Bila Kuala Lumpur mahu berubah?
(Sinar Harian 21.7.14)
Ketika kerajaan negeri Terengganu sedang sibuk dengan program transformasi, tertanya-tanya saya, bilakah lagi Kuala Lumpur? Adakah cukup dengan bangunan yang melata dan melakar langit? Bagaimana dengan aktiviti-aktiviti mendidik jiwa manusia?
Jika sebelum ini kita mahukan bersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis, bagaimanakah dengan pembersihan maksiat?
Bandaraya Kuala Lumpur hidup 24 jam, tanpa mati. Berbanding di barat, negara bukan Islam, kebanyakan bandaraya mereka mati pada waktu malam. Tidak banyak aktiviti. Jika adapun, hanya pada hari minggu. Ketika itulah, mereka melepaskan ‘nafsu dan geram’.
Tetapi Kuala Lumpur tidak sedemikian, setiap hari kita melepaskan nafsu dan geram. Kenapa jadi sebegini? Tidakkah sepatutnya bandaraya kita perlu menjadi lebih Islamik selaras dengan konsep negara Islamik yang kita canangkan selama ini?
Apakah identiti Kuala Lumpur sebenarnya? Lebih barat daripada barat? Saya masih tercari-cari.
Jika di terengganu, terpampang sebesar-besarnya kata-kata “Allah Peliharakanlah Terengganu”. Bagaimana dengan Kuala Lumpur? Bilakah kita mahu gantung atau pampangkan kata-kata “Allah Peliharakanlah atau Selamatkanlah Kuala Lumpur”.
Saya fikir ramai yang akan bersetuju. Apatah lagi, orang bukan Islam yang mahu kita benarkan penggunaan kalimah Allah, terutama penganut Kristian. Jika mereka benar-benar ikhlas, saya tidak fikir bukan Islam akan menentang.
Ayuh! kita pampangkan nama Allah sebesar-besarnya di tempat-tempat tinggi bandaraya Kuala Lumpur. Paling baik dan cantik di menara KLCC, Menara Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bukit yang strategi seperti Bukit Bintang.
Biarkan Kuala Lumpur di kelilingi kalimah Allah. Saya amat yakin, ia dapat sedikit sebanyak mendidik dan menakutkan jiwa manusia. Ini amat penting, sebagai salah satu cara, mengingatkan manusia kepada Tuhan.
Jadikan Kuala Lumpur bandaraya berindentiti jawi. Jika tidak, kita tidak banyak bezanya dengan barat. Malah lebih barat dari barat. Saya tidak nampak ada sepatahpun huruf jawi di Kuala Lumpur seperti Kelantan dan Terengganu. Kebanyakannya semua huruf roman. Inikah identiti kita? Belajarlah dari Siam (Thailand), bagaimana mereka ‘menyiamkan’ rakyatnya.
Kerja kita hanya menyerbu pelaku maksiat. Kenapa kita tidak berusaha untuk didik mereka daripada melakukan maksiat? Justeru, sudah sampai masanya, beberapa berikut diambil perhatian.
Pertama, matikan Kuala Lumpur pada waktu malam, jika kita mahu ikut cara barat, jangan jadi lebih barat dari barat. Kita akan menjadi keparat.
Kedua, hiasi Kuala Lumpur dengan identiti negara ini yang bertunjangkan agama Islam Kita tidak perlu takut, kerana Islam adalah agama persekutuan.
Ketiga, hidupkan Kuala Lumpur dengan program ilmu, bukan hiburan yang melampau. Lambakan pusat-pusat hiburan mesti dihentikan. Aktiviti maksiat inilah yang menghidupkan Kuala Lumpur. Siapakah yang menjadi mangsa kalau bukan orang Melayu? Ultra kiasu hanya memperalatkan kita untuk mendapatkan keuntungan lumayan.
Keempat, cantikkan sungai-sungai dan longkang-longkang Kuala Lumpur yang kotor dan tersumbat. Jika di barat, sungai dan longkang yang merentasi bandaraya, airnya begitu jernih, spesis air seperti ikan dapat dilihat dengan jelas, berenang-renang ‘kegembiraan’. Tetapi tidak di Kuala Lumpur, juga bandaraya seperti Pulau Pinang. Spesis air pening kepala, malahan kadangkala, lebih menyedihkan bayi atau mayat tersangkut.
Keenam, perbanyakkan pusat-pusat ilmu di Kuala Lumpur, seperti perpustakan mini di tengah-tengah bandaraya. Biarkan pejalan kaki, merehatkan badan dan minda mereka dengan membaca. Cuba tiru apa yang dilakukan oleh Darul Arqam di Singapura. Pusat ini menjadi singgahan pejalan kaki untuk berehat. Kesannya, ramai yang memeluk Islam.
Ketujuh, adakan program untuk mendidik golongan LGBT dan anak muda. Jika tidak, Kuala Lumpur akan dipenuhi dengan golongan ini pada waktu malam yang meriah itu.
Kelapan, kembalilah kepada agama. Negara-negara barat hari ini mula sedar, mereka harus kembali kepada agama. Agama sahaja yang boleh menyelamatkan manusia daripada kehancuran. Kuala Lumpur tunggu apa lagi!
Kesembilan, pembangunan Kuala Lumpur mesti seiring dengan pembangunan insan. Jika tidak, Kuala Lumpur akan hancur dan pasti tenggelam suatu hari nanti. Jangan fikir Genting Highland yang terletak di puncak bukit tidak akan tenggelam. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
Kesepuluh, pembangunan perumahan kos rendah di bandaraya, biarlah untuk didiami manusia, bukan binatang. Jika dahulu, satu bilik, sekarang tiga bilik. Tetapi bilik-biliknya langsung tidak mesra pengguna. Keadaan yang sempit, menjadikan warganya tidak mahu duduk lama di rumah. Tidak wujud konsep rumahku syurgaku. Melaburlah untuk manusia, pastinya manusia ini akan mengimarahkan Kuala Lumpur. Di Singapura, kawasan terhad, rumah flatnya besar. Di sini, tanahnya luas, rumahnya sempit.
Saya amat yakin, jika semua ini dapat dipraktikkan, bandaraya kita akan mendapat keberkatan dan peliharaan Allah SWT. Ingatlah! Jangan sampai Allah murka sehingga turun bencana yang akan menenggelamkan Kuala Lumpur. Maklumkan Kuala Lumpur kini telah menjadi pusat tumpuan LBGT. Allah Selamatkanlah Kuala Lumpur.
http://ridhuantee.blogspot.com/2014/07/bila-kuala-lumpur-mahu-berubah.html
No comments:
Post a Comment