Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 23 July 2015

Dulu Benci, Kini Bela 430 Ekor Kucing

SHAH ALAM - “Dulu saya tak suka kucing dan antara penganiaya kucing. Tapi keadaan kini berubah kerana saya akan selamatkan mana-mana kucing jalanan yang saya jumpa,” kata pemilik pusat perlindungan kucing, Muhamad Razeef Che Shamah, yang kini mempunyai kira-kira 430 kucing pelbagai jenis di bawah jagaannya. 

Berkongsi cerita, pemuda berusia 34 tahun ini mengakui tidak pernah terfikir untuk melakukan kerja amal seperti mana yang dilakukan sekarang ini disebabkan sikapnya yang tidak gemar pada haiwan itu. 

“Saya terpanggil untuk buat semua ini sejak kejadian beberapa tahun lalu. Ketika itu saya menguruskan kucing ayah saya untuk dimandulkan dan mendapat tahu kucing-kucing jalanan yang dikutip Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan dilupuskan sekiranya tiada pihak yang menuntut.

“Malah pada peringkat awal, saya hanya kutip dan rawat kucing-kucing jalanan yang sakit, untuk diselamatkan sehingga benar-benar sembuh. 

“Kini, setelah hampir tiga bulan, boleh dikatakan setiap minggu, saya dan tunang akan ke pusat kurungan haiwan DBKL untuk keluarkan kucing-kucing di sana untuk diberi perlindungan di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beroperasi di sebuah rumah kedai tiga tingkat, Muhamad Razeef berkata, ia merupakan pusat perlindungan kedua yang dibukanya, dan ianya dikhaskan untuk kucing-kucing daripada pusat kurungan DBKL.

Katanya, pusat perlindungan pertama dilaksanakannya sejak hampir tiga tahun lalu, dengan menyewa sebuah rumah teres yang juga terletak di kawasan berhampiran. 

“Saya dan tunang rancang semua ini dalam tempoh seminggu sahaja dengan mendapatkan persetujuan daripada DBKL. Kini selain kami berdua, kerja-kerja menguruskan kucing-kucing ini turut dibantu oleh seorang pekerja dan juga kumpulan sukarelawan yang  tampil setiap minggu.

“Kami perlukan lebih ramai sukarelawan untuk proses mengeluarkan kucing-kucing dari DBKL dan juga kerja-kerja pembersihan pusat perlindungan ini,” katanya.

Kos RM10,000 sebulan 

Bekerja sebagai peniaga pasar malam tidak menghalang lelaki ini menguruskan pusat perlindungan walaupun terpaksa ‘berhabis’ duit.

“Kucing-kucing ini sebahagian daripada keluarga saya, saya membahasakan diri sebagai 'daddy' setiap kali berinteraksi dengan mereka, begitu juga tunang saya membahasakan dirinya 'mummy'. 

“Memang bukan sikit kos yang dikeluarkan tapi saya bersyukur kerana sentiasa dipermudahkan dalam urusan pusat perlindungan ini dengan bantuan dan sokongan daripada orang ramai. Pusat ini dibuka dulu pun atas hasil sumbangan,” katanya. 


Kos yang ditanggungnya termasuk sewa dan bayaran utiliti premis tiga tingkat dan rumah teres, serta makanan-makanan kucing berjumlah hampir RM10,000 sebulan.

“Itu belum lagi termasuk kos rawatan dan ubat-ubatan bagi kucing-kucing yang sakit. Walaupun agak ‘sakit’ setiap kali keluarkan kos, Alhamdulillah ada juga sumbangan yang dapat membantu. 

"Kerana itu saya masih harapkan sokongan dan sumbangan orang ramai. Dalam masa sama saya juga menawarkan servis ‘pet taxi’ untuk menambah pendapatan.

“Tak kisah dalam bentuk apa sekalipun, walaupun surat khabar lama kami terima. Jika ada yang mahu taja untuk rawatan kucing, mereka juga boleh buat bayaran terus kepada klinik haiwan. Kami faham dalam hal-hal begini, ada penderma yang lebih berpuas hati lihat bagaimana sumbangan mereka digunakan,” katanya.

Mandulkan sebelum lepas

Berkonsepkan ‘trap, neuter & return’, ia menjadi matlamatnya sejak awal penubuhan pusat perlindungan kucing berkenaan kerana mahu melihat kucing-kucing itu hidup bebas.

Bagaimanapun katanya, setakat ini masih belum seekor pun kucing dilepaskan walaupun telah dimandulkan. 

“Kami sayang nak lepaskan sebab sejak sakit hingga sihat, kami yang jaga. Tapi kami akan lepaskan juga nanti kerana premis ini tidak akan mampu tampung pada masa akan datang,” katanya yang juga mengalu-alukan pengambilan kucing angkat dari pusat pelindungan itu.

Tambahnya, proses untuk pemandulan kucing-kucing juga mengambil masa kerana kekangan dana. 

“Seekor kucing RM80, jadi kami mandulkan secara berperingkat bergantung kepada dana yang diperoleh. Namun buat masa ini premis ini masih mampu menampung kucing-kucing yang ada, jadi kami tiada masalah,” katanya.


Razeef boleh pilih hidup lebih senang: Nurul Ain

Sementara itu, tunang Muhamad Razeef, Nurul Ain Abdul Hamid, 22, berkata, dia tidak pernah rasa terbeban dalam menguruskan kucing-kucing berkenaan, malahan melakukan rutin harian dengan senang hati.

Katanya, seperti mana tunangnya, ia menjadi satu tanggungjawab yang perlu dilakukannya memastikan nasib kucing-kucing jalanan terbela.

“Razeef lakukan pelbagai kerja untuk usaha ini. Dia boleh hidup lebih senang jika tak terlibat dengan semua ini tapi dia pilih untuk buat semua ini atas rasa tanggungjawab. 

“Insya-ALLAH saya akan terus menyokong dan membantunya dan usahakan ini akan kami teruskan sampai bila-bila walaupun telah berkahwin dan mempunyai anak kelak. 

Tambah anak kelahiran Sabah ini, mereka juga berhasrat untuk membina pusat perlindungan haiwan lebih sempurna sekiranya memperoleh sebidang tanah.

“Sokongan orang ramai juga amat penting untuk pastikan hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan:

Maybank - 162786101733 - Muhamad Razeef Che Shamah
CIMB - 7011298684 - Muhamad Razeef Che Shamah
Paypal - muhamad.razeef@ymail.com


http://pistolnakal.blogspot.com/2015/07/dulu-benci-kini-bela-430-ekor-kucing.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...