Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Wednesday, 11 May 2016

(Artikel) Kenyataan terkini Rahman Dahlan mengenai projek Kerajaan Pulau Pinang & Fakta Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang

Posted: 10 May 2016 10:16 PM PDT

Saya sedia maklum bahawa YAB Ketua Menteri telah menolak untuk berhubung dengan saya secara terus dan bergantung kepada Exco YB Lim Hock Seng untuk menjawab soalan saya. Walau bagaimanapun, saya akan mengambil kira ianya adalah jawapan rasmi dari pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pertama, terima kasih kerana mengesahkan apa yang telah saya katakana – dimana jumlah keseluruhan bagi kajian kemungkinan, rekabentuk lengkap dan penilaian impak kepada alam sekitar adalah RM305 juta, dimana saya andaikan hampir keseluruhannya adalah kertas kerja.

Tidak ada langsung dalam sidang mahupun kenyataan media saya; yang boleh didapati di laman Facebook milik saya, kenyataan bahawa RM 305 juta digunakan hanya untuk kajian kemungkinan berkenaan. 

Oleh yang demikian, MalaysiaKini dan YB Lim Hock Seng sepatutnya lebih berhati-hati daripada membuat andaian bahawa angka yang telah saya nyatakan untuk kajian kemungkinan tersebut adalah salah.

Ia boleh menjadi tajuk berita yang hangat namun ia juga boleh menyebabkan terjadinya salah salah yang membawa berniat buruk.
------------
Soalan 1:
Sekali lagi anda telah tersalah anggap terhadap saya. Saya tidak bertanya sama ada KESEMUA RM6.34 bilion bagi projek berkenaan dianugerahkan berdasarkan tender terbuka tetapi saya mengatakan secara terperinci jika kos tiga kajian yang bernilai RM305 juta tersebut dianugerahkan secara tender terbuka

Kita semua sedia maklum bahawa kesemua projek tersebut telah dianugerahkan kepada Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd (CZBUCG).

Namun, kenyataan Bursa Malaysia mengenai Astral Supreme Bhd yang bertarikh 15 Ogos 2013 mengatakan bahawa kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci yang menelan belanja RM270 juta telah dianugerahkan oleh CZBUCG kepada usahasama antara pemegang saham terbesarnya, Zenith Construction bersama syarikat Astral Supreme Bhd.

Lebih menarik lagi, seorang individu yang terlibat itu bukan sahaja Direktor dan pemegang saham Astral Supreme Bhd malah beliau juga pemegang saham terbesar Wira Syukur (M) Sdn. Bhd, dimana syarikat berkenaa merupakan pemegang saham terbesar Zenith Construction Sdn. Bhd.

Satu tahun kemudian, Astral Supreme ditamatkan perkhidmatannya dan alas an yang diberi ialah Astral "tidak mampu mencari konsultan yang berupaya untuk melaksanakan projek".

Dari kenyataan Bursa ini mencadangkan bahawa CZBUCG sebenarnya menganugerahkan majoriti dari RM305 juta untuk kajian kepada pemegang-pemegang sahamnya dan hakikat bahawa Kerajaan Pulau Pinang mengelak daripada soalan saya sama ada kajian-kajian tersebut telah ditenderkan, adakah adil untuk menyatakan jawapan bagi persoalan itu adalah tidak?

Pihak kerajaan Pulau Pinang juga seakan-akan tidak mengendahkan kebimbangan saya mengenai penganugerahan kepada syarikat yang sama untuk bertanggungjawab keatas kajian yang menentukan sama ada projek mereka sendiri boleh menangani sebarang kemungkinan serta mesra alam sekitar atau tidak. Adakah ini mempunyai sebarang konflik mahupun konflik kepentingan?

-----------
Soalan 2
Saya sedia maklum akan kenyataan Kerajaan Pulau Pinang bahawa ketiga-tiga kos untuk kajian berkenaan ialah 5.54% dari keseluruhan kos pembinaan.

Namun, soalan saya ialah mengapa kos kajian kemungkinan bagi tiga jalan raya yang berhubung boleh berjumlah RM31 juta sedangkan terowong bawah laut yang lebih kompleks dan berisiko hanya RM20 juta?

Jumlah kos sebanyak RM51 juta untuk kajian kemungkinan sahaja dan RM305 juta untuk keseluruhan tiga kajian tersebut masih boleh dianggap satu angka yang besar untuk melakukan sesuatu kajian dan saya sedia maklum bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak menyatakan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya yang menawarkan bantuan bagi mengurangkan kos mereka dan memastikan projek tersebut berjalan seiring dengan masa yang diperuntukkan dimana saya sendiri mengesyorkan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk mempertimbangkannya.

Kerajaan Pulau Pinang juga membetulkan kenyataan saya dengan mengatakan jumlah keseluruhan yang dibayar setakat tan sebaliknya.

Pengumuman yang dibuat oleh Bursa pada 12 Jun 2014 menunjukkan perjanjian pertama yang ditandatangani mempunyai laporan penilaian bertarikh 31 Disember 2013 yang menyatakan nilai tanag berkenaan ialah RM840 per kaki persegi.


Pengumumkan kedua bertarikh 28 Disember 2015 menunjukkan nilai tanah pada RM840 per kaki persegi.

Manakala pengumuman ketiga oleh Bursa untuk pembelian 50 ekar daripada tanah berkenaan pada harga RM2.831 bilion dari CZBUCG  yang bertarikh 15 Januari 2016 menunjukkan nilai tanah sebanyak RM1,300 per kaki persegi.

Oleh yang demikian, penilaian terhadap 110 ekar tanah apa harga RM475 per kaki persegi pada tahun 2014 yang diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam penjelasan mereka jauh lebih rendah daripada harga pasaran seperti yang dipetik dari tiga perjanjian oleh Ewein Bhd.
Tambahan pula, kerajaan negeri Pulau Piang dan CZBUCG telah menyatakan bahawa jumlah keseleuruhan kos untuk projek berkenaan tidak sampai kepada RM20 bilion apabila siap pada tahan 2025 tetapi tidak juga memberikan anggaran kos yang sebenar.

Apabila sukar untuk mendapatkan jawapan dari mereka, mungkin lebih senang untuk menyoal sebegini:

Jika harga tanah sebesar 110 ekar tersebut adalah di antara RM845 hinggan RM1,300 per kaki persegi pada hari ini, yang memberi permandangan indah pinggir laut utama di Pulau Pinang, agak-agaknya berapakah nilai tanah ini menjelang tahun 2025 nanti?

Itu akan memberi kita idea akan kos yang sebenar-benarnya bagi projek ini.

Kerajaan Pulau Pinang juga ada mengatakan CZBUCG harus menanggung kos pelbagai kajian dan kos pembinaan terlebih dahulu. Ini menunjukkan bahawa persetujuan untuk pembayaran berdasarkan nilai aset sebagai tanah bernilai.

Namun, berdasarkan jawapan di soalan 3 tadi, adalah adil untuk mengatakan bahawa CZBUCG telah diberi pampasan berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan, dan berdasarkan kepada tiga perjanjian berkenaan, boleh pihak anda  mengesahkan jika CZBUCG telah menjual tanah itu kepada Ewein Bhd bagi beberapa bayaran pendahuluan?

---

Ini adalah beberapa soalan yang ramai penduduk di Pulau Pinang dan pihak NGO sering kali tanyakan berkenaan projek berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan saya percaya bahawa menjadi harapan orang ramai agar soalan-soalan ini diberi perhatian yang sewajarnya.
Saya sangat berharap agar pihak kerajaan Pulau Pinang dan YAB Ketua Menteri dapat memberi jawapan kepada kenyataan media ini.

-TAMAT-


Diterjemah Oleh : KKMM
Posted: 10 May 2016 08:11 PM PDT

Oleh Edwin Michael – Sistem pengangkutan awam negeri yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut ini, tiadanya keperluan terowong berkenaan pada masa kini

Akhbar New Straits Times bertarikh 15 November 2014 melaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang mengakui tidak dapat membantu rakyat di negeri ini dalam aspek pengangkutan dan penjagaan kesihatan.

Sekiranya perbelanjaan mengurus negeri ditambah untuk membantu rakyat Pulau Pinang maka adalah dikhuatiri kerajaan negeri akan muflis. Tetapi lain pula ceritanya dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang ini yang dengan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memiliki kemampuan untuk membiayai mega projek ini berbanding mengutamakan rakyatnya sendiri.

