MARIATUL QATIAH ZAKARIA | 03 April 2015 2:26 PM
Ibrahim Anon atau Ujang meneruskan minat melukis kartun walaupun pelbagai dugaan menimpanya.
DISIFATKAN sebagai seorang lagenda dalam dunia kartunis tanah air, Ibrahim Anon sememangnya seorang insan yang dikurniakan bakat besar dalam bidang lukisan.
Sememangnya satu anugerah tuhan yang tidak ternilai buat dirinya, Ibrahim atau lebih dikenali ramai sebagai Ujang, yang ditemui baru-baru ini mengakui, dia bukan terus mahir ‘bermain’ dengan berus, warna, dan pensel, sebaliknya perlu juga mengilap bakatnya dari bawah.
Menyifatkan bidang yang diceburi merupakan bidang yang amat diminati, Ujang telah mengembangkan bakatnya sejak di bangku sekolah lagi.
Ketika di tingkatan empat dia mendapat sokongan padu daripada guru pendidikan seninya , Cikgu Ahmad Rashidi Hassan (kini profesor) dan pendedahan yang diterima itu telah menjadikan dirinya seperti hari ini.
Bukan sahaja dikenali ramai, bahkan kartun-kartun hasil lukisannya mempunyai pengikut setia yang sentiasa dinanti-nanti kemunculannya.
Dengan gaya bersahaja dan tersendiri, tidak sampai beberapa minit ketika sesi temu bual, Ujang berjaya melukis watak yang cukup sinonim dan dekat dengan dirinya, Ujang dan Atuk.
Melihat situasi tersebut ternyata ‘sengat’ Ujang masih berbisa kerana secara tidak langsung ini mampu membuatkan saya mengimbau kembali segala hasil karyanya yang dimuatkan di dalam majalah Gila-Gila suatu ketika dahulu.
Berpeluang duduk dan berbual bersama-sama, akhirnya berjaya ‘mencungkil’ sedikit sebanyak mengenai pembabitannya dalam dunia kartunis tanah air.
Memberitahu tidak semuanya manis untuk dikenang, Ujang berkata, apa yang dilaluinya adalah perjalanan sebuah kehidupan.
Ujang juga tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan teknologi dunia kartun hari ini.
“Kerjaya sebagai seorang kartunis bermula sebaik sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1982. Ketika itu saya ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Ketua Pengarang Gila-Gila, Jaafar Taib di pejabat Creative Enterprise Sdn. Bhd.
“Hari ini minta dan esok sudah boleh bekerja. Jaafar jugalah individu yang bertanggungjawab memberikan nama pena ‘Ujang’ kepada saya kerana di kampung saya lebih dikenali sebagai Ayim.
“Yang pasti sebelum bergelar kartunis, saya banyak belajar daripada Jaafar. Akhirnya pada tahun 1983 buat pertama kalinya kartun saya berjaya ‘dikeluarkan’ satu petak,” ujarnya ketika ditemui di Homework Studio, Taman Sri Manja, Petaling Jaya, Selangor.
Terus melangkah tanpa menoleh ke belakang, Ujang akhirnya dikenali ramai kerana sering tampil dengan idea menarik dan unik dalam penghasilan lukisan komik sehingga mampu menarik pembaca untuk terus membeli serta mengikuti setiap karyanya.
Ternyata Aku Budak Minang telah berjaya melonjakkan nama Ujang dalam bidang kartunis sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan kartunis-kartunis lain yang popular ketika itu.
Kehadiran Ujang ketika itu juga diterima baik oleh masyarakat apabila setiap karya yang dihasilkan mampu terjual sehingga mencecah 400,000 naskhah setiap bulan.
Ini kerana, watak yang cuba disampaikan dalam visual humor itu dapat dihayati masyarakat, baik dari segi gaya hidup, budi bahasa dan persekitaran yang secara tidak langsung meletakkan karakter itu lebih dekat di hati pembaca.
Secara tidak langsung, Ujang menjelaskan bahawa watak Ujang itu lahir dalam dirinya waktu membesar sebagai anak Minang dengan pegangan kuat adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Bukan itu sahaja, watak Atuk yang ‘diciptanya’ juga merupakan watak yang digarap daripada datuknya sendiri.
