Apa lagi pembangkang dan kumpulan anti Perdana menteri nak spin selepas ini kerana data-data yang dikumpul Bank Negara mendapati Malaysia berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) yang lebih baik daripada unjuran iaitu lima peratus bagi keseluruhan tahun 2015.
Kerajaan sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia hanya berkembang sekitar 4.5 peratus tahun lalu.
Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya pada Khamis berkata, bagi suku terakhir 2015, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus suku sebelumnya didorong oleh terutamanya permintaan sektor swasta yang kukuh.
Penggunaan awam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku ketiga 2015.
Penggunaan swasta pula berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku keempat 2015 berbanding 4.1 peratus suku sebelumnya disokong oleh pertumbuhan stabil upah serta keadaan pasaran kerja.
Pelaburan swasta juga berkembang sebanyak 5.0 peratus, merosot sedikit berbanding 5.5 peratus suku sebelumnya dipacu oleh perbelanjaan modal sektor perkhidmatan dan pengilangan.
Pelaburan kerajaan berkembang sederhana pada suku keempat 2015 kepada 0.4 peratus berbanding 1.8 peratus suku sebelumnya disebabkan pertumbuhan perlahan aset tetap yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Bank Negara Malaysia berkata, permintaan domestik akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara berikutan tinjauan masa hadapan ekonomi global masih tidak menentu.
Ini dapat disaksikan menerusi peningkatan kemeruapan dalam pasaran kewangan pada minggu-minggu terawal 2016 disebabkan oleh kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan negara maju selain kejatuhan harga tenaga dan perubahan polisi global.
Menurut bank pusat itu, meskipun ekonomi global dijangka berkembang tetapi pertumbuhannya diramalkan sederhana dan tidak menyeluruh. Ekonomi negara-negara maju dijangka berkembang sederhana manakala bagi negara-negara Asia pula pertumbuhannya diunjurkan perlahan dan bergantung kepada permintaan domestik.
"Ekonomi Malaysia dijangka menghadapi persekitaran yang mencabar dalam tempoh terdekat ini. Pertumbuhan akan terus dipacu oleh permintaan domestik dengan sedikit sokongan daripada eksport bersih.
"Bagaimanapun, kadar perkembangan permintaan diramalkan menyederhana sementara pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan akan terus menyokong penggunaan swasta. Selain itu, isi rumah dijangka akan terus menyesuaikan diri dengan peningkatan kos hidup yang lebih tinggi.
"Pelaburan swasta dijangka menyederhana di bawah trend jangka panjangnya namun masih disokong oleh perbelanjaan modal oleh sektor pengilangan dan perkhidmatan serta pelaksanaan projek-projek infrastruktur," katanya.
Tambah Bank Negara, risiko negatif pertumbuhan masih kekal disebabkan oleh ketidaktentuan persekitaran global serta reformasi berterusan ekonomi domestik.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/02/ekonomi-malaysia-berkembang-lebih-dari.html

No comments:
Post a Comment