Subhanallah.. Ini kisah sebenar, seorang sami peluk agama islam | Kebenaran Islam yang ternyata berbeza dibandingkan dengan agama lain telah memikat hati seorang sami yang berasal dari Johor untuk memeluk agama tersebut. Penaung Persatuan Cina Islam Malaysia (Macma) Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, sami berketurunan Cina berusia 66 tahun itu merupakan antara dua individu yang diislamkan dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, Krubong di sini hari ini.
Menurutnya, usaha tersebut memperlihatkan perkembangan syiar Islam yang baik di negara ini. “Kaum Cina merupakan kaum yang begitu strategis, mereka berkebolehan dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi dan apabila adanya pendakwah menyebarkan Islam dalam kalangan mereka, saya rasa ia satu usaha yang begitu murni dan mulia. “Dengan kerjasama semua pihak, diharapkan akan lebih ramai yang faham tentang Islam dan seterusnya jatuh cinta terhadap agama ini.
“Kita berasa amat terharu dalam keadaan Islam digembar-gemburkan sebagai imej yang negatif di sisi media barat, Macma Melaka boleh melahirkan usaha pengislaman melibatkan seorang sami yang ternyata ini bukan satu tugas yang mudah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut. Yang turut hadir, Pengerusi Macma Melaka, Lim Jooi Soon. Menurut Jooi Soon, sami yang enggan identiti dan gambarnya didedahkan itu berpengalaman selama 28 tahun sebagai sami di Taiwan.
Katanya, sami tersebut begitu berminat untuk mengetahui tentang perkembangan Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam selepas berbincang tentang topik mengenali tuhan tiga minggu lalu. Seorang lagi lelaki yang memeluk Islam dalam majlis tersebut ialah Teoh Boon Khoon, orang kurang upaya (OKU) berasal dari Pulau Pinang dan merantau ke Melaka untuk mencari rezeki. Dalam pada itu, Rahim berkata, sejak tahun 1990, seramai 4,251 orang saudara baharu telah memeluk Islam di negeri ini. Katanya, jumlah tersebut termasuk 760 orang berketurunan Cina. -Utusan
http://www.lulu-pages.com/2015/04/subhanallah-ini-kisah-sebenar-sami-66-tahun-peluk-agama-islam.html
No comments:
Post a Comment