Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 7 November 2014

Rahsia Langit Dikawal Ketat


Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (al-Jin: 8-9)

(al-Jin: 8-9)
Kumpulan jin meneruskan cerita mereka tentang pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai kedudukan dan kerasulan di alam ini, seluruh pelosok langit dan bumi.

Ia bagi membersihkan diri mereka dan segala yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menurunkan risalah dan menolak segala dakwaan yang mengaku mengetahui segala urusan ghaib.

Berkenaan dengan mukadimah ayat ini yang bermaksud kami telah mencuba mengetahui rahsia langit dengan maksud:
  • Menuntut dan mendapatkannya seperti ibarat orang Arab.
  • Kami menghampiri langit.


Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan tentang jin ketika Dia mengutus Rasul-Nya, Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran kepadanya.

Antara bentuk pemeliharaan Allah terhadap al-Quran adalah di langit dipenuhi penjaga yang bengis yang akan mengusir semua syaitan sebelum mereka dapat mengintip dan disampaikan melalui dukun sehingga terjadi campur aduk yang tidak diketahui kebenarannya.

Hal tersebut adalah salah satu kelembutan Allah terhadap makhluk-Nya, rahmat bagi hamba-Nya serta penjagaan terhadap kitab-Nya yang mulia.

Al-Maraghi berkata: “Maknanya adalah al-Quran al-Karim yang mengandungi dalil-dalil aqli dan dalil alamiahnya itu merupakan para penjaga terhadap sesuatu keraguan yang dibisikkan oleh syaitan-syaitan ke dalam hati orang yang ragu.”

Kemudian keraguan itu dihembuskan ke dalam hati orang yang sesat untuk menghalang mereka daripada menerima agama dan petunjuknya. Apabila timbulnya keraguan dan waham dalam jiwa manusia, lalu mereka akan mendapatkan bukti yang akan membasmi keraguan tersebut.

Firman Allah SWT:
Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka. (al-Jin: 10)

Al-Maraghi berkata: “Langit itu dijaga rapi kerana dua sebab.” Sebab-sebab tersebut ialah:
  • Azab yang akan diturunkan Allah SWT kepada penghuni bumi dengan segera.
  • Atau disebabkan seorang Nabi yang mursyid (memberi petunjuk) dan muslih (memperbaiki keadaan orang lain).


Firman Allah SWT:
Dan Sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.

Al-Mawardi berkata: “Orang soleh adalah orang yang beriman dan selain daripada itu adalah orang musyrikin. Boleh jadi dengan maksud mereka ahli kebaikan bagi orang soleh dan sepihak lagi ahli kejahatan.”

Seterusnya tafsiran jalan yang berbeza-beza dengan maksud:
  • Banyaknya puak seperti pendapat as-Suddi.
  • Pelbagai agama seperti pendapat ad-Dahak.
  • Hawa nafsu yang pelbagai.

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya Allah SWT berkuasa ke atas kami di mana sahaja kami berada, sehingga kami tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya itu dengan cara melarikan diri.”

Firman Allah SWT:
Dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari. Dan sesungguhnya kami tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Barang siapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan. Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. (al-Jin: 11-14)

Ini adalah perkhabaran daripada jin berkenaan dengan hal mereka ada yang beriman dan ada yang fasiq. Begitu juga yang zalim, menyimpang daripada kebenaran.

Perkataan qasitin memberi maksud:
  • Golongan yang rugi seperti kata Qatadah.
  • Golongan yang derhaka seperti pendapat Ibn Zaid.
  • Golongan yang amat lemah seperti kata ad-Dahak.

Firman Allah SWT:
Barang siapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam. (al-Jin: 15)

Istiqamah dalam ayat ini ada dua tafsiran:
  • Mereka memilih jalan kufur dan sesat seperti kata Muhammad bin Zaid, Abu Mujliz dan lainnya.
  • Istiqamah atau petunjuk dan ketaatan seperti pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Qatadah dan Mujahid.

Al-Maraghi berkata: “Kesuburan dan kelapangan rezeki itu akan terwujud, jika wujudnya ketenteraman, keadilan dan tidak berlakunya kezaliman.”

Hamka berkata: “Inilah keinsafan dari jin Islam yang mengakui nubuwwah Rasulullah SAW. Mereka mengakui bahawa setelah mendapat petunjuk yang terdapat dalam surah Fatihah yang dibacakan oleh Nabi SAW ketika solat Subuh.”

Firman Allah SWT:
Dan bahawasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). (al-Jin: 16)

Al-Mawardi menyebut dua pendapat berkenaan dengan tafsiran ayat kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar:
  • Dengan kami kurniakan banyaknya air sehingga membinasakan mereka seperti dibinasakan kaum Nuh dengan lemas dalam air. Inilah pendapat Muhammad bin Ka’ab.
  • Kami kurniakan kepada mereka banyak air yang menyebabkan tanaman mereka subur dan harta mereka banyak.

Al-Maraghi berkata: “Rahsia perkara ini telah kita kemukakan lebih dari sekali. Sesungguhnya kemajuan dan kesenangan hanya akan wujud jika adanya ketenteraman dan keadilan serta tiada kezaliman.”

Dengan demikian manusia akan menerima keadilan yang sama tanpa sebarang kezaliman pilih bulu atau melakukan rasuah dalam membuat sesuatu keputusan.

Firman Allah SWT:
Untuk kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat.(al-Jin: 17)

Sayid Qutub berkata: “Allah SWT mengesahkan pandangan jin terhadap manusia iaitu andainya manusia beriman nescaya Kami kurniakan kepada mereka bekalan yang mencukupi untuk menguji mereka sama ada bersyukur atau tidak.”

Peralihan daripada menceritakan perkataan jin kepada menyebut isi cerita untuk menambah kekuatan pengertian dan janji kepada Allah SWT.

Tarikan seperti ini banyak dalam uslub Quran untuk menghidup dan menguatkan pengertian serta pandangan ini mengandungi beberapa hakikat dan unsur penting dalam pembentukan akidah dan kefahaman seseorang mukmin.

Hakikat yang pertama wujudnya hubungan kelurusan iman umat dan sekelompok manusia mengikuti jalan Allah dengan kemewahan rezeki. Faktor yang pertama adalah kemewahan bekalan air yang cukup. Ia selama-lamanya penting untuk pembangunan dan kelangsungan hidup.

Hubungan antara keduanya sangat kukuh. Contohnya orang Arab di Padang Sahara. Mereka hidup dengan segala kepayahan dan kesulitan tetapi mereka beriman maka dikurniakan segala kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.
Kemudian mereka kufur maka segalanya ditarik kembali sehingga kembali pada keadaan asal dan itulah tanda kekuasaan Allah SWT yang menentukan segalanya.

Al-Maraghi berkata: “Barang siapa yang berpaling dari al-Quran dan menolak nasihatnya, tidak menunaikan segala perintahnya serta tidak meninggalkan larangan-larangannya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam seksaan yang berat akan menguasainya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk memikulnya.”
Andainya di sana terdapat umat yang tidak berjalan di atas jalan Allah SWT kemudian mereka mendapat kemewahan dan kekayaan, maka mereka akan diseksa dengan pelbagai penyakit dan mala petaka yang merosakkan sifat insaniah mereka atau mengugat keamanan dan kehormatan hidup sebagai manusia.

Semuanya itu menjadikan kemewahan dan kekayaan mereka tiada ertinya (sebagaimana yang diterangkan dalam surah Nuh).

Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya.

*Sumber dari irfanirsyad.wordpress.com

http://detikislam.blogspot.com/2014/02/rahsia-langit-dikawal-ketat.html#

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...