Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 30 September 2014

Pertemuan selepas 40 tahun

lk_03 : SEBAHAGIAN bekas pekerja Jabatan Kerja Raya Negeri Perak melawat


SEBAHAGIAN bekas pekerja Jabatan Kerja Raya Negeri Perak melawat Tugu Peringatan bagi memperingati bekas pekerja yang terkoban ketika membina JRTB.


SETELAH sekian lama berusaha mencari bekas pekerja, akhirnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak berjaya mengumpulkan sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan projek pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di dalam sebuah majlis yang tampak ringkas namun cukup bermakna.

Majlis yang diadakan sempena 40 tahun kejadian serangan pengganas komunis berhampiran tugu peringatan jalan raya itu turut dihadiri Pengarah JKR Perak, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad bersama kakitangan lain yang berkesempatan mendengar luahan dan pengalaman mereka bertugas.

Masing-masing ditemani ahli keluarga mereka malah ada juga waris pekerja yang sudah meninggal dunia turut serta dalam majlis tersebut. Rata-rata usia mereka juga sudah mencecah lebih 60 tahun. Ternyata suasana itu menggamit semula memori yang sudah sekian lama ditinggalkan. Meskipun ada yang sudah beberapa tahun tidak berjumpa, kemesraan tetap terjalin di antara mereka.

Menurut Aishah Ahmad, 60, hubungan yang terjalin di antara pekerja JKR ibarat sebuah keluarga walaupun mereka tidak mempunyai ikatan tali persaudaraan dan datang dari pelbagai negeri. Ini kerana pekerja-pekerja daripada pelbagai bahagian itu pernah tinggal di satu kawasan perumahan di JKR Base Camp Gerik yang menempatkan semua pekerja.


"Hubungan mesra yang terjalin menjadikan kami begitu rapat. Malah sekiranya ada rakan-rakan yang menghadapi masalah, kami turut bersedia membantu. Hubungan kami ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga."

"Sebab itu apabila berlaku peristiwa serangan komunis yang mengorbankan tiga pekerja dan mencederakan beberapa yang lain, kesedihan turut dirasai semua pekerja dan menganggap apa yang berlaku bukan hanya tragedi hitam untuk sebuah keluarga sahaja malah melibatkan keseluruhan pekerja," katanya.

Sementara itu menurut Noor Hisham Mohd Taha, semasa zaman kanak-kanak dia sempat merasai suasana kehidupan di base camp ketika bapanya yang bekerja sebagai penguasa jentera ditugaskan di JKR Perak.

"Saya tak dapat menggambarkan bagaimana perasaan saya semasa mula-mula tinggal di base bamp. Ketika itu umur saya baru tujuh tahun. Memang sangat seronok. walaupun saya hanya berkesempatan tinggal selama tiga tahun di sana namun sepanjang tempoh itu merupakan saat yang paling indah dan menyeronokkan.

"Hubungan di antara pekerja cukup rapat. Sampaikan tanaman pokok dan sayur-sayuran yang ditanam ayah saya turut dikongsi bersama dengan pekerja-pekerja lain yang tinggal di situ. Suasana persekitaran juga amat menyamankan memandangkan pada ketika itu suhu memang sejuk sehingga mencapai tahap 20 celsius. Mungkin sebab kedudukannya yang berhampiran dengan pusat peranginan tanah tinggi Camerond Highlands. Memang tidak perlu menggunakan penghawa dingin," katanya.

Setiap kali ada tetamu istimewa yang datang melawat ke base camp, para wanita atau suri rumah akan bekerjasama memasak dan menyediakan jamuan hidangan untuk menjamu selera.

"Biasanya Sultan Perak (Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah II) ketika itu sering melawat kawasan tersebut kerana dia memang sukakan makanan dan suasana kampung. Jadi para wanita akan menyediakan jamuan yang menyajikan makanan kampung untuk santapan sultan," katanya.

"Pada setiap hari khamis pula warga base camp turut meluangkan masa bersama-sama menyaksikan wayang pacak yang disediakan secara percuma di kawasan lapang penempatan tersebut," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...