Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 25 August 2014

FAHAMI KERAJAAN, KEDAULATAN RAJA



PERGOLAKAN politik di Selangor punya hikmah yang tersendiri. Di balik jeriji besi sistem politik demokrasi gaya Westminster, berdiri teguh satu tradisi dan institusi Islam yang bernama Raja-Raja Melayu.

Setelah wakil-wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat berhempas pulas dalam menyatakan keputusan sebulat suara menggantikan Menteri Besar sedia ada iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim, kini tumpuan utama bakal dihalakan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor kesembilan dalam menyelesaikan kemelut politik yang masih hangat.

Sudah kedengaran suara-suara dan lembaga-lembaga yang mempersoalkan peranan dan kedudukan Sultan dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.

Dikatakan Sultan tidak boleh campur tangan dalam memilih Menteri Besar. Golongan ini samada buat-buat lupa atau jahil akan makna kerajaan dan kedaulatan.

Istilah kerajaan dalam pandangan alam Islam bangsa Melayu, tidak boleh disempitkan dan dimudah-mudahkan sebagai terjemahan kepada istilah Inggeris “government”.

Orang Melayu yang arif dan teliti terhadap penggunaan bahasa Melayu, pasti akan sedar bahawa apabila suatu kata dasar diapit dengan imbuhan “ke-” di awalnya, dan “-an” dihujungnya, kata dasar tersebut akan bertukar menjadi suatu hal ataupun keadaan (state/condition).

Maka, apa yang kita istilahkan sebagai “ke-Raja-an”, tidaklah ianya sekadar difahami umum kini sebagai “pemerintah”, sebaliknya yang lebih menyeluruh dan dasar ialah suatu keadaan di mana wujudnya Raja.

Hal ini menjadi lebih jelas dan tampak dalam negeri-negeri di Malaysia yang mempunyai Institusi Kesultanan. Maka, persoalan kedaulatan seharusnya menjadi lebih jelas kerana ianya amat berkait dengan kerajaan (kingship/kingdom).

Hatta istilah penting yang mencorak pandangan alam orang Melayu iaitu “kedaulatan” sebenarnya merujuk kepada satu keadaan di mana ada dan wujudnya “daulah” yakni satu istilah asal Bahasa Arab yang membawa maksud “wilayah dan tanah jajahan”.

Kalau difahami benar dua istilah kunci ini, apa yang ada di negeri Selangor selama hari ini tidak boleh diperkatakan sebagai “kerajaan PR” atau “kerajaan BN” kerana yang ada hanya satu iaitu “kerajaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor”.

Mungkin ada yang akan mempersoalkan hakikat ini sebagai satu bentuk “raja yang berkuasa mutlak” dan melanggar apa yang sering disalah-terjemah sebagai “perlembagaan negeri” dengan merujuk kepada dokumen “Undang-Undang Tubuh Kerajaan” yang terdapat di negeri-negeri yang mempunyai Raja dan Sultan.

Dokumen bertulis “undang-undang tubuh negeri” yang kini diguna pakai oleh semua negeri-negeri yang mempunyai Raja pada hakikatnya memperkukuhkan lagi kedudukan dan peranan Raja sebagai khalifah di wilayah mereka.

Model pertama yang dijadikan asas kepada penerimaan “undang-undang tubuh kerajaan negeri” oleh semua Raja-Raja Melayu telah disadur daripada perlembagaan bertulis pertama di Tanah Melayu iaitu “Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor” 1895.

Ianya digubal setelah Sultan Abu Bakar memerintah negeri Johor selama 34 tahun dan dianggap oleh Baginda Sultan sebagai “satu anugerah” kepada rakyat negeri Johor - sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Raja Melayu sebelum ini.

Penganugerahan perlembagaan bertulis ialah satu helah dan strategi politik Sultan Abu Bakar untuk mengekang arus deras faham modenisme dalam politik yang dibawa oleh penjajah British yang menjunjung tinggi faham “Raja Berperlembagaan” yang mereka cipta untuk menyelesaikan kemelut Raja Charles I dengan rakyat Inggeris pada pertengahan abad ke-17.

Ini kerana sejarah dan tradisi pemerintahan Raja-Raja Melayu hatta Kesultanan yang wujud seperti Khilafah Uthmaniyyah, apa yang diistilahkan sebagai “perlembagaan” itu adalah tidak bertulis dan tidak didokumenkan (harus dibedakan antara perlembagaan dan piagam yang selalunya bertulis).

