COPENHAGEN – Sebuah sekolah belajar masakan di Denmark didenda kerana memaksa seorang pelajar perempuan Muslim menjamah daging babi ketika dalam kelas memasak, lapor agensi berita Turki, Anadolu.
Pelajar berusia 24 tahun itu, yang sedang menuntut di Sekolah Memasak Holstebro, diminta merasa hidangan yang dimasaknya, seperti yang dilakukan semua pelajar lain, namun, hidangan tersebut pula mengandungi babi.
Sebuah mahkamah di Denmark mengenakan hukuman denda 40,000 krone (RM21,800) ke atas sekolah tersebut selepas pelajar itu, yang tidak didedahkan namanya, memfailkan aduan secara rasmi terhadap sekolah berkenaan.
Makanan mengandungi babi dan minuman beralkohol yang memabukkan adalah jelas haram menurut ajaran Islam malah ia termasuk semua hidangan yang terdedah kepada unsur mengandungi haiwan dan cecair tersebut.
Pengadu itu menyatakan bahawa dia didiskriminasi dari segi agama dan pada mulanya aduan pertama diterima oleh Lembaga Layanan Saksama Denmark dengan sekolah tersebut telah didenda 75,000 krone (RM40,900).
Pelajar tersebut, yang berpindah ke Denmark dari Libya ketika usianya masih lagi muda, berkata dia memang sudah dimaklumkan bahawa daging babi dan wain akan disertakan dalam resepi-resepi memasak di sekolah itu.
Tetapi dia tidak pula diberitahu bahawa dia juga diwajibkan untuk merasa setiap hidangan yang dimasaknya itu pada akhir sesi untuk menilai tahap keenakan makanan yang disediakan, lapor akhbar berpengaruh, Politiken.
Pihak sekolah mendakwa, mereka cuma meminta pelajar itu merasa sedikit dan bukan menelan langsung namun, hujah tersebut gagal apabila pengadu memperdengarkan bukti audio kukuh yang dirakamkan secara sembunyi.
Sekolah itu kemudian membawa kes ke mahkamah tempatan peringkat lebih tinggi atas alasan pelajar tersebut gagal menamatkan pengajian dan rayuan diterima dengan jumlah denda dikurangkan. – Agensi/H.A.AMREE
http://blog2-barisan.blogspot.com/2015/05/berani-membuat-pilihan_13.html
No comments:
Post a Comment