Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 10 May 2015

5 Punca Ramai Gagal Dalam Simpanan Haji

Panggilan haji,
Telah tiba lagi,
Menunaikan ibadah,
Panggilan Baitullah

Saban tahun kita mendengar lirik ini didendangkan di televisyen dan radio, memberi petanda bahawa musim haji telah tiba.
Semua orang Islam mempunyai impian untuk menunaikan haji. Menunaikan haji ialah salah satu tiang dalam rukun Islam yang 5. Ibadah haji itu mempunyai segala macam kebaikan dan ganjaran, berserta tempat-tempat lawatan yang mustajabnya doa.
Dan semua bakal haji tahu untuk menunaikan haji, ia satu bentuk pelaburan yang memakan kos yang besar (begitu juga halnya dengan ibadah umrah). Kerana tahu bahawa peri pentingnya menyimpan atau menabung untuk menampung kos persediaan dan perbelanjaan menunaikan ibadah haji ini, Tabung Haji itu asal namanya ”Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji”, sebelum digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji dan bertukar nama kepada Lembaga Urusan dan Tabung Haji.
Menunaikan haji
Dengan jumlah pelanggan tetap yang berpuluh ribu orang setiap tahun, Tabung Haji memiliki kuasa tawaran yang 10 kali ganda lebih besar dari mana-mana agensi pelancongan, jadi dengan kuasa yang ada Tabung Haji boleh menentukan harga lebih murah jika dibandingkan dengan harga pakej yang ditawarkan oleh pihak swasta.

2 Cara Menunaikan Haji Di Malaysia

Ada 2 cara untuk seseorang itu menunaikan haji di Malaysia. Sama ada melalui Muassasah atau dengan pakej yang ditawarkan oleh pihak swasta.
Mengerjakan haji secara Muassasah bermaksud pergi secara biasa melalui pengurusan Tabung Haji, yang harganya lebih murah kerana adanya subsidi. Pakej oleh pihak swasta pula bermaksud mengerjakan haji contohnya melalui Tabung Haji Travel & Services, yang harganya lebih mahal. Perbezaan harga ini berikutan pemilihan kos haji yang terpaksa ditanggung oleh pihak yang menawarkan perkhidmatan haji tersebut.
Hotel di Mekah
Kos haji langsung jemaah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Makkah, Madinah dan Jeddah, kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi.
Manakala kos mengerjakan haji secara Muassasah – langsung bagi musim 1435H adalah berjumlah RM16,155 seorang. Namun kos bagi mereka yang menunaikan haji buat pertama kali ialah RM9,980 seorang, kerana Tabung Haji masih meneruskan tanggungan (subsidi) sebanyak RM6,175 seorang. Manakala kos mengerjakan haji bagi pihak swasta adalah lebih mahal, dan bergantung pada pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
Pihak swasta mengambil kira tempoh penginapan sepanjang di sana, pakej Haji yang ditawarkan oleh TH Travel & Services Sdn Bhd umpamanya, mengenakan caj yang lebih mahal untuk tempoh 16 hari haji iaitu RM149,990 seorang (3 orang sebilik) berbanding 45 hari iaitu RM34,990 seorang (3 orang sebilik).
Berikut disertakan beberapa dilema yang dialami oleh sesetengah orang – punca mengapa mereka gagal menyimpan dan sanggup putih mata sekadar melihat orang lain gembira menjemput panggilan haji.

Punca 1 – Tidak langsung menyimpan niat untuk menunaikan haji

Tanpa niat yang jelas, mana mungkin wujud objektif untuk menyimpan atau menabung untuk menampung kos perbelanjaan menunaikan ibadah haji. Berapa yang perlu disimpan untuk membolehkannya membayar pihak pengurusan dan melayakkan diri?
Sekiranya seseorang itu “Terpilih” pada tahun semasa, walaupun dia mempunyai pilihan membuat pengeluaran wang di KWSP, namun had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP hanyalah sebanyak RM3,000.00 sahaja. Dia masih perlukan duit simpanan sekurang-kurangnya RM6980 untuk membayar Kos Haji (itupun bukan angka kos perbelanjaan bersih).
Jika giliran nama sudah terpilih pun, tanpa sebarang duit simpanan, pasti pening juga kepala kerana kos bayaran kepada Muassasah perlu dibayar.
Setelah terpilih, pasti ada yang berhasrat menerima sahaja tawaran menunaikan haji pada tahun semasa terlebih dahulu, dengan harapan mencari duit untuk kos haji di kemudian hari.
Tetapi akibat tidak mempunyai simpanan atau perbelanjaan yang mencukupi, mungkin ada yang terpaksa/sanggup membatalkan hasrat dan peluang yang telah tiba. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa pembatalan/penundaan sedemikian akan mengakibatkan anda didenda setelah debit Bayaran Haji terlaksana, setelah jadual penerbangan dikeluarkan atau setelah jadual penerbangan dikeluarkan dan visa haji diperuntukan (rujuk Akta TH 535).

Punca 2 – Takut dengan ibadah haji kerana tidak tahu manasik haji

Kerana terlalu fikirkan tidak tahu dan jahil dengan manasik haji, mereka sentiasa dalam mode ‘tidak bersedia’. Walhal kursus haji sentiasa disediakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta 3 hingga 6 bulan sebelum bertolak menunaikan Haji.Dalm kursus itu diajar bukan sahaja berkaitan dengan ibadah haji ( seperti tawaf di model Kaabah, Sa’I, lontar Jumrah dan sebagainya), tetapi juga tips bagaimana menghadapi kehidupan sehari-hari di tanah Arab tersebut.
tidak perlu takutkan wang
Ketakutan ini juga sebahagiannya disebabkan lebih banyak dimomokkan dengan pelbagai kisah-kisah tahyul dan khurafat tentang pembalasan yang bakal haji terima melebihi rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap susah payah hambaNya dalam cubaan menunaikan ibadah ini.