*Skandal Terbesar Tahun 2014?*

Laporan Malaymail Online bertarikh 4 Oktober 2013 menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan projek *Terowong Dasar Laut (PTDL)* dengan kos keseluruhan projek ini yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pembayaran tunai serta pembiayaan melalui pemindahan 110 ekar tanah pinggir laut di Gurney Drive dengan harga RM1,300 kaki persegi atau nilai keseluruhannya sebanyak RM6.3 bilion kepada pemegang konsesi projek ini.

Menurut Malaysian Gazette bertarikh 6 November 2013, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik *Consortium Zenith Sdn. Bhd.* untuk melaksanakan projek ini dan konsortium ini pula telah menjalin kerjasama strategik antara *Zenith Construction Sdn. Bhd.* dan *China Railway Construction Co. Ltd. (CRCC),* bersama Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn. Bhd. dan Juteras Sdn. Bhd.

Projek yang dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan ini terdiri daripada 4.2 km jalan pintas dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, jalan pintas sepanjang 4.6 km antara Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Bandar Baru Air Itam, laluan berkembar sepanjang 12 km dari jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang serta laluan sepanjang 6.5 kilometer dari Pulau Pinang ke Butterworth (laluan terowong dasar laut).

Rakyat Pulau Pinang pula akan dibebankan dengan kutipan tol apabila kerajaan Negeri Pulau Pinang membenarkan syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd untuk mengutip tol selama 30 tahun.

Laporan Bernama bertarikh 19 Mac 2013 pula melaporkan bahawa syarikat konsortium ini boleh menjana untung sebanyak RM 0.27 bilion menerusi hasil kutipan tol ini.

Pembinaan jalan raya adalah sepanjang 27.3 km tetapi hakikatnya 20.8 km daripada jalan raya berkenaan merupakan jalan pintasan biasa dan laluan berkembar.

Jika kita membuat andaian mengenai anggaran kasar pembinaan jalan-jalan biasa ini iaitu kita mengandaikan bahawa kos pembinaan setiap kilometer akan menelan sebanyak RM80 juta maka kos totalnya adalah dianggarkan sebanyak RM1.664 bilion. Manakala bakinya sebanyak RM4.63 bilion pula dianggarkan akan digunakan untuk membina 6.5 km terowong dasar laut tersebut.

Maka, diandaikan bahawa anggaran untuk membina setiap kilometer terowong dasar laut ini adalah sebanyak RM713 juta yang sekaligus menjadikan antara projek yang paling termahal di Malaysia. Malah, projek pembinaan terowong SMART yang melibatkan 9.7 km laluan terowong air ribut dan 4 km laluan jalan raya pun hanya menelan kos sebanyak RM1.88 bilion sahaja.

*Utamakan Rakyat, Bukannya Kapitalis*

Adalah dianggarkan bahawa harga tanah di Gurney Drive pada masa kini adalah RM1,650 kaki persegi yang menyaksikan peningkatan 25% dalam masa tidak sampai dua tahun. Sekiranya pembinaan terowong dasar laut ini disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2025, dan dianggarkan berlakunya peningkatan kadar 10% harga tanah di Gurney Drive maka 110 ekar tanah yang diberikan kepada syarikat Consortium Zenith BUCG ini akan bernilai kira-kira RM19.77 bilion pada tahun 2025.

Ini sememangnya munasabah jika melihat kepada harga hartanah di Pulau Pinang semenjak 12 tahun yang lalu dan pada masa kini.

Sebuah kerajaan negeri yang beretika dan memiliki tanggungjawab moral sepatutnya menggunakan tanah tersebut sebagai cagaran untuk menerbitkan bon yang disokong oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan RM6.3 bilion dan pada masa yang sama memberikan projek kepada syarikat pembinaan yang dipilih secara tender terbuka untuk membina terowong dasar laut tersebut. Bagi memastikan setiap rakyat Pulau Pinang menikmati keuntungan hasil daripada projek ini, kerajaan negeri yang perlu mengutip tol atau menjual tanah 110 ekar itu pada tahun 2025 yang pastinya akan bernilai lebih tinggi daripada kos untuk menebus bon tersebut.

