Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 1 February 2016

Pengumuman berani Adenan menyimpang dari norma kebiasaan...



Keputusan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk membuat 'pengumuman awal' mengenai cadangan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, telah menggemparkan seluruh penduduk Kuching.

Meskipun sudah menjadi kelaziman bagi beliau untuk membuat keputusan yang berani, Adenan bagaimanapun berjaya mengejutkan hadirin pada satu majlis di Santubong, Sarawak pada Jumaat malam, apabila mengumumkan secara terang-terangan mengenai tarikh PRN ke-11 yang dicadangkan pada 30 April manakala penamaan calon pada 18 April.

Beliau dilihat menyimpang daripada norma kebiasaanya, iaitu lebih suka menyimpan rahsia mengenai tarikh keramat berkenaan dan pengumuman tersebut, telah diterima secara positif oleh rakyat sama ada di dalam atau pun di luar bidang politik.

Penganalisis sains politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berpendapat, pengumuman itu memberi dua petunjuk iaitu pemimpin negeri berusia 71 tahun itu bukan sahaja berkeyakinan memenangi PRN ke-11, namun yakin untuk memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Kedua, katanya, Barisan Nasional (BN) negeri sudah bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

PRN ke-11 ini, bakal menjadi pilihan raya negeri pertama yang dipimpin oleh Adenan sebagai Ketua Menteri.

"Apa yang boleh saya katakan ialah beliau (Adenan) mempunyai keyakinan. Dengan memilih untuk mendedahkan beberapa bulan lebih awal tarikh yang dicadangkan itu, Adenan juga berhasrat untuk menghentikan semua spekulasi mengenai tarikh berkenaan," kata Dr Jeniri yang juga Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Jeniri memberitahu Bernama bahawa pada masa yang sama, pengumuman itu juga menguntungkan semua parti politik, iaitu memperoleh peluang sama rata serta masa yang mencukupi untuk memperlengkapkan jentera masing-masing bagi menghadapi acara yang dinanti-nantikan itu.

"Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya berpendapat, ia patut menjadi pendekatan pada masa depan, untuk mencapai demokrasi yang matang," katanya.

Sebagai reaksi segera terhadap pengumuman ketua menteri itu, Suruhanjaya Pilihan Raya berkata hanya badan berkenaan mempunyai kuasa untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

"Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa SPR akan membuat keputusan berdasarkan tarikh yang dicadang dan dikemukakan oleh Ketua Menteri," kata Dr Jeniri.

Menurut Dr Jeniri, tarikh yang diberikan itu juga ditetapkan secara strategik dengan program kedua 'Senada Sejiwa', program kerajaan negeri yang bertujuan untuk memperhebatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Program ini telah dilancarkan pada awal Januari dan acara kemuncak akan diadakan di Mukah pada 20 Mac depan.

"Ini adalah petunjuk jelas bahawa Pilihan Raya Negeri akan diadakan dalam April. Program ini juga akan digunakan bagi mengukur sokongan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah," katanya.

Program 'Senada Sejiwa' diperkenalkan buat pertama kalinya, sebagai program pembuka tirai pada PRN ke-10, April 2011.

Pada pilihan raya lalu, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sebanyak 82 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN kali ini.

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/02/pengumuman-berani-adenan-menyimpang.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...