Foto MH17 kena peluru kini disebarkan disebuah laman web Ukraine | Beberapa keping gambar rangka pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun lalu, dipercayai yang sedang dalam proses cantuman semula di lokasi yang tidak didedahkan, disebarkan menerusi sebuah laman web Ukraine hari ini. Menurut laporan portal NL Times, gambar yang tidak didedahkan kepada awam dan media itu, disiarkan melalui laman web Censor.net.ua dan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang ditugaskan menyiasat tragedi itu mengesahkan kesahihan foto tersebut.
Antara gambar yang disiarkan termasuk imej kokpit pesawat selain serpihan badan jet penumpang MH17 yang mempunyai kesan seperti tembakan peluru, manakala sekeping foto lagi memaparkan besi yang dipercayai sebahagian peluru berpandu sistem pertahanan udara BUK-M1-2 yang dikeluarkan dari rangka pesawat. Censor.net.ua turut mendakwa, serpihan besi berkenaan merupakan bahagian kecil peledak peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai tahun lalu sehingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan krew, kebanyakannya dari Belanda.
Selain itu, ketiga-tiga gambar terbabit menunjukkan usaha pasukan penyiasat mencantumkan semula serpihan pesawat seperti bentuk asal bagi membantu siasatan. Bagaimanapun lokasi gambar itu diambil tidak dapat dipastikan tetapi NL Times melaporkan, foto tersebut dipercayai diambil di sebuah hangar di Pangkalan Tentera Udara Gilze-Rijen, tempat pakar Belanda bekerjasama dengan pasukan penyiasat antarabangsa.
Baru-baru ini, wartawan dan keluarga serta waris mangsa dibenarkan untuk melihat sendiri serpihan pesawat tersebut di Belanda. Menurut laporan Censor.net, gambar terbabit diperoleh daripada seorang rakyat Ukraine di Belanda yang berpeluang mengikuti lawatan itu. “Individu terbabit menyediakan gambar eksklusif yang diambil dari hangar dan serpihan peluru berpandu BUK-M1-2, yang dipercayai digunakan menembak jatuh pesawat MH17,” lapor laman web itu.
Dalam perkembangan sama, portal berita tempatan The Post Online memetik kenyataan anggota Parlimen Belanda, Pieter Omtzigt yang mempersoalkan sama ada pendedahan gambar terbabit boleh menyalahi mana-mana undang-undang. “Apakah kesan pendedahan gambar itu terhadap siasatan DSB dan pasukan antarabangsa? “Apakah langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan siasatan tersebut tidak terjejas dengan penyebaran gambar itu?” soal Omtzigt. -AP
http://www.lulu-pages.com/2015/03/foto-mh17-kena-peluru-kini-disebarkan-disebuah-laman-web-ukraine.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Lulu-Pages+%28Lulu+pages%29
No comments:
Post a Comment