Mohd. Kazim Elias (dua dari kanan) bersama Mohd. Asri Zainul Abidin (dua dari kiri) dan Redhuan Tee Abdullah (kiri) serta Mohd. Najmuddin Elias sewaktu Forum Perdana di Dataran Astaka, Batu Kurau, Perak, malam tadi utusan/UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
LARUT 19 Mac – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim
Elias hari ini mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada menyertai
sebarang program ceramah yang bersiaran di televisyen.
Bagaimanapun katanya, beliau akan tetap muncul mengadakan
ceramah seperti biasa di luar televisyen termasuk bagi rancangan Kalau Dah
Jodoh kerana masih terikat kontrak bersama Astro.
Pengumuman itu dibuat melalui Forum Perdana Hal Ehwal
Islam di Padang Astaka, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Kamaruddin Batu Kurau
di sini yang juga disiarkan secara langsung di saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia
(RTM).
Menurut Mohd. Kazim, punca beliau menarik diri adalah
kerana berasa kecewa apabila ada pihak mengatakannya berdakwah untuk mencari
duit sedangkan beliau melakukan tugas tersebut untuk membiayai Pusat Pengajian
Al-Barakah di Manjoi.
Beliau juga kecewa kerana dituduh meletakkan bayaran
untuk setiap ceramah sedangkan bayaran itu terpulang kepada penganjur.
“Saya kecewa apabila ada yang mengatakan saya penglipur
lara sedangkan saya berceramah meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak
untuk berdakwah tiba-tiba dituduh sebagai penglipur lara. Jadi saya kecewa.
“Saya juga mungkin terlalu over berceramah di televisyen.
Setiap saluran ada saya. Jadi saya rasa saya kena bagi peluang kepada
penceramah dan ustaz lain untuk mengambil tempat saya.
“Saya akan berceramah di
luar televisyen dan tidak mahu menonjol seperti dulu,” ujarnya.
Turut diundang sebagai panel
dalam program yang dipengerusikan Prof. Dr. Redhuan Tee Abdullah itu ialah
Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd.
Najmuddin Elias.
Minggu lalu, Mufti Perak,
Tan Sri Harussani Zakaria menegur Mohd. Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz
Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan
sebagai ‘penglipur lara’.
Sebelum itu, Mohd. Kazim
juga diselubungi isu penyebaran surat dari Jabatan Mufti Perlis yang tidak
bersetuju dengan pemilihan pendakwah terkenal itu untuk menjadi panel satu
forum dengan alasan beliau membacakan riwayat-riwayat palsu.
Terdahulu, Menteri Besar,
Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir secara peribadi meminta Mohd. Kazim agar tidak
berhenti daripada berceramah.
Zambry dalam sidang akhbar
selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri berkata,
sumbangan Mohd. Kazim masih diperlukan kerana kaedah dakwah yang disampaikannya
menarik minat pelbagai lapisan usia dan kaum.
“Saya berharap isu melibatkan Mohd. Kazim tidak dijadikan
polemik, jangan diperbesar-besarkan lagi tetapi diselesaikan dengan cara baik.
“Mohd. Kazim tidak perlu bersara. Jangan ambil keputusan
berhenti (berceramah), saya yakin beliau sebagai orang yang ikhlas dalam
kerjanya akan terus memberikan khidmat ini kepada masyarakat,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/saya-tidak-akan-muncul-lagi-dalam-program-televisyen-8211-ustaz-kazim-1.71515#sthash.unMhAd0P.dpuftelevisyen-8211-ustaz-kazim-1.71515#sthash.unMhAd0P.dpuf
No comments:
Post a Comment