Robert Kuok bukan lagi Raja Gula di Malaysia...tapi MSM milik FELDA
Pada Oktober 2009, Tan Sri Robert Kuok mengumumkan penjualan keseluruhan ekuiti dalam Malayan Sugar Manufacturing (MSM) yang membabitkan 50 peratus saham Kilang Gula FELDA Perlis Sdn Bhd (KGFP), ladang tebu seluas 5,797 hektar di Chuping, Perlis dan 20 peratus saham dalam Tradewinds (M) Bhd, kepada FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).
Dalam urusniaga perniagaan yang bernilai RM1.2 bilion itu, FGVH menguasai sehingga 70 peratus pembekalan gula di dalam negara, sekaligus menamatkan monopoli Kuok sebagai “Raja Gula” selama 45 tahun.
Bagaimanapun masih ramai yang tidak mengetahui hakikat ini, lantas menjadikan “legasi” Robert Kuok masih berterusan dan ada lagi pihak yang masih menganggapnya sebagai Raja Gula di Malaysia dan bukannya MSM.
“Bukan rakyat biasa sahaja, tetapi ada juga Ahli Parlimen yang tidak tahu hakikatnya Raja Gula Malaysia sekarang ini ialah MSM, anak syarikat FGVH, iaitu milik FELDA , milik Melayu!
“Lucunya bila ada yang pula yang menyangka MSM kepunyaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Holdings Berhad (MSM), Dato Dr Sheikh Awab Sheikh Abod.
Sheikh Abod bersetuju kalau tidak kerana isu gula ditimbulkan di parlimen penggal lalu, mungkin ramai tak mahu ambil tahu pasal kewujudan MSM. Pada sidang parlimen yang lalu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin yang juga salah seorang pengarah MSM telah “menegur” Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memutar-belitkan fakta pasal isu gula.
Dalam temubual bersama Agendadaily di pejabatnya di Menara FELDA yang tersergam indah di Jalan Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Sheikh Awab turut menjawab beberapa isu mengenai harga gula dan juga perancangan masa depannya untuk MSM.
Latar belakang Sheikh Awab bukan calang-calang. Pemegang PhD dalam bidang Ekonomi ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSM pada 1 Januari 2014 setelah memangku tugas itu sejak 1 Disember 2013. Bekas sarjana Universiti Oklahoma State, Amerika Syarikat itu mempunyai 25 tahun pengalaman dalam bidang perbankan.
Daripada tahun 2003 hingga 2004, beliau adalah Pemangku CEO Malaysian International Merchant Bank sebelum dilantik Presiden dan CEO Affin Investment Bank dari 2005 hingga 2007.
Sheikh Awab kemudian dilantik Pengerusi PECD Bhd dari 2007 hingga 2010. Beliau pada ketika ini juga adalah Pengarah serta Pengerusi jawatankuasa kewangan dan pelaburan Percetakan Nasional Malaysia Bhd. Sheikh Awab juga adalah Pengerusi Axis Consultancy & Advisory Services serta pengarah beberapa syarikat dalam Kumpulan FGVH.
Sheikh Awab tergelak apabila ditanya sama ada dia tak berasa takut duduk di “kerusi panas” memandangkan MSM adalah anak syarikat FGVH milik FELDA yang sering jadi sasaran kritik, terutama dari pembangkang.
“Apa nak takut? Kenapa pula mereka nak kutuk saya? Saya bersedia menjelaskan kepada sesiapa sahaja yang tak tahu atau nak tahu mengenai MSM. Saya bukan macam PAC yang soalsisat orang,” jawabnya dengan nada berseloroh.
Di sebalik wajahnya yang serius, Sheikh Awab sebenarnya seorang yang peramah, ceria dan suka berjenaka. Lantas perbualan lebih sejam dengannya tidak membosankan langsung, malah menyeronokkan sehingga tidak sedar masa berlalu.
Menurut Sheikh Awab, pengalamannya dalam bidang perbankan banyak mematangkannya dalam selok belok perniagaan dan beliau tidak getar dengan cabaran-cabaran baharu.
“Dalam industri perbankan, kita bersandar kepada fakta dan angka. Samalah juga bila saya menguruskan MSM. Fakta dan angka tak akan berbohong. Apapun orang kata, sekiranya saya boleh bentangkan fakta dan angka, tak ada sesiapa mahupun pembangkang boleh klentong hakikatnya,” katanya.
