Sinar Harian 27.4.15
MENDENGAR wakil rakyat ultra kiasu berbahasa Melayu (BM) di Parlimen saya jadi loya. Berpuluh tahun dan bergenerasi tinggal di bumi bertuah ini, masih lagi tidak dapat menguasai BM dengan baik.
Masih menggunakan kata-kata “lu” (kamu) dan beberapa perkataan lain seperti terburu-buru menjadi “terbulu-bulu”, raja menjadi “laja” dan macam-macam lagi perkataan yang melucukan.
Sebagai orang Cina, saya akui, memang sukar untuk menyebut perkataan yang ada huruf “R”. Sebutan lori menjadi loli, lari-lali, rama-rama-lama-lama, durian-lulian, rumah-lumah, ragu-lagu. Haiyaa…ini maciam pun ada, manyak susah wooo. Bulung-bulung pun telebang di angkasee…
Jika minoriti Cina Terengganu dan Kelantan boleh menyebut dengan baik, kenapa orang lain tidak boleh. Bukankah kita bangsa Malaysia. Janganlah dibandingkan dengan Cina di Indonesia dan Thailand. Mereka jauh lebih baik.
Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Inilah akibatnya dalam sebuah negara yang mendaulatkan BM sebagai bahasa negara, ada orang lain yang meletakkan bahasa ibunda lebih tinggi dari yang lain, seolah-olah tinggal di negara lain.
Sudah sampai masanya setelah sekian lama peluang diberikan, kerajaan menggubal undang-undang, mereka tidak boleh menguasai BM dengan baik perlu diberikan pilihan.
SPR mesti mensyaratkan sesiapa sahaja mahu menjadi wakil rakyat sama ada peringkat Parlimen mahupun Dun, paling kurang perlu mendapat kepujian (kredit) BM dalam SPM. Kelayakan minimum, ada diploma. Wakil Rakyat perlu ditemu duga penguasaan BM dan sejarah kenegaraan, sebelum dibenarkan bertanding.
Kita tidak mahu perbahasan di Dewan atau Parlimen seperti pasar malam. Amat malu melihat gelagat wakil rakyat hari ini berkelakuan seperti budak-budak.
Setakat ini, mengikut undang-undang sedia ada.
Semua warganegara, berumur 21 tahun, bermastautin, sempurna akal, tidak muflis, tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan, tidak disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah, mendapat pengampunan jika mempunyai rekod jenayah, tidak pernah didenda tidak kurang daripada RM2,000, tidak membuat akuan taat setia kepada negara luar, bertanding atas nama parti atau sebagai calon bebas dan mengemukakan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon dan tidak pernah dihukum penjara melebihi 12 bulan, layak bertanding.
Saya teringat satu insiden suatu ketika dahulu apabila TPM ditanya wartawan dalam bahasa Inggeris (BI), maka TPM jawab dalam BM. Wartawan tersebut tidak faham dan mahukan TPM menjawab dalam BI.
Siapakah mereka? Sudah tentu wartawan ultra kiasu. Sudahlah wakil rakyat tidak boleh menggunakan BM dengan baik, wartawan yang melaporkan berita pun sama. Apakah kualiti berita mereka boleh dipercayai? Sudah tentu tidak.
Buktinya berita mengenai saya yang ditahan di lapangan antarabangsa Kuching, gara-gara saya tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Media mereka tanpa usul periksa memutar belit berita tersebut mengatakan saya ditahan. Walhal saya tidak pernah menjejak kaki pun di tempat tersebut.
Kedua, berita mengenai anak saya yang dikatakan memalsukan sijil SPM. Wartawan Bernama yang pertama sekali mendapat berita tersebut, pada 24 November 2014, melaporkan anak saya adalah mangsa pemalsuan sijil oleh ejen.
Tiba-tiba keluar dalam media mereka, beritanya adalah, anak saya terlibat dalam pemalsuan sijil SPM. Saya menjadi mangsa kutukan dunia, sehingga ke hari ini, untuk mematikan karakter saya.
Menyedari pembohongan itu, wartawan Bernama menelefon saya mengatakan bahawa beritanya telah diputar belitkan. Empat jam selepas itu, berita tersebut bertukar mengikut apa yang dilaporkan Bernama yakni anak saya menjadi mangsa penipuan. Inikah kualiti laman sosial yang dipertahankan ultra kiasu?
Saya telah membuat laporan polis tentang perkara tersebut. Saya bertanya kepada wartawannya, kenapa berita mengenai saya diputar belitkan? Maka jawapannya, itu adalah kerja editor kanan yang telah mengedit berita yang telah dibuat. Berita ini juga turut dipetik oleh akhbar Cina.
Peliknya, apabila pengarang tersebut ditangkap untuk disoal siasat berhubung pemalsuan berita mengenai hudud dan raja-raja Melayu, wakil rakyat ultra kiasu pakat-pakat berpakaian hitam di Parlimen dan Dun, sebagai tanda protes, membelakangkan raja Melayu.
Inilah kebobrokan. Mereka semua betul, kita semua salah. Saya sendiri pernah bercakap dengan wartawan kanan berbangsa Melayu yang ditangkap itu. Kenapa saya sentiasa menjadi target berita. Jawapannya, itu memang kerja mereka, kerana saya adalah target, public figure. Nasihat kepada semua, jangan bertindak ‘terbulu-bulu’ (terburu-buru).
* Prof. Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPA, UniSZA
http://ridhuantee.blogspot.com/2015/04/jangan-bertindak-terbulu-bulu.html
No comments:
Post a Comment