Hari ini Khamis ialah hari akhir sidang Dewan Rakyat sesi kali ini.Ada kejutan sikit berlaku bila Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang berjaya dapat kelulusan dewan untuk bentang usul pendirian yang kontroversial untuk perkasa peranan dan kuasa Mahkamah Syariah setelah dua kali gagal sebelum ini.
Usul itu yakni Usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 asalnya masuk dalam aturan mesyuarat hari ini tetapi terletak pada nombor 15.
Jangkaan ialah pasti ia tidak sempat untuk dibawa dalam sidang kali ini.
Namun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia benarkan usul itu dibawa ke depan untuk dibentangkan.
Cadangan membawa ke depan usul Hadi dibawa oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga urusan Parlimen,Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerjaraya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.
Sejurus itu kalangan ahli Parlimen DAP dan Amanah langsung memekak membantah meriuhkan suasana dalam dewan selama sekitar 40 minit.
Antaranya Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen AMANAH Shah Alam, Khalid Samad.
Loke ketika terus bangun dengan menyatakan tindakan kerajaan memberi laluan terhadap RUU tersebut adalah tidak masuk akal serta mendakwa terdapat agenda politik di antara kerajaan dan PAS.
“Adalah sangat tidak wajar dan pelik RUU bukan kerajaan dibenarkan pada ketika ini dibentangkan di dewan, apakah ini agenda apolitik dari pihak kerajaan, saya pelik dan minta untuk ditimbang semula bagi dibahaskan,” katanya.
Pandikar Amin kemudiannya menjelaskan yang RUU tersebut adalah mengambil kira peraturan mesyuarat 14 (2) dimana sesuatu usul yang dikemukakan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain pada bila-bila masa tanpa mengikut aturan yang telah ditetapkan.
“Bila dibangkitkan, tugas saya mempastikan tafsiran dengan sebaik mungkin tanpa ambil kira agenda politik siapa-siapa, jangan ambil kira kepentingan politik,” tegasnya.
Keputusan beliau bagaimanapun terus ditentang Teressa dengan menuduh keputusan kerajaan mendahulukan usul RUU tersebut memberi satu implikasi besar kepada negara.
Tambahnya, Dewan Rakyat dalam masa yang sama cuba mendahulukan usul tertentu sedangkan banyak lagi usul lain yang perlu dibentangkan.
DAP kemudiannya cuba bertindak untuk membuat undi berbelah bahagi namun tidak diterima kerana RUU itu belum dibentang oleh Hadi.
Khalid dalam masa yang sama turut cuba mencelah dengan meminta kerajaan menyatakan apa prosedur yang diambil sehingga membolehkan RUU tersebut didahulukan.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba-tiba mencelah dengan menyatakan persoalan AMANAH tidak perlu dilayan kerana menyifatkan Ahli Parlimen Shah Alam itu seorang pemimpin yang lalang.
Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan kemudiannya bangun bagi mempertahankan RUU dengan menegaskan bahawa ia bukan perkara baharu dan pernah dibawa sebelum ini sebanyak dua kali.
Selepas penjelasan panjang lebar Pandikar Amin bagi mematahkan bantahan oleh pembangkang, usul berkenaan diluluskan.
Hadi kemudian memohon agar usul berkenaan dibentangkan dan dibahaskan pada sidang akan datang yakni bulan Oktober nanti.
Permohonan itu diluluskan oleh Speaker.
Selepas itu ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen Hadi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan usul persendirian beliau untuk dibentangkan nanti.
Ditanya mengapa usul itu tidak dibentangkan dan dibahskan hari ini, beliau menjelaskan ia adalah disebabkan kekangan masa.
"Terima kasih pada kerajaan kerana membenarkan usul ini.
"(Beri) peluang masa pada ahli-ahli (parlimen). Hari ini hari terakhir (bersidang)," katanya.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata penangguhan sesi bahas berhubung usul berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk mengikuti perbahasan itu pada sesi akan datang.
"Usul ini juga sebagai menyahut seruan Titah Diraja baru-baru ini untuk mengukuhkan Mahkamah Syariah, dan tidak membabitkan orang bukan Islam," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui kelulusan untuk bentang usul persendirian ini adalah bukti kejayaan kerjasama antara PAS dan Barisan Nasional (BN).
"Kerjasama itu wujud untuk perkara-perkara yang berdasarkan kepentingan bersama. Inilah contoh kerjasama yang PAS maksudkan. Kita berterima kasih kepada Speaker dan kerajaan yang membenarkan usul pindaan ini dibentangkan," katanya.
Sementara itu Azalina dalam satu kenyataan menjelaskan RUU yang dilulus untuk dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Marang adalah bagi memperkasa peranan dan kuasa Mahkamah Syariah.
Katanya pembentangan RUU Persendirian Ahli Parlimen Marang itu juga mencerminkan keterbukaan kerajaan apabila membenarkan ianya dibentang di Dewan Rakyat.
“Tindakan ini dilihat selaras dengan usaha Reformasi Parlimen yang telah mula dilaksanakan pada sidang kali ini. Usul seperti ini boleh dibawa oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat dan ini bukan kali pertama.
“Sebelum ini Ahli Parlimen Gua Musang juga pernah membawa RUU Persendirian bagi meminda Akta Pertubuhan 1966 pada 5 Disember 1988, RUU itu dibuat sehingga ke peringkat perbahasan dan undian.
“ Kerajaan terus komited bagi memastikan institusi Parlimen terus dimartabatkan dan amalan demokrasi di negara terpelihara,”kata Azalina.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/05/akhirnyahadi-dapat-lampu-hijau-dewan.html
No comments:
Post a Comment