Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 29 February 2016

Pekerja varsiti bukan penjawat awam

(Sinar Harian 29.2.16)

Akibat kekangan budget, ramai profesor pencen iaitu mereka yang telah berusia 61 tahun ke atas, tidak disambung kontraknya. Saya lebih suka menggunakan istilah ilmuan berbanding profesor, disebabkan tidak semua profesor terserlah keilmuannya (profess). Ada yang pandai menulis (mengajar), tetapi tidak pandai mendidik. Apatah lagi untuk merakyat. Mereka hanya pakar dalam bidang sahaja.

Berbanding dengan professor di barat, bukan sahaja keilmuan mereka terserlah, mereka turut merakyat, bukan hanya sesekali turun padang. Entah diterima atau tidak ‘ketinggian’ ilmunya oleh masyarakat.  

Apapun kerjaya ilmuan hendaklah dibezakan dengan penjawat awam. Mengikut undang-undang, mereka yang berada di Universiti adalah pekerja universiti bukan penjawat awam. Ada beberapa kes pensyarah kalah dalam perbicaraan kerana menggunakan istilah penjawat awam.

Ilmuan dengan penjawat awam berbeza. Ilmuan, ilmunya penuh di dada. Penjawat awam hanya tahu mentadbir. Ilmuan boleh mentadbir. Pentadbir belum tentu boleh mendidik. Inilah perlu diketahui oleh pemimpin politik masa kini agar jangan terlalu berpolitik.

Agak malang lagi apabila profesor yang memilih untuk menjadi pentadbir, tidak tampil membela profesor sebaliknya menjadi lebih PTD dari PTD. Apatah lagi membaca berita yang menyatakan bahawa bahawa khidmat tenaga kerja profesor universiti ditentukan oleh pihak pengurusan universiti itu sendiri melalui otonomi yang telah diberikan. Persoalan, duitnya datang dari mana? Dari langit?

Tidakkah pemimpin hari ini tidak sedar bahawa berdirinya mereka hari ini adalah disebabkan oleh didikan professor mereka? Justeru, fikirkanlah beberapa perkara berikut. Pertamanya, ilmuan yang bergelar profesor tidak wajar disamakan dengan penjawat awam yang lain kerana perkhidmatan dan sumbangan akademik mereka melebihi penjawat awam lain.

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa kerajaan  harus mewujudkan badan khas untuk memastikan kehebatan ilmu yang dimiliki oleh para ilmuan tidak terbiar begitu sahaja, meskipun telah pencen, terutama dalam mencorakkan halatuju negara. Majlis Persatuan Akademik Negara (MAAC) hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya, selain Majlis Profesor Negara (MPN).

Kedua, umur pencen ilmuan hendaklah dinaikkan kepada 65 atau 70 tahun, selaras dengan amalan antarabangsa. Kebanyakan mereka yang dilantik ke jawatan professor, pada ketika lingkungan usia 50-an. Sayang sekali ilmu keprofesoran mereka hanya dimanfaatkan beberapa tahun sahaja sebelum pencen.

Tidak dinafikan hari ini ramai juga pensyarah muda yang dilantik ke jawatan profesor disebabkan oleh kejayaan menghasilkan artikel dan penyelidikan berkualiti. Malangnya golongan ini hanya pandai menulis tetapi tidak pandai bercakap dan bermasyarakat. Sebab itu, jangan syok sendiri.

Ketiga, professor hari ini janganlah terlalu bergantung harap untuk disambung kontrak. Menyebarkan ilmu tidak hanya di dewan kuliah, tetapi juga bermasyarakat. Pergilah mendampingi surau, masjid dan institusi lain untuk menyebarkan ilmu yang terpendam. Syaratnya, jangan buta agama. Mestilah pandai mengislamisasikan dan mengintegrasikan ilmu kepakaran dengan ilmu agama.

Bidang kepakaran saya adalah Sains Politik. Saya rasa bersyukur kerana selain daripada berada di bilik kuliah, saya diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat sehingga digelar sebagai ustaz. Terima kasih UniSZA. Saya yakin ilmuan lain telah lakukan lebih dari itu.  

Pokoknya, jangan jadi professor jahil. Saya pernah berjumpa dengan profesor yang beri salam pun tidak betul, berselawat pun tak lepas, baca Quran gagap berbanding bahasa Inggeris. Jangan haraplah untuk menjadi imam solat.

Perlu diingatkan, profesor berada dalam kedudukan ketiga, kalangan 15 profesional yang paling boleh dipercayai selain dari doktor perubatan dan guru. Pemimpin politik berada pada kedudukan terakhir iaitu ke 15 yang tidak boleh dipercayai. Kenapa? Sila rujuk kajian BEIM.

Pepatah Cina ada berkata, jika mahu menjadi pemimpin, pastikan rumah tangga dipimpin baik. Bagi memastikan rumahtangga dipimpin baik, diri sendiri perlu dipimpin baik. Bagi memastikan diri sendiri dipimpin baik, hati perlu dipimpin dengan baik. Bagi memastikan hati dipimpin baik, asasnya mestilah ikhlas. Belajar erti ikhlas.

Jarang kalangan kita yang ikhlas. Kebanyakan kita menjadi pakar bodek. Malang sungguh mereka yang dilantik menjadi profesor tidak menjadi  profesor sebenar. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu hari nanti mereka akan pencen?

Dahulu ketika mereka dinaikkan menjadi profesor, tidak susahlah sangat seperti yang disyaratkan pada hari ini. Apabila kita berada di atas, kita susahkan mereka yang mahu naik menjadi profesor. Sedangkan penjawat awam yang lain, misalnya, PTD begitu mudah untuk naik pangkat, berbanding mereka yang setengah mati mengaji sehingga mendapat PhD. Malang sekali bila dapat PhD, ia bertukar menjadi perasaan hasad dengki.

Lebih malang lagi ada professor yang sudah bertaraf JUSA masih tidak dianugerahkan darjah kebesaran, berbanding penjawat awam lain, ada masih begitu muda sudah bergelar ‘dato’. Kenapa? Jawapannya ilmuan tidak pandai membodek seperti ahli politik dan penjawat awam. Teringat kata Albert Camus, some people talk in their sleep but lecturer talk while other people sleep.

http://ridhuantee.blogspot.my/2016/02/pekerja-varsiti-bukan-penjawat-awam.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...