Menurut Hassan Abd. Muthalib, disebabkan keghairahan penggiat industri menguasai pelbagai teknik dan teknologi perisian, mereka terlepas pandang di dalam memberi perhatian serta penekanan terhadap aspek penceritaan.

“Kebanyakan penggiat industri sering memberi tumpuan terhadap teknik tetapi tidak pada penceritaan. Penceritaan yang dimaksudkan terbahagi kepada dialog beserta apa yang berlaku dan visual.

“Bila hendak buat sesuatu jangan fikir asalkan ada. Sikap sebeginilah yang menyebabkan mengapa banyak filem mahupun animasi gagal menambat perhatian umum. Yang disiarkan benda yang sama, ‘produk kitar semula’ atau langsung tidak ada cerita di dalamnya,” katanya.

Justeru amat penting setiap penggiat seni memberi tumpuan meningkatkan keupayaan menghasilkan penceritaan yang berkualiti menerusi program latihan di dalam bidang tersebut.

Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, sesebuah filem atau animasi tidak mencukupi hanya sekadar menggunakan teknologi yang canggih tetapi juga perlu memberi penekanan terhadap aspek penceritaan dan cara bagaimana sesebuah cerita disampaikan.

“Penceritaan adalah aspek utama namun perlu dipastikan juga cara penceritaan disampaikan dengan berkesan dan menarik. Kalau penceritaan yang disampaikan dengan cara yang mendatar, penonton juga akan menjadi jemu.

“Sebab itu di Hollywood sebilangan besar syarikat yang hendak terbitkan filem atau animasi, mereka tidak akan hasilkan cerita sendiri tetapi mendapatkannya dari agensi lain yang memang benar-benar mahir dalam bidang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan penggiat industri mempelbagaikan saluran penyiaran animasi mereka supaya tidak terlalu bergantung dan mengharapkan slot rancangan dari stesen televisyen mahupun tayangan di pawagam.

“Jika sasaran hanya tertumpu kepada tayangan skrin, pasaran sudah tentu terhad kepada lokal sahaja. Namun jika dipelbagaikan saluran termasuk memuat naik ke dalam YouTube, pasaran lebih meluas ke seluruh pelosok dunia. Malah lebih mudah dan murah.

“Kaedah ini merupakan inisiatif yang dapat membantu mana-mana penggiat yang sukar memperolehi slot rancangan animasi di televisyen,” katanya.