SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan mengadakan satu taklimat khas Sabtu ini bagi menerangkan isu kerjasama dengan Umno kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut.
Menurutnya, taklimat tersebut akan diberikan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun beliau enggan mendedahkan lokasi dan waktu taklimat itu berlangsung.
“Taklimat itu akan dihadiri pimpinan pusat, negeri dan wakil rakyat Pas. Kita (Pas), sekarang ini dalam proses dalam memberi penjelasan tentang pendirian dan apa yang parti nak lakukan dalam menghadapi politik semasa.
“Taklimat ini berkisarkan kepada keadaan semasa dan isu semasa Pas termasuk pendirian parti mengenai isu kerjasama Pas dengan Umno,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, taklimat itu juga akan memberi peluang kepada semua peserta untuk bertanya sebarang soalan.
“Jadi, kepada yang kurang jelas kita akan jelaskan. Mereka yang mungkin terkeliru, kita akan terangkan supaya hilang kekeliruan itu terutama pimpinan Pas.
“Sebab apa yang dibuat oleh presiden kita adalah apa yang diputuskan oleh parti. Bukan buat keputusan sorang-sorang tetapi bincang ramai-ramai. Kemudian kita mahu turunkan (beritahu) kepada semua pihak (ahli) dalam parti supaya semua jelas dengan isu ini,” katanya.
Takiyuddin menyarankan semua pimpinan Pas yang dijemput pada taklimat khas itu hadir.
Mengulas mengenai kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang bimbang kerjasama Pas dengan Umno akan memberi kesan kepada orang Melayu dan akan menjadi pelindung kepada agenda korupsi yang dilakukan Umno, Takiyuddin berkata Husam perlu hadir pada taklimat ini nanti.
Katanya, Husam mungkin tidak memahami pengertian kerjasama antara Pas dengan Umno seperti yang diterangkan oleh Abdul Hadi sebelum ini.
“Itu bergantung kepada niatnya dan yang tersurat sahaja kita boleh baca. Apa yang saya faham dengan apa yang tersurat itu mungkin dia tidak faham apa move (tindakan) yang akan dibuat oleh tuan presiden (Abdul Hadi)," katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/01/kerjasama-hadi-beri-taklimat-khas.html
No comments:
Post a Comment