Adapun istilah “perlembagaan” tidaklah tepat dalam memadankannya dengan apa yang disebut sebagai “undang-undang tubuh kerajaan”. Sering kali istilah “perlembagaan” ini difahami mengikut kerangka sekular, demokrasi liberal yang dibawa masuk dari penjajah Barat dalam terjemahan Inggerisnya “constitution” yang mana penggubalan perlembagaan adalah daripada rakyat.

Ianya amat berbeda dengan “undang-undang tubuh kerajaan” kerana para Sultan yang punya kedaulatan telah memperturunkan kuasanya sebagai pemimpin dalam bentuk “undang-undang tubuh kerajaan” sebagai satu “anugerah” kepada rakyat jelata agar dapat terlibat sama membantu Baginda Sultan dalam urusan pentadbiran negeri.

Menarik disini kalau kita dapat meneliti kembali istilah “undang-undang tubuh kerajaan” yang tidak dapat ditangkap dengan kemas dalam terjemahan penuh Inggeris - “constitution”. Apakah yang dimaksudkan dengan “tubuh kerajaan”?

Adakah ianya merujuk kepada satu perilaku untuk menubuhkan kerajaan? Tidak, ini kerana apa yang difahami oleh istilah “kerajaan” itu sudah lama tertubuh dan tersimpan kemas dalam diri seorang pemimpin yang bergelar Raja atau Sultan.

Dokumen undang-undang tubuh kerajaan itu ialah satu bentuk penzahiran kuasa kerajaan yang telah lama memiliki “roh” atau “lembaga” yang memerlukan “badan”.

Maka perbuatan untuk menjadikan lembaga itu sesuatu yang tampak adalah dengan mengapitkan istilah “lembaga” dengan imbuhan “per-” di awal kata, dan “-an” di hujungnya yang menghasilkan istilah baharu yang membawa makna “perbuatan” sekaligus “benda” (action-cum-object) seperti “pemerkasaan”, “persaingan”, dan “perjanjian”.

Faham sebegini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam kerana ianya amat mirip dengan Ayat Al-Qur’an dalam Surah al-A’raf, ayat 172 di mana ketika insan masih dalam bentuk Ruh, sebaik saja kita bersaksi di hadapan Allah SWT akan hakikat insan sebagai hamba dan Allah SWT adalah “Rabb”, Allah SWT mengurniakan kuasa dan rahmah-Nya kepada insan yang masih dalam bentuk Ruh dengan anggota badan untuk kita menjadi satu makhluk yang sempurna (ahsani taqwim [Qur’an - 95:4]) bagi menunaikan tugas khalifah di muka bumi (inni ja’ilun fi al-ardi khalifah [Qur’an - 2:30]).

Dalam setiap warta kerajaan negeri, seperti contoh Selangor, pasti akan tertulis dalam titah Baginda Sultan frasa “Dengan kurnia ALLAH, pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Beta” yang menunjukkan bahawa kedaulatan Sultan Selangor adalah di atas undang-undang tubuh kerajaan kerana Baginda Sultanlah yang memperturunkan kuasa yang baginda perolehi daripada kurnia Allah SWT kepada undang-undang tubuh kerajaan yang menjadi dasar kepada pengatur caraan dan perjalanan kerajaan negeri yang digalas-bantu oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui sistem pemilihan demokrasi.

Maka titah raja bukanlah kata-kata yang tiada asas apatah lagi omongan kosong sebaliknya bersifat terikat secara perundangan (legally binding) selagi mana tidak menyalahi Shari’ah Islam dan wajib ditaati oleh sekalian rakyatnya sesuai dengan firman Allah SWT: “taatilah Allah, Rasul dan pemimpin-pemimpin (ulil amri) yang dilantik di kalangan kamu (Quran - [4:59]).

Tidaklah sesuatu yang menghairankan untuk kita mengaitkan sistem beraja yang ada pada hari ini sebagai satu kesinambungan daripada sistem pemerintahan khalifah seperti mana penjelasan ahli sejarawan besar Islam, Ibn Khaldun dalam kitab masyhurnya al-Muqaddimah bahawa secara tabi’i, selepas zaman kekhalifahan, yang menjadi penerus dan paling dekat dengan sistem pemerintahan khalifah adalah sistem pemerintahan beraja (al-mulukiyyah).

