Salah satu lagi khazanah penting bagi umat islam ialah mengenai TONGKAT. Dalam tamadun Islam memakai tongkat atau bertongkat, adalah salah satu akhlak atau tatacara kehidupan para nabi, orang-orang salih dan ulama-ulama Islam zaman dahulu.
Dalam Al Qur’an sendiri terdapat beberapa ayat yang menunjukkan bahawa ada Nabi-Nabi yang memakai tongkat, sama ada dalam kehidupan harian atau ketika sedang beribadat. Nabi-Nabi berkenaan ialah Nabi Sulaiman Alaihissalam (Surah Saba 34:14) dan Nabi Musa Alaihissalam (Surah Al – A’raaf 7:107 dan Suarh Thaha 20:18 -20).
Diriwayatkan dalam beberapa hadis bahawa, Nabi Muhammad Sallallahu ‘ Alaihi wa Sallam juga memakai tongkat, begitu juga para sahabat dan ulama-ulama lain seperti Imam Al-Syafie Radiallahu Anh.
Al Qur’an telah menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam adalah salah seorang Nabi yang memakai tongkat, Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Saba 34:14, yang tafsirnya bermaksud : “ Maka manakala kami telah menetapkan kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya…”.
Ayat ini mengesahkan tentang kematian Nabi Sulaiman Alaihissalam dan bagaimana Allah Subhanahu Wa Ta’ala menutupi kematiannya daripada pengetahuan jin dan manusia dalam tempoh yang agak lama. Dan selama tempoh berkenaan Nabi Sulaiman Alaihisssalam tetap bertelekan (berpegang) kepada tongkat yang menjadi penompangnya.
Kemudian melalui tongkat ini pulalah rakyat, termasuk jin, dapat mengetahui bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam telah wafat, iaitu tatkala tongkat berkenaan jatuh ke lantai ketika salah seorang daripada kalangan jin memegang dan ingin mengangkat tongkat itu, tetapi rupa-rupanya tongkat itu sudahpun repot di makan anai-anai.
Mengikut beberapa orang ulama tafsir, antaranya Syeikh Ibnu Hayyan dalam buku Tafsir Al Bahr Al Muhith pada suatu hari seorang belia masuk menemui Nabi Sulaiman Alaihissalam tanpa terlebih dahulu meminta izin. Nabi Sulaiman Alaihissalam bertanya : “ Kenapa engkau masuk tanpa izin?” Belia itu menjawab : “ Aku masuk setelah mendapat izin”, Nabi Sulaiman Alaihissalam bertanya : “ Siapa yang memberi keizinan itu”. Belia itu menjawab: “ Tuhan yang empunya mahligai ini”. Melalui jawapan itu tahulah Nabi Sulaiman Alaihissalam bahawa belia itu adalah Malaikat Maut yang datang untuk mencabut rohnya. Kemudian Nabi Sulaiman Alaihissalam terus sembahyang sambil memegang (bertelekan) kepada tongkatnya. Lalu Malaikat Maut mencabut rohnya.
Di dalam kitab Al Bayan Wa At – Tabyin disebutkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam memiliki jenis tongkat seperti Mikhsharah, Kadhib dan Al ‘Anazah. Dalam As –Shahih daripada Ibnu Umar adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam (apabila) pergi di sebelah pagi ke tempat sembahyang, (Al-‘Anazah) akan dibawa bersama di hadapan Baginda, lalu Baginda sembahyang dan (Al-‘Anazah) itu dipacakkan di arah kiblat.
Gambar: Syeikh Dr Saed Al Foudah , Shaykh Usamah Al-Azhari & Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid
Dari: HAMBA ALLAH
https://www.facebook.com/426979547372500/photos/a.428023587268096.94121.426979547372500/695892037147915/?type=1
No comments:
Post a Comment