Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 25 August 2014

Pancaran Emosi Bersatu Hati

Harian Metro ms/24 ~ Haniff Ghazali 25 Ogos. 

Tanggal 22 Ogos 2014 lalu menjadi satu detik bersejarah dalam tamadun Malaysia moden. Pada hari yang suram ini, seluruh rakyat Malaysia berkabung bagi menghormati ketibaan jenazah mangsa-mangsa tragedi MH17 yang dibawa pulang ke tanahair dengan pesawat khas penerbangan Malaysia dari Belanda. Buat pertama kalinya, seluruh dunia dipertontonkan dengan upacara penuh simbolik, yang menyatukan seluruh bangsa Malaysia di dalam satu pancaran emosi yang meruntun jiwa dan raga.
Sepanjang pengetahuan saya, ini adalah julung kalinya negara Malaysia berhadapan dengan tragedi sedemikian dahsyat yang menghasilkan pelbagai polemik dan konotasi sosial. Tragedi MH17 ini berlaku ditengah-tengah pergolakan dingin dunia, di mana pertembungan di antara Barat dengan Timur sudah tercalar dengan pancawarna konflik politik, krisis ekonomi, pergeseran agama dan pertembungan budaya.
Demikian halnya dengan tragedi penerbangan Malaysia MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang sehingga ke hari ini belum lagi ditemui. Pencarian MH370 yang melibatkan 20 negara dengan hampir 10,000 anggota pasukan penyelamat sehingga ke hari ini masih belum menghasilkan sesuatu. Pelbagai teori dikemukakan malahan pelbagai fitnah dan teori konspirasi dikemukakan, hanya untuk memuaskan hati mereka yang tidak segan silu mencabar minda masyarakat demi melaksanakan agenda peribadi mereka.
Tragedi MH17 dan MH370 telah membuka mata masyarakat dunia terhadap tahap keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan udara dunia. Tambahan pula jika laluan penerbangan itu melintasi rantau atau perairan yang bergolak. Syarikat penerbangan terbesar Hong Kong iaitu Cathay Pacific mengumumkan akan menggunakan laluan lain diluar ruang udara Crimea sebaik berita tragedi MH17 diketahui umum. Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways pula mengisytiharkan akan melencong tidak melintasi Crimea terutama apabila kereta-kereta kebal Russia mula menceroboh sempadan Ukraine.
Namun kita tidak pernah terfikirkan akan terjadinya tragedi sebegini dahsyat kepada sebuah negara kecil berjiwa besar Malaysia. Lihatlah betapa mudah semangat dan iltizam kita dirobek dan diruntuhkan oleh konflik negara besar dan masing-masing memiliki kekuatan nuklear. Siapalah kita untuk melancarkan tindak balas? Siapalah kita untuk menyoal dan menyiasat? Malah siapalah kita untuk melancarkan perang demi menebus kematian anak bangsa kita?
Beberapa dekad lalu, tragedi seperti ini pernah terjadi kepada sebuah pesawat Airbus A300 milik syarikat penerbangan Iran, Iran Air 655 pada tahun 1988 yang ditembak jatuh oleh Tentera Laut Amerika Syarikat. 290 nyawa juga menjadi korban, sehingga ke hari ini tiada siapa yang dibawa ke muka pengadilan. Begitu juga dalam tragedi MH17 yang terhempas di sebuah ladang yang terhampar luas dikuasai oleh puak pemberontak Ukraine yang berkiblatkan Russia, di sebuah pekan bernama Rozsypne di wilayah Donetsk. Puak pemberontak menafikan, Tentera Ukraine juga menafikan, malahan Tentera Russia juga menafikan menembak jatuh MH17.
DI Hong Kong, pada tahun 1954, pernah terjadi pesawat Cathay Pacific membawa sejumlah 10 orang penumpang ditembak jatuh oleh tentera Komunis China. Tentera Israel juga pernah menembak jatuh sebuah pesawat Boeing 727 membawa 113 penumpang dari Tripoli ke Kaherah pada tahun 1973. Tentera Soviet pada tahun 1978 pula menembak jatuh sebuah pesawat awam Korea apabila pesawat tersebut tidak mengendahkan arahan jet pejuang Sukhoi milik Soviet untuk berpatah balik. Pada tahun 1983, pesawat Boeing 727 Korean Air pula ditembak jatuh oleh pesawat Sukhoi milik Soviet mengorbankan 269 nyawa.
Tragedi seperti ini biasa berlaku, dan jika dilihat rekod, semuanya melibatkan negara-negara besar yang memiliki peralatan perang yang canggih dan hebat, dengan kuasa ledakan dan mobiliti ketenteraan yang jitu. Malah mereka memiliki senjata nuklear yang dengan satu butang sahaja, boleh mengembalikan kita ke zaman batu, hancur musnah segala-galanya.
Sesungguhnya kita negara Malaysia hampir hilang segala-galanya. Cuma, saya percaya, setiap anak Malaysia samada kamu di Wangsa Maju mahupun Rungkop ataupun Sekinchan, samada kamu sedang makan Mee Jawa dan Mee Mastan di Teluk Ensen ataupun makan Spaghetti Bolognese di Milan, Italy, samada sedang bekerja di Shanghai, Bintulu, Sydney, Kuala Krai, Madrid, Sungai Petani mahupun New York, hari ini kita bersedih dan seluruh nada tangis kita sama belaka. Kita Bangsa Malaysia. Percayalah, sinar harapan masih ada. Ayoh, kita bangunkan kejayaan dari tiang-tiang runtuh yang berselerakan.



https://www.facebook.com/haniff.ghazali.5/posts/10152645194358421






No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...