Dengan cara begini, kerajaan negeri akan dapat memastikan negerinya menjana keuntungan melalui harga tanah pada tahun 2025 dan harga bon serta pada masa yang sama menjana keuntungan daripada hasil kutipan tol. Keuntungan ini akan dapat disalurkan untuk menjaga kepentingan rakyat Pulau Pinang termasuk dalam soal pengangkutan awam serta penjagaan kesihatan dan bukannya memberikan terus hak kutipan tol tersebut kepada syarikat swasta.

*RM305 juta hanya untuk kertas kerja?*

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberikan *Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd* sebanyak 9 ekar tanah di Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) yang bernilai RM305 juta untuk membiayai kos kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci projek terowong dasar laut Pulau Pinang termasuk perincian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Secara logiknya, bukankah kajian ini sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menyerahkan projek ini kepada Consortium Zenith BUCG ini?

Mereka yang berfikir secara waras pun akan sedar bahawa kemungkinan untuk pemaju projek ini memberikan laporan kajian yang benar-benar bebas adalah sifar kerana ianya melibatkan keuntungan besar yang bakal diperolehi melalui pampasan 110 ekar tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri serta kebenaran untuk mengutip tol selama 30 tahun.

Malah selain dakwaan bahawa hingga kini tidak ada sebarang tanda-tanda kajian kebolehlaksanaan sedang dan telah dilaksanakan di kawasan melibatkan projek terowong ini, wujud pula persoalan penting yang gagal dijawab oleh kerajaan negeri DAP Pulau Pinang iaitu bagaimana sekiranya laporan kajian kebolehlaksanaan serta EIA menunjukkan projek ini sebagai tidak berdaya maju serta mengundang malapetaka alam sekitar?

*Misteri Disebalik Tender Terbuka?*

Memetik tulisan Ong Eu Soon dalam The Ant Daily bertarikh 25 Ogos 2014 yang mendedahkan bahawa tidak wujud tender terbuka dalam pemberian projek terowong dasar laut ini sebaliknya ia adalah apa yang dikenali sebagai Request for Proposal (RFP) sahaja.

Menurutnya, China Railway Construction Ltd (CRCL) bersama IJM Corporation Bhd membida tender terbuka itu tetapi hanya mencadangkan pembinaan jalan raya sepanjang 4.2 km antara Gurney Drive dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Sementara itu, *VST Cemerlang* bersama-sama dengan *China State Corporation* turut mengemukakan cadangan empat projek pembinaan dan diikuti oleh kontraktor pembinaan iaitu WCT Berhad bersama syarikat gergasi pembinaan Korea, Daewoo Engineering and Construction membida projek jalan raya berkembar Teluk Bahang dan Tanjung Bungah dan projek pintasan pantai Gurney Drive.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah meminta Consortium Zenith BUCG yang merupakan syarikat khas _*(SPV)*_untuk menjadi kontraktor utama projek ini dan bergabung dengan syarikat-syarikat kontraktor lain.

Maka, ini sudah terang lagi bersuluh bahawa keseluruhan proses ini bukanlah proses tender terbuka sebaliknya *RFP* kerana kesemua pembida ini tidak bertanding atas terma dan syarat yang sama.

Malah menurut Ong Eu Soon lagi dalam kenyataannya yang dipetik daripada The Malaysian Insider bertarikh 6 Oktober 2013 yang mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri dalam menganugerahkan projek ini kepada *Consortium Zenith BUCG* yang menurutnya hanya didaftarkan pada Julai 2012 sedangkan tarikh tutup untuk mengemukakan kertas cadangan untuk projek jalan dan terowong ini ialah pada Jun 2012.

Bagaimana mungkin Consortium Zenith BUCG ini boleh dianugerahkan tender tersebut apabila ketika itu (Jun 2012) syarikat berkenaan tidak berdaftar lagi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia?
Sekiranya projek terowong ini telah dianugerahkan kepada Consortium Zenith BUCG melalui tender terbuka maka adalah menjadi tanggungjawab moral kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendedahkan nama syarikat-syarikat yang telah membida tender tersebut, jumlah pembida dan harga tawaran yang kalah dalam pembidaan projek ini.

