LELAKI yang berpakaian ala pendekar Melayu silam menimbulkan rasa gharib pada hadirin yang hadir pada majlis ilmu tersebut.
Segak mengenakan sepasang baju Melayu cekak musang dan bertengkolok, Radzi Sapiee, 45, tanpa rasa segan melangkah dan mengambil tempat di dalam bilik senat Universiti Kebangsaan Malaysia itu untuk mendengar wacana tentang bangsa Melayu baru-baru ini.
Ketika ditebak tentang perasaan segan menyarung pakaian tradisional itu, dia tegas menidakkan perihal perasaan berkenaan. Sebaliknya, penulis dan pemilik blog merahsilu.blogspot.com yang mendapat pendidikan dalam bidang matematik dari University College of London itu berasa bangga menyarung pakaian warisan Melayu.
“Inilah salah satu cara untuk saya menunjukkan betapa bangganya saya bergelar Melayu. Saya juga mahu masyarakat mengenal dan kembali kepada warisan lama yang sepatutnya dikekalkan.
“Pemimpin Afrika dan Arab bangga menyarung pakaian tradisional mereka ke majlis-majlis antarabangsa, kenapa tidak kita?, ujar Radzi atau lebih dikenali dengan nama Merah Silu membuka bicara.
Bangga jadi anak Melayu
Dia sengaja memakai pakaian tersebut ketika menghadiri majlis-majlis akademik untuk menghidupkan kembali pemakaian baju tradisi Melayu bagi menyebar luaskan pengaruh tersebut.
Cerita bekas wartawan itu, dia pernah berasa malu atau menganggap lekeh tentang warisan bangsanya. Bagi Merah Silu, pakaian tradisi itu hanya sesuai dipakai ketika bersilat.
Berpendidikan tinggi dari sebuah universiti di luar negara, sudah tentu pakaian moden lebih menjadi pilihan untuk disarung oleh lelaki kelahiran Muar, Johor itu. Bagaimanapun, kongsi Merah Silu, segala-galanya berubah tiga tahun lalu apabila secara perlahan-lahan dia mula menyintai apa saja mengenai keturunan yang diwarisinya sama ada budaya, adat mahupun pakaian.
“Banggalah menjadi anak Melayu. Melayu bangsa yang hebat. Zaman Kesultanan Melayu Melaka sudah membuktikan. Dari dulu kita sudah hebat.
“Orang Jepun berjaya mengikut acuan sendiri. Jepun menggunakan semangat Samurai, pahlawan kebanggaan mereka. Kita juga patut berbangga dengan nilai pendekar Melayu yang tidak mudah menyerah dan penuh dengan sifat pejuang,” ujarnya penuh mendalam.
Selain itu, Merah Silu juga turut aktif menulis buku-buku patriotik tentang Melayu selain turut melakukan kajian secara ilmiah. Dia telah menghasilkan trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk Berpetualang ke Aceh selain turut menjadi pencetus idea penubuhan Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (Hikmah).
Hikmah merupakan satu pertubuhan yang diwujudkan untuk menyatu serta membincangkan perkara berkaitan bangsa Melayu dan Islam.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal Dahalan, 33, pula berkata, Melayu dan Islam adalah satu dan tidak boleh dipisahkan.
Kata aktivis dari Negeri Sembilan itu, perkataan dan maksud Melayu itu perlu difahami huruf demi huruf oleh bangsa itu sendiri.
“Ejaan Melayu dalam tulisan jawi mempunyai makna yang mendalam. Mim merujuk kepada Muhammad yang menjadi pemimpin dan rasul akhir zaman buat umat manusia manakala lam alif (la) pula adalah kalimah Lailahaillallah.
“Huruf ya pula mewakili keseluruhan bangsa Melayu itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai sub etnik manakala wau pula merujuk kepada zat qudus Pencipta,” jelasnya yang banyak membuat kajian tentang bangsa Melayu sejak tahun 2011.
Jika ada salah satu daripada huruf untuk ejaan Melayu dilucutkan, ia akan membentuk perkataan yang tidak sepatutnya. Justeru, elemen maksud bagi setiap huruf perlu dihayati, difahami dan diamalkan.
Saran Muhamad Akmal, bangsa Melayu perlu mengenal diri dan bangsanya yang menggalakkan perbuatan baik dan mencegah perkara mungkar seperti yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka.
Manusia pertama
Muhamad Akmal berkata, individu yang bergelar Melayu patut berbangga dengan darah yang mengalir dalam tubuh mereka kerana sejarah dan kehebatan bangsa tersebut.
Cerita pemuda itu, manusia pertama yang mengelilingi dunia ialah orang Melayu selain bahasa Melayu yang menjadi bahasa pertuturan utama pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang digunakan untuk berdagang dan berdakwah.
Dek kehebatan bangsa tersebut, Muhamad Akmal menegaskan, bangsa Melayu itu sendiri perlu mengkaji dan menelusuri sejarah bangsa.
Atas rasa sayang Muhamad Akmal terhadap bangsanya, dia telah mewujudkan satu tapak yang diberi nama Ladang Alam Warisan (LAW) di Seri Menanti, Negeri Sembilan yang berkonsepkan Melayu sejati.
“Dalam LAW, orang ramai boleh mengenal Melayu dengan sebenar-benarnya dalam semua aspek seperti adat dan budaya, aktiviti serta pakaian tradisional yang disarung oleh orang terdahulu.
“Aktiviti paling menarik di ladang ialah memanah berkuda. LAW menjadi tempat pertama di Malaysia yang menyediakan kemudahan untuk melakukan aktiviti memanah berkuda,” jelas Muhamad Akmal yang mempunyai perniagaan pengiklanan.
Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman berkata, di negara ini faktor agama Islam menjadi teras kepada pengertian Melayu.
Jelasnya, sesiapa sahaja yang menganuti Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu digolongkan sebagai Melayu tanpa mengambil kira asal-usul individu tersebut.
“Terdapat empat pendekatan utama untuk mencari susur galur Melayu iaitu perubahan paras laut, etno-linguistik, deoksiribonukleik (DNA) dan budaya material.
“Kajian DNA menunjukkan orang Melayu dan Orang Asli serta bumiputera lain adalah sebaka dan telah wujud di alam Melayu sejak hampir 60,000 tahun atau lebih dahulu yang dipercayai tersebar dari Madagaskar ke lautan Pasifik dan ke Taiwan,” terangnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar pula berkata, orang Melayu berasal dari Kepulauan Melayu yang meliputi kawasan dan tersebar luas di Lautan Hindi dan Pasifik selain menjadi penduduk awal di kawasan tersebut.
“Orang Melayu pada awalnya tinggal di kawasan yang digelar Pentas Sunda atau Benua Sunda sebelum berpecah kepada beberapa kawasan setelah benua tersebut ditenggelami air.
“Natijah peristiwa tenggelamnya Benua Sunda, orang Melayu tersebar di belahan dunia yang amat luas, lantas menjadi satu rumpun bangsa yang besar termasuklah di Kepulauan Pasifik,” jelasnya.
Kongsinya, Raja Kalakaua (1831-1891) dari Hawai’i menganggap dirinya berbangsa Melayu malah mempunyai hubungan rapat dengan Sultan Johor pada ketika itu iaitu Sultan Abu Bakar.
Terang Md. Salleh, semangat kekeluargaan rumpun Melayu amat ketara di Haiwaii apabila Parlimennya telah membincangkan usul ke arah penyatuan Melayu yang bertajuk, Dunia Malayo-Polynesia pada tahun 1879.
“Seperti orang Melayu di Tanah Melayu, mereka juga bukan pendatang, namun menjadi bangsa yang serumpun dengan Melayu dan berasal dari pentas yang sama,” tegasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3YUtH8Ayl
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment