Seorang doktor saraf di Amerika Syarikat (AS) mendakwa dia mengalami keadaan ganjil yang membolehkannya merasai kesakitan yang sedang dialami pesakit yang dirawatnya. Joel Salinas dari Hospital Besar Massachusetts dipercayai mengalami keadaan yang dikenali sebagai ‘mirror-touch synesthesia’ yang membolehkannya merasai kesakitan fizikal pesakitnya. Salinas berkata, dia mengalami situasi itu sejak dari kecil lagi dan memberikan contoh, jika dia melihat orang sedang berpelukan, doktor berkenaan turut merasa dia seolah-olah dipeluk.
“Apabila saya melihat orang ramai, saya mempunyai deria rasa tentang apa yang menyentuh badan mereka pada badan saya dan keadaan itu digambarkan sebagai cermin,’’ kata doktor itu sebagaimana lapor portal Oddity Central. Salinas menjelaskan, meskipun dia tidak mengalami kesakitan pada kadar sebenar yang ditanggung pesakit, namun doktor itu menyifatkan keadaan berkenaan amat mengganggunya. Katanya, apabila dia melihat keadaan tangan seseorang dipotong, dia merasakan tangannya juga seperti sedang dikerat.
“Keadaan itu sangat jelas dan saya dapat merasakan darah mengalir,’’ katanya. Mirror-touch synesthesia merupakan keadaan yang sangat ganjil dengan hanya satu atau dua peratus daripada jumlah penduduk dunia mengalami situasi berkenaan. Saintis saraf kognitif, Jamie Ward berkata, keadaan ganjil itu berkaitan dengan saraf ‘cermin’ yang jelas diaktifkan apabila anggota badan melakukan sesuatu tindakan atau melihat orang lain sedang melakukan sesuatu aksi.
“Seperti contoh, kita akan berasa ngeri apabila melihat tangan seseorang cedera parah. Itu adalah contoh lemah tentang pengalaman ‘synaesthesia’,’’ katanya menambah, keadaan ganjil itu akan menjadi beban kepada mereka yang mengalaminya. -AP
http://www.lulu-pages.com/2015/08/seorang-doktor-mengakui-kejadian-aneh-setiap-kali-berhadapan-dengan-pesakit.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Lulu-Pages+%28Lulu+pages%29
No comments:
Post a Comment