, hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu diberi peruntukan di dalam perjanjian tersebut.

Ini diperkuatkan lagi dengan laporan Suruhanjaya Reid yang terkandung ayat: "Pihak Pakatan dalam memorandum mereka berkata, Perlembagaan seharusnya memperuntukan bahawa Yang Di Pertuan Besar (Agong) perlu mempunyai tanggungjawab khas bagi mengawal kedudukan istimewa orang Melayu".

Ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudukan khas orang Melayu di sisi kaum-kaum lain di Malaya ketika itu. Maka, hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan walaupun ia telah dipinda sebanyak 45 kali, peruntukan itu tetap kekal sehingga kini di bawah perkara yang sama.

Menyelusuri fakta-fakta di atas itulah, maka satu rumusan perlu difikirkan oleh Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia serta NGO-NGO Melayu untuk terlibat sama membantu MKPN untuk merencana dan merangka draf terbaik Akta Keharmonian.

Di satu sudut, Perlembagaan negara bersulam dengan kontrak sosial juga perlu diperjelas dengan lebih mendalam supaya erti kata sebenarnya tidak lagi dipersoalkan seolah-olah menolak isi kandungan akta yang telah sedia untuk dibentuk.

Politik perkauman di negara ini mungkin akan melalui satu fasa baharu lebih mencabar yang didorong oleh pengaruh global. Adakah kesamarataan itu adil? Adil bukan bermakna sama rata. Jangan nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

* DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...