Punca 3 – Haji secara Muassasah, dengan sikap “lambat lagilah”

Seorang anak muda yang berumur 25 tahun mendaftarkan diri untuk menunaikan haji dengan Tabung Haji umpamanya, mungkin mendapat giliran pada tahun 2045. Pada waktu itu umurnya telahpun sekitar 50-an. Kerana terlalu bergantung kepada menunaikan haji secara Muassasah yang gilirannya pada tahun 2045, sikap ‘lambat lagi-lah’ menyebabkannya tidak langsung menyimpan hasrat untuk menyimpan duit.
Walhal jika benar ingin pergi haji secara Muassasah, bermakna pemuda itu mempunyai 31 tahun (372 bulan) untuk merancang belanjawan hajinya.

Punca 4 – Menyimpan tanpa sasaran

Ada yang menyimpan, atau mungkin buat pemotongan bulanan daripada gaji yang diterima tetapi tidak membuat kira-kira dan ramalan kerana terlalu mengharapkan keajaiban selepas melihat angka-angka simpanan itu.
Ada yang menyimpan sekadar menyimpan, ini namanya menyimpan tanpa ketentuan. Sama ada anda memilih untuk menyimpan RM50, atau RM100, atau hingga ribuan ringgit secara bulanan, semua ini bergantung kepada objektif simpanan dan sasaran tempoh yang anda perlu putus dan tetapkan lebih awal.
Sasaran
Selepas objektif simpanan telahpun dibuat, maka wajar penyimpan membuat kira-kira dan ramalan tentang tarikh atau tempoh untuk menyiapkan anda menunaikan haji, dari aspek kewangan menampung kos haji.
Sebagai contoh, bermula dengan soalan, seorang pemuda yang berusia 25 tahun, yang tidak berhasrat menunggu mengerjakan haji secara Muassasah, berapakah simpanan yang diperlukan setiap bulan bagi membolehkannya mempunyai kewangan yang cukup untuk menunaikan haji pada tahun yang diinginkannya?
Dengan objektif menyimpan yang jelas, anda mungkin tidak lagi perlu menunggu pemergian haji yang tertakluk kepada sistem giliran mengerjakan haji. Anda malah boleh mengerjakan haji pada usia muda, melalui pihak swasta.

Punca 5 – Pengeluaran tunai mudah daripada akaun TH

Kerjasama strategik antara pihak Tabung Haji dan perbankan telah meningkatkan akses perkhidmatan Tabung Haji kepada lebih ribuan rangkaian perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) perbankan.
Tanpa dinafikan semua akses ini memudahkan pendeposit untuk melaksanakan penyim-panan wang, pemindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun Tabung Haji yang lain, pemindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun bank,serta perkhidmatan pertanyaan baki simpanan. Namun, akses ini juga menyebabkan pengeluaran wang tunai dalam akaun simpanan menjadi lebih mudah.
ATM
Apatah lagi, prosedur terbaru bahawa amaun simpanan minima RM1,300.00 dan pembekuan wang sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji untuk pendaftaran haji boleh diganti pula hanya dengan menggunakan akaun simpanan KWSP. Dalam erti kata lain, pendeposit tidak lagi perlukan pembekuan wang sebanyak RM1,300.00 dalam akaun Tabung Haji.
Tanpa keazaman menyimpan yang tinggi, pendeposit dengan mudah hilang arah dan mengeluarkan tunai simpanan untuk kegunaan yang dirasakan mendesak.
Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima, ramai yang mampu menunaikan empat rukun Islam yang lain tetapi gagal mengurus dan mencapai matlamat untuk menunaikan haji di Baitullah.
Kita tahu bahawasanya Allah SWT menjadikan umat manusia ini dengan kemampuan yang berbeza-beza. Telah dibahaskan panjang lebar oleh golongan agamawan tentang syarat sebenar berkemampuan yang dimaksudkan.
Namun pernahkah kita ambil iktibar melalui kisah jemaah yang pernah disiarkan di akhbar, yang bercerita bagaimana dia dan anak-anak serta isteri bersusah payah menabung bagi membolehkan mereka menunaikan fardu haji serentak.
“Sebenarnya Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang serta sekalian yang hadir, kami pergi ke Makkah ini bukannya dengan duit ganjaran atau KWSP atau mendapat duit terpijak, tetapi hasil penabungan untuk anak-anak. “Apabila mereka lahir saja, saya lekas lekas membuat tabungan di Tabung Haji. “Hasilnya, kalau sebulan RM50 seorang, dalam masa 21 tahun sudah tentu dapat pergi haji kerana sudah ada lebih RM10,000 seorang,” (RM50 sebulan, lama lama dapat juga ke Tanah Suci, Harakah, 17 Feb 2014)
Ketika ada antara kita yang sanggup melanggan siaran kegemaran secara bulanan, ada yang sanggup membakar duit membeli rokok, mendapatkan rawatan kecantikan di spa mewah dan sebagainya. Tetapi apabila berbicara soal ibadah Haji, ada yang beralasankan kami tidak tergolong dalam orang yang berkemampuan.
 Marilah kita muhasabah diri, dan muhasabah belanjawan peribadi.
http://www.majalahniaga.com/5-punca-ramai-gagal-dalam-simpanan-haji.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...