WALAUPUN telah 40 tahun berlalu, namun peristiwa terlanggar jerangkap samar pengganas komunis masih segar dalam ingatan Mohamed Jahari Kadir, 77 tahun.
Mengimbas tragedi hitam pada 13 Jun 1974 itu, bekas pekerja JKR Perak itu berkata, peristiwa itu berlaku pada waktu tengah hari ketika dia memandu lori menuju ke sebuah kem berhampiran Sungai Banum di Perak.
Pada masa sama sebuah jentolak dan kenderaan milik tentera turut serta bersama menuju ke lokasi berkenaan.
"Ketika kejadian saya ditugaskan untuk menghantar pekerja am dan operator JKR ke sebuah kem berhampiran Sungai Banum. Tiga kenderaan bergerak sekali menuju ke lokasi tersebut.
"Apabila sampai di satu lokasi kami terpaksa melalui satu kalbut (saluran parit) untuk bergerak ke hadapan.
"Mula-mula jentolak melalui kalbut tersebut diikuti kereta askar namun, sebaik sahaja sampai giliran saya yang membawa lori, jerangkap samar yang dipasang di dalam kalbut oleh komunis meletup tepat ke arah tayar di bahagian kiri," katanya.
Memandangkan bahagian pemandu lori ketika itu terletak di bahagian kiri dan berada betul-betul di atas tayar, kesan letupan itu menyebabkan Mohamed Jahari mengalami kecederaan.
"Serpihan rim tayar yang berkecai menembusi paha kiri saya dan sebahagian serpihan lain turut terkena di bahagian tulang kaki kanan.
"Sejurus selepas kejadian itu saya dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh pihak tentera yang menghulurkan bantuan kecemasan dengan menggunakan sebuah helikopter.
"Sebaik tiba, saya dibawa ke bahagian kecemasan dan terpaksa menjalani pembedahan sebanyak empat kali untuk mengeluarkan serpihan rim tersebut," katanya.
Akibat kecederaan yang dialaminya itu telah menyebabkan dia kehilangan upaya kekal dan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.
Meskipun peristiwa itu memberi kesan buruk kepada dirinya namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga malah dia bersyukur kerana diberi umur yang panjang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140927/lk_05/Mangsa-jerangkap-samar#ixzz3EmTFzlHj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment