Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 28 September 2014

Adakah benar Melayu itu malas? Melayu Kejar Glamour hingga lupa Asal Usul - Dr. Ridhuan Tee


SETIAP manusia (bangsa) yang dicipta dan dilahirkan adalah juara. Tidak timbul soal mereka rajin atau malas. Sikap individu (fikrah) yang menentukan kejayaan seseorang. 


Inilah kehebatan ALLAH SWT menjadikan manusia berbanding haiwan. 

ALLAH tidak akan mengubah nasib seseorang, sehingga dialah yang berusaha mengubahnya. Jika nak sesuatu itu berubah, kita kena berubah terlebih dahulu. Bak kata MuftiMenk, "we want to make the world a better place but we are not prepared to improve ourselves."

Saya tidak pernah percaya stereotaip Melayu itu malas, manakala bangsa lain rajin atau pandai berniaga. Terpulang kepada kita untuk menentukannya.

Ramai juga saya jumpa bangsa lain yang malas. Datuk-nenek saya datang dari China, sehelai sepinggang. Tinggal di kampung Melayu, di Kota Stia, Kampung Gajah, Perak. Tidak berapa lama, kehidupan kami berubah.

Berbekalkan sedikit modal yang dikumpulkan, akhirnya bapa saya berjaya membuka satu-satunya kedai runcit di kampung itu dan menjadi kaya-raya hasil perniagaan tersebut.

Kekayaan menjadi semakin bertambah, apabila orang Melayu suka berhutang. Apabila hutang tidak dibayar, maka gadaiannya adalah hasil bantuan kerajaan yang diberikan kepada Melayu seperti baja, anak benih, peti ikan dan sebagainya yang dibeli dengan harga murah. Tidak kurang juga yang menggadaikan tanah kepada bapa saya. Akhirnya, bapa saya kaya-raya. Manakala, Melayu hanya kaya sementara.

Sama juga seperti rasuah, bangsa lain merasuah Melayu dengan wang sedepok depan mata. Melayu menjadi kelabu mata. Bila dibuktikan rasuah itu, Melayu tertangkap dan masuk penjara, manakala pemberi rasuah bebas kaya-raya dengan rasuah yang diberi tidak seberapa.

Saya bukanlah hendak mengiakan akan kenyataan Melayu itu malas. Tetapi pengalaman membuktikannya. Nak kaya tetapi malas kerja. Melayu mesti tampil untuk berubah. Jika tidak, Melayu tidak akan ke mana-mana. Melayu akan merana di bumi sendiri.

Melayu bukan hanya malas, mudah lupa diri, lupa jati diri. Maka, tidak hairan banyak syarikat Melayu telah berubah nama kepada nama bukan Melayu. Dahulu ada kedai Telekom, kini TM Point. Dulu Bank Bumiputera, kini CIMB dan banyak lagi. 

Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan di GLC ini. Kalau tidak percaya, pergilah masuk ke tempat tersebut. Berapa patah bahasa Melayu yang digunakan.

Seolah-olah bila letak nama Melayu, tidak komersial dan tidak glamor.

Pergilah melawat ke seluruh dunia. Tidak perlu pergi jauh, lihat masyarakat Siam di Thailand, bagaimana bangsa mereka menggunakan nama-nama Siam.

Saya baru pulang dari Wellington, Auckland, Sydney dan Adelaide. Bandar mereka amat bercirikan adat Melayu (Islam). Bila menjelang senja, kebanyakan sudah berada di rumah.

Bandar mereka mati. Pusat membeli dan kedai sudah tutup jam 5, kecuali beberapa kedai makan dan pusat beli-belah. Di manakah budaya balik senja atau Maghrib orang Melayu? Kenapa bandar raya kita hidup 24 jam?

Sikap Melayu mesti berubah. Melayu terlalu mengejar glamor. Kerja-kerja bawahan pencuci, buruh langsung tidak dipandang. Berlagak tidak tentu pasal, memperlekeh orang lain, dengan kata-kata 'pak guard bodoh', itu dan ini.

Bila saya bertanya kenapa merempit? Adakah hobi kamu? Dia jawab, merempit kerana dicabar. Kita menyahut cabaran tidak kena pada caranya. Sepatutnya kita menyahut cabaran untuk bersaing dengan orang lain agar kita lebih berjaya.

Benarkah Melayu malas? Saya kira tidak? ALLAH tidak berlaku adil jika hanya menjadikan sesuatu bangsa rajin, sedangkan yang lain tidak? Proses kejadian manusia semua sama.

Apa yang perlu diubah adalah sikap atau fikrah, atau cara berfikir. Ada kajian dibuat, kalangan pelajar Cina dan Melayu yang mendapat 'straight' A dalam peperiksaan bermula peringkat sekolah hingga pengajian tinggi (kelas 1). Namun, bila bukan Melayu ditemu duga, semuanya hancur, kerana kurang EQ (kemahiran insaniah).

Manakah yang lebih penting antara IQ dan EQ? kedua-duanya penting. Tetapi bukti-bukti menunjukkan bahawa mereka yang EQ tinggi, lebih berjaya. Siapa Mark Zukerberg (pengasas FB) dan Bill Gates (Microsoft)? EQ mereka sangat hebat berbanding IQ.

Jadi, adakah Melayu itu malas, sedangkan EQnya Melayu hebat? Semua terpulang pada kita. Bak kata Pendeta Zaaba, rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh!


RIDHUAN TEE ABDULLAH
September 29, 2014

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...