Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday 24 September 2015

Menang sorak kampung tergadai

(Sinar Harian 14.9.15)

Saya kurang bersetuju apabila kumpulan merah mahu berhimpun pada 16 September 2015, sebagai respon kepada kumpulan kuning, Bersih 4.0. Jika kita tidak mahu dilihat seperti mereka, kenapa mesti kita mengikut atau respon kepada mereka. Mahu tunjuk siapa lebih ramai atau siapa lebih kuat? Apa yang akan kita dapat selepas itu? Menang sorak?

Menang sorak sahaja tidak cukup jika kampung tergadai. Inilah pepatah warisan nenek moyang sekian lama. Lebih baik tumpukan perkara yang lebih berfaedah.

Ultra kiasu berani kerana mereka sudah berada di tempat yang kukuh. Kewangan mereka mantap, perpaduan mereka kukuh. Melayu pula bagaimana? Ekonomi jauh ketinggalan. Perpaduan entah ke mana? Merempit dan mendadah sana sini. Berpecah hampir kepada berpuluh kumpulan. Sesama kumpulan tikam-menikam. Masing-masing mahu berkuasa. Pendek kata, senaraikan masalah Melayu, menjela-jelalah jawabnya.

Kenapa kita tidak pernah belajar daripada ultra kiasu? Sekurang-kurangnya ambillah pengajaran. Misalnya, kenyataan seorang menteri di Singapura ketika berkempen menjelang hari pengundian pilihan raya mereka 11 September 2015.

Dengan jelas beliau berkata dan menyindirkan kita. Katanya, nasib baik bapanya mendarat di Singapura dari negara China, dan kini dia menjadi warga Singapura. Jika dia mendarat di Tanah Melayu, sudah tentu dia menjadi warga Malaysia selepas berpisah pada tahun 1965. Malaysia dituduh sebagai negara rasuah, rasis dan berbagai lagi yang negatif.

Hebat sangatkah Singapura hari ini? Tidak hairan Singapura maju kerana saiznya sekangkang kera. Bolehkah Singapura maju tanpa kita? Apakah orang Melayu selaku penduduk asal tidak dipinggirkan? Kenapa Dr. Lily Zubaidah tidak dibenarkan pulang ke Singapura? Saya diberitahu, ketika sambutan kemerdekaan negara mereka baru-baru ini, video pendek yang ditayangkan langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar bahawa Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Kenapa sejarah ini perlu dipadamkan? Inilah ultra kiasu yang perlu kita belajar, bukan bertindak sama seperti mereka.

Saya harap orang Melayu membuka mata supaya jangan terlalu beremosi.
Berhentilah melakukan kerja-kerja kurang bermanfaat ini. Ia bukan medan untuk menunjuk siapa lebih buat? Tumpukan perhatian untuk membangunkan anak bangsa agar menjadi manusia berguna.

Fikirkan bagaimana hendak melahirkan lebih ramai orang Islam menjadi pengeluar, bukan pengguna semata-mata. Hari ini, boleh dikatakan kita rata-rata menjadi pengguna.
Tidak mustahil terambil, terbeli, atau termakan benda-benda yang haram, mengandungi babi. Kadangkala saya merasa pelik, kita begitu sensitif dalam soal menyamak bekas atau troli terkena anjing. Tidakkah kita sedar kadangkala kita termakan benda haram secara sedar, apabila kita bukan pengeluar. Seringkali kita dengar makanan yang sengaja dicampur babi dan benda haram yang lain.

Misalnya, tindakan ahli Jawatankuasa Masjid Plentong, Johor Bahru menyamak dengan air tanah, 500 buah troli di sebuah pasaraya selepas ia dicemari air kencing anjing. Pada saya, tidak perlulah disamak, cukuplah disiram dengan air bersih. Lagi pula yang terkena satu dua sahaja. Anak kita tidak akan menjadi jahat, jika terpegang troli tersebut. Ramai yang merempit hari ini, walaupun tidak memegang troli tersebut?

Saya tidak nafikan bahawa pihak pasaraya terbabit bersalah kerana tidak memahami sensitiviti orang Melayu. Pihak pasaraya sepatut menegah mana-mana pelanggan membawa binatang peliharaan. Ini bukan perkara luar biasa, tetapi norma antarabangsa. Ramai bukan Islam yang memberi komen menentangnya.  

Jika kita benar-benar sensitif dengan najis ini, yang perlu 'disamak' adalah perut-perut pemberi dan penerima rasuah, makan hasil hutang tidak berbayar dan pemakan riba. Itu benar-benar haram.

Saya masih teringat orang-orang kampung yang berhutang dengan bapa saya. Buku hutang mereka bertingkat-tingkat, sampai ada yang ditulis di dinding-dinding kedai bapa saya. Anak-anak mereka yang berhutang dengan bapa saya kebanyakan masuk universiti, hutang tidak pernah bayar. Tidakkah perut mereka dan anak-anaknya perlu "disamak"?

Bila tiba bab anjing, kita begitu teliti. Pada saya, berpahala menolong anjing babi dalam kesusahan, berdosa menolong dan bersubahat dengan  perasuah dan pemakan riba dan siberhutang yang tidak membayar hutangnya.

Soal anjing ini soal sensitiviti, bukan terlalu bersifat hukum. Saya bukanlah mahu mempermudahkan hukum, tetapi pendekatan kita dan publisiti sebegini tidak menguntungkan dakwah. Saya tidak fikir mereka yang membela anjing bagi tujuan keselamatan (menjejaki penjenayah), malaikat tidak masuk ke rumah. Malaikat tidak masuk adalah mereka yang kufur dengan Allah, tidak solat dan melakukan aktiviti haram seperti rasuah, riba, berhutang tanpa bayar. Lebih malang jika ada yang berkata tipu Cina tak apa, tipu Melayu jangan, kerana mereka saudara seagama.

Sudah sampai masanya kita lebih banyak bertindak daripada berteori. Kita hanya menang di atas kertas, realitinya kita kalah. Justeru, hentikanlah perhimpunan ini. Tumpukanlah usaha bagaimana memartabatkan agama, bangsa dan negara sebelum terlambat.

http://blog2-barisan.blogspot.my/2015/09/ridhuan-tee_17.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...