Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Dan bagi setiap generasi ada yang memberi petunjuk." (Ar-Raad: 7)
Petunjuk yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah rasul-rasul dan nabi-nabi. Ertinya setiap zaman, Allah pasti akan mendatangkan orang-Nya yang menjadi petunjuk kepada manusia.
Di zaman ada rasul, maka rasul-rasul membawa syariat baru dari Allah. Di zaman tiada rasul, nabi-nabi didatangkan untuk menyampaikan syariat rasul yang sebelumnya. Manakala di segi akidahnya tetap sama, yakni setiap rasul datang untuk mengenalkan Allah sebagai Tuhan kepada manusia. Cuma syariat yang berbeza.
Sepanjang umur dunia, Allah sudah mengutuskan 313 orang Rasul. Ada juga yang mengatakan 314 atau 315 rasul semuanya. Bilangan nabi pula seramai 124 ribu orang. Nabi-nabi ini datang di antara atau di celah-celah kedatangan rasul . Ada juga yang datang bersama-sama dengan kedatangan rasul.
Nabi Muhamad SAW adalah nabi yang terakhir. Selepasnya tiada lagi nabi atau rasul sebab baginda ialah Nabi akhir zaman. Selepas kewafatan baginda SAW, dunia bersambung 15 kurun lagi sebelum kiamat. Ertinya selama 1500 tahun, manusia mempunya nabi yang telah wafat. Apa ertinya ini?
Rasulullah Terus Memimpin
Kewafatan Rasul SAW bukan bermakna berakhirnya misi baginda sebagai Rasul dan Nabi. Bahkan ketika saat kematiannya baginda menyebut, "Ummati, ummati...." Tangisan baginda mengenangkan nasib umatnya itu membawa erti bagindalah yang akan menyelamatkan umatnya dengan izin Allah. Sebagai rasul tentu Allah ada cara-Nya untuk melakukan peranan seorang yang sudah wafat dapat menyelamatkan orang yang hidup.
Hal ini bukan sesuatu yang mustahil. Dalama kitab-kitab terdapat banyak kisah menceritakan bagaimana orang mati (roh orang soleh) boleh membantu orang hidup. Kalau orang soleh pun boleh membantu secara roh, tentulah hal ini Tuhan benarkan berlaku kepada Rasululah SAW selepas kewafatannya dalam memikul tugas sebagai nabi dan rasul akhir zaman. Bahkan sebelum kelahirannya lagi, roh atau nur Muhammad yang suci itu telah berperanan. Nabi Adam a.s pernah bertawasul dengan Rasul SAW apabila melihat nama Muhammad digandingkan dengan nama Allah di Syurga.
Setelah wafatnya Rasul SAW, bumi telah mengadu kepada Tuhan mengapa tiada lagi nabi yang berjalan di atasnya sesudah nabi Muhammad SAW. Amirul Mukminin Sayidina Ali kwh juga telah berdoa:" Ya Allah, Ya Tuhanku! Biarlah bumi ini tidak sepi dari penegak agama-Mu dengan hujah sama ada secara terang-terangan ataupun secara sembunyi."
Walau bagaimanapun, dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT, bumi ini sebenarnya tidak pernah lengang dari para ulama yang hak dan para kekasih Allah dari kalangan wali Autad dan Abdal yang membawa manusia kembali kepada Tuhan.
Rasul SAW bersabda yang bermaksud: " Bahawa para ulama itu adalah pewaris nabi. Sesungguhnya para nabi tiada mewariskan wang, tetapi mereka mewariskan umatnya ilmu pengetahuan. " (Hadis diriwayatkan daripada Anas, tersebut dalam kitab Al Jamius Saghir)
Dalam hadis yang lain , Rasul SAW bersabda yang bermaksud:
"Para ulama umatku sama seperti para nabi Bani Israel." (Menurut Fakhrurrazi, Ibnu Qudamah, Al Baziri dan lain-lain.)
Nabi-nabi Bani Israel yang dimaksudkan di dalam hadis di atas, mereka muncul di celah-celah terputusnya kezahiran para rasul bani Israel. Contohnya Nabi Samuel a.s yang muncul di waktu kekosongan rasul iaitu setelah berlalunya zaman Nabi Zulkifli a.s dan sebelum kedatangan Nabi Daud a.s. Manakala selepas kewafatan Rasul SAW, tidak ada lagi nabi selepasnya. Lalu Rasul SAW mengibaratkan para ulama yang hak di kalangan umatnya ini sebagai pewarisnya dan menggantikannya dalam urusan tugas memikul tanggungjawab meneruskan seruan agama Allah SWT. Begitu sekali nabi memuliakan para ulama di kalangan umatnya dari segi peranan menyampaikan seruan, bukan dari sudut darjah kenabian.
Begitu juga dengan rahmat Allah SWT, di sepanjang zaman hingga kini dunia tidak pernah putus dari adanya para wali Auad dan Abdal yang kerana ketaqwaan merekalah Allah turunkan rahmat-Nya ke muka bumi. Cuma mereka tidak dikenali umum. Tetapi bagi para mujaddid yang zahir setiap awal kurun, kepimpinan mereka lebih terserlah berbanding ulama-ulama lain. Ini kerana mereka adalah ulama berwatak rasul (yakni mereka mendidik dan memimpin manusia menuju Tuhan). Oleh itu menjadi tanggungjawab umat Islam di setiap awal kurun untuk mencari mujaddid di kurunnya kerana ia adalah khabar gembira dari Rasul.
*Sumber dari blogtokwan.blogspot.com
http://detikislam.blogspot.my/2014/12/petunjuk-allah-di-setiap-zaman.html
No comments:
Post a Comment