Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Baharu Tidak Relevan - Alumni GPMS
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Alumni GPMS Kebangsaan menyokong penuh kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim agar kerajaan tidak lagi melayan sebarang permohonan dan tuntutan untuk membina sekolah jenis kebangsaan yang baharu.
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan Syed Anuar Syed Mohamad berkata ini kerana ia tidak menyumbang kepada integrasi nasional, malah semakin menjarakkan jurang perpaduan antara kaum di negara ini.
"Alumni GPMS juga menegaskan pada masa yang sama kerajaan perlu berani dan tegas merangka satu pelan jangka panjang ke arah menutup semua SJKC dan SJKT agar semua kaum diletakkan di bawah satu bumbung dengan satu sistem persekolahan yang sama seperti negara-negara lain.
"Malah kita berpendapat konsep 1Malaysia akan mudah tercapai sekiranya sekolah satu aliran diwujudkan kerana kesemua kaum akan berada di bawah satu sistem persekolahan," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.
Menurutnya Alumni GPMS berpandangan isu penghinaan dan mencabar agama Islam, bangsa Melayu dan institusi Kesultanan sedikit sebanyak disumbangkan oleh sikap tidak sensitif generasi hari ini akibat berlakunya pengasingan dalam sistem persekolahan sejak dulu lagi.
Syed Anuar berkata, Alumni GPMS juga menyarankan Kementerian Pendidikan memberi penekanan khas kepada subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan kerana ia menyentuh pelbagai aspek termasuk pewujudan perpaduan dan toleransi antara kaum di Malaysia.
-- BERNAMA --
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1446952835582603&set=a.1383915965219624.1073741827.100008037010081&type=1
No comments:
Post a Comment