Antara yang dicadang untuk dimansuhkan ialah hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.

Menurutnya, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.

“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah.

“Anda boleh masuk neraka atau tidak, atau apa sahaja tetapi bukan urusan undang-undang menghukum anda ke dalam penjara kerana melakukannya secara privasi di rumah, bukan taman awam,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Forum Islam Dalam Demokrasi Berparlimen di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat G25, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum, Datuk M. Redzuan Kushairi.

Noor Farida berkata, pelaksanaan undang-undang syariah menjadi masalah apabila ia melanggar Perlembagaan sehingga menjadikan dosa peribadi seseorang sebagai satu kesalahan jenayah.

“Bidang kuasa jawatankuasa perunding ini adalah untuk melihat jika sesungguhnya undang-undang itu melanggar Perlembagaan, mereka akan mencadangkan ia dimansuhkan atau dipinda,” tegasnya.

Tambahnya, G25 akan mendapatkan kerjasama dan penglibatan daripada semua NGO dalam membincangkan perkara tersebut termasuk kemungkinan memohon dana kerajaan untuk memudahkan pergerakan mereka.

Sementara itu, M. Redzuan berkata, jawatankuasa tersebut akan melakukan kajian menyeluruh untuk ‘memperbetulkan’ beberapa perkara di dalam undang-undang syariah yang telah melangkaui sempadan Perlembagaan.

“Ini akan melibatkan masyarakat dan orang ramai, mereka akan mengkaji undang-undang syariah dan sivil untuk melihat di mana bahagian yang pelaksanaan syariah ini melampaui Perlembagaan,” jelasnya.

p/s :  [PESANAN NABI ZAMAN INI AKAN TIBA]

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”
H.R. Muslim
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi)
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim)

Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (HR Ahmad)

http://celahgelegar.blogspot.my/2015/12/pesanan-nabi-zaman-ini-akan-tiba-g25.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)