Apabila diminta mengulas mengenai keraguan sesetengah pihak mengenai keupayaannya menguruskan MSM, Sheikh Awab tidak ambil kisah. Katanya orang boleh menilainya daripada hasil kerjanya.
Mengenai harga gula, Syed Awab berkata ramai orang tidak memandang langkah kerajaan mengawal harga gula dari sudut yang mendalam dan sehubungan itu mereka mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang.
“Kita berdepan dengan realiti. Kalau mereka nak tanya mengapa kerajaan kawal harga gula, ia adalah satu-satunya komoditi yang mana majoriti negara di dunia mengawal harganya. Contohnya, Korea yang mengenakan kuota import lima hingga 35 peratus dan Indonesia, 35%. Jepun pula tak bagi langsung permit import gula putih. Malah China yang penduduknya lebih daripada 1.3billion mengenakan duti import.
“Kita kawal harga untuk melindungi kilang penapis tempatan kerana kerajaan telah mengeluarkan berbilion Ringgit. Pembangkang kata konon kita nak menolong Tan Sri Syed Mokhtar. Itu tak benar. Dia cuma memilik 37 hingga 39 peratus. Yang lain MSM yang kuasai.
“Jika kita liberalisasikan harga gula, kita akan membuka ruang kepada dunia untuk menentukan harga gula dalam negara ini. Bermakna, kalau harga gula melambung naik, kita akan terikut sama.
“Yang tak ada duti import dan kuota ialah Singapura dan Brunei. Mengapa? Sebab mereka tidak ada kilang penapisan gula. Malaysia walaupun ada kilang penapisan gula, juga tak ada kuota import. Sepatutnya Malaysia kenakan kuota import dan duti import untuk melindungi kilang penapisan kita,” jelas Sheikh Awab.
Menurut Sheikh Awab rakyat Malaysia tidak mempunyai sebab untuk merungut mengenai harga gula. Katanya di Asia, Malaysia adalah negara kedua termurah harga gula di belakang Thailand.
“Thailand banyak ladang tebu. Kita tidak ada. Kita beli gula mentah. Bagi kita untuk menjadi negara kedua harga gula termurah di Asia, saya rasa MSM dan kerajaan sudah melakukan perkara yang baik. Saya rasa yang banyak komplen ini bukan rakyat, tetapi individu tertentu.
“Saya bukan ahli politik. Saya seorang profesional. Jadi biarlah saya buat kerja saya sebagai seorang profesional. Baik pembangkang atau sesiapa sahaja, mereka kena sedar, fakta tetap fakta. Kita tak boleh putar-belit.
“Saya percaya kerajaan sudah buat kerja yang betul dengan mengekalkan harga gula pada paras sekarang. Di Indonesia harga gulanya 35-40 peratus lebih tinggi dari walaupun mereka ada ladang tebu,” jelas Sheikh Awab.
Bercakap mengenai perancangan masa hadapan, Syed Awab berkata MSM akan melakukan beberapa penjenamaan semula anak-anak syarikatnya yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM14 juta.
“Jenama MSM bernilai RM100 billion lebih. Yang kita ada sekarang ialah MSM Holdings, sebuah syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Kita ada Malayan Sugar Manufacturing (MSM) di Prai. Tetapi ramai orang yang terkeliru dengan Malaysian Sugar. Kita juga ada Kilang Gula Felda Perlis (KGFP) di Chuping.
“Kita akan buat penjenamaan semula. Dulu kualiti gula dari Perlis tidak sama dengan kualiti gula dari Prai. Gula Perlis hanya dijual kepada penjual dan peruncit. Ia tidak boleh dijual kepada industri sebab prosesnya lain.
“Kita akan tukarkan proses situ dan insyallah pada Ogos ini kita akan dapat kelulusan untuk menukarkan jenama dan gula dari Perlis supaya sama dengan gula dari Prai. Jadi kita tukar KGFP kepada MSM Perlis. Astakonas, anak syarikat kita yang mengendalikan pengangkutan gula akan diubah namanya kepada MSM Logistics.
Ditanya mengenai sasarannya tahun ini, Sheikh Awob berkata MSM sedang menimbangkan dua penggabungan dan pembelian sebelum hujung tahun. Selain itu katanya, MSM juga sedang mengkaji peluang membuka kilang penapisan di Myanmar dan Bahrain. - 21/7/14. - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
No comments:
Post a Comment