Walaupun tidak sesempurna sistem dan zaman pemerintahan khalifah yang diberi petunjuk (al-khalifah al-rashidah) yang empat di bawah Saydina Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali, sistem pemerintahan beraja telah menjadi pilihan utama dan telah mewarnai sejarah peradaban Islam di seluruh dunia Islam selama ribuan tahun bagi meneruskan amanah kekhalifahan dan kepimpinan Islam seperti yang wujud dalam Kesultanan dan Khilafah Umayyah, Abbasiyyah, Mughal, Uthmaniyyah, juga di kalangan Kerajaan Raja-Raja Melayu dari Kedah sampailah ke Pasai, dari Acheh turun ke Lingga - orang Islam di rantau ini telah makmur dinaungi kedaulatan dan kerajaan Raja-Raja Melayu. Hanya selepas datang British, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu semakin mengecil atau lebih teruk seperti di Republik Indonesia terus dihapuskan walaupun “keraton” (istana) masih hidup tetapi tiada berkuasa.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu dalam konteks Raja Berperlembagaan di Malaysia pada hari ini tidak boleh disempitkan dan disamakan peranan Presiden yang ada di negara-negara tidak beraja atau republik.

Almarhum Sultan Azlan Shah ketika baginda menjadi Ketua Hakim Negara pada tahun 1986 telah menjelaskan bahawa “ianya adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan Raja adalah sama seperti jawatan Presiden [yang wujud dalam kerajaan jenis Republik] yang terikat dan dibatasi dengan apa yang telah tertulis dalam perlembagaan. Peranan Raja jauh lebih tinggi daripada apa yang tersurat di dalam perlembagaan”.

Dalam hal yang melibatkan urusan tempatan, Sultan dan Majlis Diraja Negeri - yang mana asasnya berpunca daripada majlis penasihat diraja yang wujud dalam sistem pentadbiran Islam iaitu “ahl al-hal wa’l-’aqdi”(ahli yang melucutkan dan mengikat) punya kuasa penuh dalam perkara tersebut.

Wakil rakyat yang dilantik melalui mekanisme demokrasi berparlimen dan penduduk di negeri Selangor yang lahir atau bermastautin secara tetap yang mana dalam kad pengenalan mereka mempunyai kod no. 10, 41, 42, 43 dan 44 adalah rakyat (subject) kepada Sultan Selangor, pada masa yang sama merupakan warganegara kepada negara-bangsa Malaysia.

Apa yang diistilahkan sebagai “Ketuanan Rakyat” tidak wujud dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor kerana tuan yang sebenar adalah Sultan Selangor ke atas seluruh tanah jajahan dan wilayahnya.

Kerajaan negeri Selangor adalah ke-RAJA-an Baginda Tuanku yang telah tertubuh lama jauh sebelum wujudnya negara-bangsa bernama Malaysia.

Ketaatan rakyat kepada raja-raja Melayu adalah bersyarat dan dipandu oleh hadis Nabi SAW: “tiada ketaatan kepada makhluk untuk perkara maksiat kepada Pencipta/Tuhan Seluruh Alam” yang mana menjadi asas kepada faham “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

Sebab itu juga tautan Shari’ah Islam amat jelas dalam pelantikan jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Negeri, di mana istiadat angkat sumpah mengikat ahli majlis pertama-tama sekalinya dengan Allah dan Rasul, kemudian barulah kepada Sultan.

Kedaulatan yang dimiliki Sultan amat bergantung kepada ketaatan baginda kepada Allah dan Rasul selagi mana baginda tidak kufur secara terang-terangan.

Dalam era demokrasi liberal dipaksa masuk ke dalam negara-negara dan peradaban yang sudah ribuan tahun berdaulat seperti tanah jajahan dan daerah takluk Raja-Raja Melayu, adalah amat penting untuk umat Islam khususnya bangsa Melayu meneliti kembali warisan peradaban iaitu Institusi Kesultanan dan Kerajaan Melayu yang merupakan salah satu institusi Islam yang bertindak sebagai benteng kepada faham sekularisasi penuh melalui pintu masuk politik yang telah merobek tamadun Kristian di Eropah ratusan tahun dahulu.

-Wan Ahmad Fayhsal-

https://www.facebook.com/thepatriots2020/photos/a.182165691977464.1073741828.181500092044024/274270169433682/?type=1

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...