Bermula saat itulah, era Ujang bermula hinggalah dia berhenti dari Creative Enterprise selepas 10 tahun berkhidmat dan memulakan kerjaya di sebuah syarikat penerbitan baharu.
Kerjayanya terhenti setelah karyanya dipatenkan oleh individu berkepentingan, sekali gus merampas kehidupan dan segala pencapaiannya selama ini.
“Saya budak kampung yang berasal dari Juaseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada ketika itu mana tahu tentang paten, hak harta intelek atau hak cipta terpelihara ini.
“Jadi saya cuma ada diri saya untuk dijadikan bukti dan semuanya telah dipatenkan seperti nama, karakter, dan semua yang berkaitan termasuklah tandatangan Ujang yang sudah jadi hak milik pihak tersebut,” tambah beliau bagaikan tidak percaya kejadian seperti itu boleh berlaku ke atas dirinya.
Ujang yang kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata memberitahu, rentetan daripada kejadian tersebut dia telah memulakan segala-galanya dari ‘bawah’ semula.
Malah dia turut menyepikan diri daripada khalayak kerana begitu terganggu dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja penerbitan.
“Selama 10 bulan saya menyendiri di kampung. Sejak dari itu pelbagai pekerjaan saya buat termasuklah menguruskan perusahaan rumah bot (boathouse) di Tasik Kenyir.
“Alhamdulillah walaupun diuji, setakat ini saya masih lagi mampu melakukan apa yang terdaya. Hari ini pancing yang pada awal merupakan hobi telah pun menjadi satu pekerjaan ‘tetap’ dan melukis hanyalah kerja sambilan,” ulas bapa kepada empat orang cahaya mata itu lagi.
Hari ini, selain mengusahakan rumah bot, Ujang masih melukis kartun dan menyumbangkan suara untuk iklan-iklan syarikat korporat.
Ujang juga tidak pernah berhenti bekerja apabila terbabit dalam program-program televisyen seperti program Joran Santai Bersama Ujang dan sedang dalam perancangan untuk menerbitkan program eksplorasi sebanyak 13 siri.
Terbaharu, Ujang juga berkolaborasi dengan syarikat perhiasan emas, Nubex Sdn. Bhd. (Nubex) dengan memperkenalkan kepingan emas yang mempunyai signatur Ujang.
Bagaimanapun tuturnya lanjut, selagi masih mampu memegang pen untuk melukis, selagi itulah dia akan meneruskan minatnya dalam dunia kartun.
Ternyata beliau yang menginjak usia 50 tahun, tidak menganggap faktor usia sebagai penghalang untuk terus berkarya.
Ditanya mengenai penampilan sekarang yang dilihat sedikit berbeza daripada sebelumnya, Ujang menjelaskan, dia telah menjumpai dirinya yang sebenar.
“Biasalah kita manusia, selepas dilanda musibah barulah kita akan muhasabah diri dan pada masa yang sama ketika itu jugalah baru kita teringatkan tuhan.
“Saya juga tidak terkecuali kerana daripada ada segala-galanya, saya tinggal sehelai sepinggang. Selama setahun saya mengembara dan dalam tempoh itulah dari segi kerohanian saya sendiri yang faham dan hanya diri saya sahaja yang mengetahuinya,” katanya.
Masih lagi dibelenggu dengan 19 saman yang tertangguh, Ujang bagaimanapun reda dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kepada peminat-peminat tegar Ujang dan juga kaki pancing, anda bolehlah mendapatkan koleksi majalah kartun terbaharu daripada Ujang iaitu Kompilasi Komik Lubuk.
Anda juga boleh layari laman sosial facebook Ujang untuk mengikuti perkembangan terbaharu kartunis tersebut.
Ujang bersama rakan-rakannyadi Homework Studio, Taman Sri Manja, Petaling Jaya, Selangor.
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/dunia-kartun-tetap-di-hati-1.76714#sthash.sheTbVLE.dpuf
No comments:
Post a Comment