Sama ada disedari atau tidak umat Islam di Malaysia sekarang dilihat semakin berpecah kepada beberapa kelompok parti, pertubuhan dan penyokong kepada pemimpin tertentu.
Antara yang ketara ialah perpecahan di dalam Pas apabila kumpulan pro Anwar dan DAP terpinggir dalam pemilihan pada Muktamar Pas 2015 awal bulan ini.
Sebenarnya percaturan DAP dan PKR berjaya memecahkan kesatuan dalam Pas. DAP hanya memerlukan sokongan Pas semasa pilihan raya umum dan pilihan raya kecil terutama di kawasan yang ramai pengundi Melayu di dalam dan pinggir bandar.
Sejarah awal penubuhan Pas adalah daripada serpihan UMNO. Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah adalah juga serpihan UMNO, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pimpinan bekas Presiden Pas, Datuk Asri Muda juga ialah serpihan Pas. PKR adalah serpihan UMNO ekoran penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Serpihan terbaru Pas ialah Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) .
Parti serpihan daripada UMNO dan Pas tidak mampu bertahan lama kecuali PKR yang turut dianggotai bukan Melayu. Namun tidak dapat diramalkan sampai bila parti itu akan kekal kerana ramai pemimpin awal meninggalkannya atas beberapa sebab tertentu.
Namun DAP terus dominan dengan mendapat sokongan etnik Cina semasa pilihan raya walaupun terdapat MCA dan Gerakan yang bergabung dengan BN.
Seperti yang diduga, Pasma yang asalnya diwujud sebagai NGO ditubuh oleh pemimpin dan ahli Pas yang kecewa. Pasma dijangka menjadi parti baru sebagai alternatif menggantikan Pas dalam pakatan rakyat (DAP dan PKR) jika Pas yang kini dipimpin oleh pro ulamak disingkir atau memutuskan hubungan politik dengan pakatan itu.
PKR bagaimanapun yang merasakan diri tersepit sedang berusaha “mendamaikan” DAP dan Pas supaya tidak “bercerai” demi servival parti itu di Selangor dan bagi menyambung hayatnya pada pilihan raya umum akan datang.
Pas yang dipimpin pro ulamak kini dilihat semakin mengecil akibat krisis yang melanda parti itu berikutan campur tangan rakannya dalam menentukan kepimpinan selain isu hudud .
Maka itu, DAP menjadi begitu berani mencabar kepimpinan Pas agar meninggalkan pakatan di samping meminta ahli Pas yang dilantik oleh kerajaan PR meletak jawatan di Pulau Pinang dan Selangor.
Cabarap DAP itu merupakan satu bentuk “penghinaan” terhadap Pas. Bantuan yang diberikan Pas dalam PRU 2008 dan 2013 tidak lagi dikenang dan dihargai.
Jika perpisahan DAP dan Pas itu menjadi realiti, parti yang bertunjangkan Islam itu tiada pilihan lain kecuali terpaksa membina kekuatan baru dan bergerak bersendirian dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Pilihan terbaik Pas ialah menyambut tangan yang dihulurkan oleh UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) sekalipun agak rumit bagi parti itu untuk menerima persahabatan walaupun ahli dan penyokongnyaa menghadap kiblatnya sama.
Tidak rugi bagi UMNO dan Pas untuk bersama menyingsing lengan bagi membina kekuatan ummah dalam meneruskan kuasa dominan Melayu dalam politik di samping mengimbangi kekayaan ekonomi di tanah pesaka yang diwarisi ini.
Melayu tidak boleh menjadi peminta sedekah di negara sendiri atau menderita seperti pelarian Rohingya yang diusir oleh rejim junta.
Penjajah yang mengamalkan dasar “pecah dan perintah” semasa zaman kolonial British dulu wajar menjadi pengajaran berharga kepada orang Melayu dalam UMNO mahu pun Pas.
Kepimpinan negara sekarang bukan sahaja diasak oleh pembangkang, tetapi oleh mereka yang tidak puas hati daripada dalam parti sendiri sama ada secara terang atau secara “baling batu sembunyi tangan”.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang disanjung tinggi selama ini pun turut membelasah kepimpinan negara dan beliau sudah pun meramalkan BN akan kalah pada pilihan raya umum akan datang.
Amat malang sekali Malaysia sekiranya UMNO yang menerajui pemerintahan sejak merdeka gagal meneruskan legasi kuasa Melayu angkara persengketaan ini di samping pelbagai dakwaan yang diasak kepada barisan kepimpinan sekarang.
Kita tidak dapat membayangkan bagaimana masa depan anak cucu pribumi yang sedang belajar dan akan menuntut di pusat pengajian tinggi. Adakah mereka masih boleh mendapat keistimewaan lagi?
Di bulan mulia ini, merupakan ketika yang terbaik untuk menghentikan segala tuduhan antara pemimpin yang bertelagah terutama dalam Pas mahu pun UMNO yang menaungi umat Islam di negara majmuk ini.
Umat Islam Malaysia tidak boleh bersengketa selama-lamanya kerana ia akan hanya melemah kesatuan bangsa dan agama suci yang kita junjung dan amalkan bersama.
Jadikan Ramadan yang mulia ini sebagai saksi dan pancang ikatan bahawa kita umat Melayu dan Islam boleh bersama dengan mengikis segala prasangka negatif terhadap pihak lain.
Hentikan segala tuduhan dan dakwaan kerana Rasullulah sendiri berpesan:” Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain, janganlah seseorang Muslim menganiaya saudaranya itu, membenci atau bermusuhan, memutus hubungan mesra dan pulau-memulau..”
http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2015/06/ramadan-masa-terbaik-pemimpin-umno-pas.html
No comments:
Post a Comment