Garis panduan "Open Tender" oleh Bank Dunia juga menyeru supaya semua tawaran perlu dibuka untuk penelitian orang awam tetapi memandangkan keseluruhan isu pemberian tender ini dirahsiakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan orang awam terutamanya rakyat Pulau Pinang tidak mengetahui siapa pembidanya serta tawarannya maka ini secara langsung menjurus kepada apa yang dipanggil sebagai 'managed tender'.

*SM Mohamed Idris vs Lim Guan Eng*

NGO Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merupakan NGO yang tertua di Pulau Pinang dan sekian lamanya telah merealisasikan prinsip 'semak dan imbang' dengan kerajaan negeri sama ada sewaktu pentadbiran Barisan Nasional mahupun ketika ini dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

*CAP* dan *SAM* menentang keras projek ini dengan alasan yang kukuh bahawanya keseluruhan projek pembinaan jalan dan terowong dasar laut ini hanya akan mewujudkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk, risiko kemalangan dalam terowong serta kesan alam sekitar yang tidak boleh dibayangkan. Turut dipersoal adalah tahap keselamatan terowong dasar laut berkenaan serta perjanjian untuk membenarkan pemaju menebus-guna laut seluas 44 hektar sebagai bayaran pembinaan terowong dan jalanraya.

SM Mohamed Idris yang juga Presiden CAP dan SAM ini yang pernah memainkan peranan utama dalam membatalkan projek pembangunan Bukit Bendera pada tahun 1980-an ini menuntut agar Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mendengar rintihan rakyat dan membatalkan projek berkenaan.

Namun, Lim Guan Eng dalam satu surat terbuka kepada SM Mohamaed Idris yang juga Presiden CAP dan SAM yang bertarikh 21 Mac 2013 dan disiarkan dalam Malaysiakini memilih untuk tidak mempedulikan suara NGO ini dan menyatakan dengan jelas bahawa SM Mohamed Idris dan NGO beliau tidak pernah menghadiri sebarang forum mahupun dialog yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan maklum balas orang awam mengenai projek berkenaan serta menuduh beliau sebagai memilih kasih apabila membuat kritikan.

Surat balasan SM Mohamad Idris kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bertarikh 26 Mac 2013 yang turut disiarkan di Malaysiakini pula telah mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri memulakan projek mega ini tanpa menjalankan penilaian implikasi jangka panjang kepada negeri serta alam sekitar dan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang juga gagal dalam memberikan bukti yang menyakinkan bahawasanya projek ini akan dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Malah menurutnya lagi, forum dan dialog yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ini bukannya bersifat untuk mendapatkan pandangan awam sebaliknya adalah menjelaskan keputusan kerajaan negeri yang mahu untuk meneruskan projek ini.

Persoalan fundamental kini ialah apakah perlunya sebuah projek berskala besar begini dan apakah kajian kebolehlaksanaan dan keuntungan kos telah dijalankan sebelum keputusan untuk menjalankan projek ini dibuat?

Hakikatnya, kerajaan negeri menandatangai MOU untuk pembinaan empat jalan utama dengan syarikat daripada China sebelum memulakan kerja perundingan melibatkan Pelan Induk Pengangkutan atau Transport Master Plan. Malah, kerajaan negeri Pulau Pinang jelas gagal dalam menjelaskan atas asas apa keputusan-keputusan ini dibuat.

Tindakan Lim Guan Eng yang tidak mempedulikan suara NGO-NGO sivil ini turut mendapat bantahan daripada ahli partinya sendiri apabila Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Pulau Tikus Yap Soo Huey dalam The Malaysian Insider bertarikh 5 Mac 2014 sebagai berkata bahawa sistem pengangkutan awam negeri yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut ini serta tiadanya keperluan terowong berkenaan pada masa kini dan mungkin hanya akan diperlukan pada tahun 2030 nanti.

*Masa Depan Pulau Pinang Di Bawah DAP*

Jika sebelum ini kerajaan negeri DAP Pulau Pinang terkenal dengan skandal penjualan tanah negeri semata-mata untuk menguruskan ekonomi negeri maka kini skandal projek terowong dasar laut ini pula memalit integriti, ketelusan serta akauntabiliti kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng ini.

Mengandaikan bahawa masalah kesesakan lalu lintas akan berakhir sepenuhnya dengan pelaksanaan projek ini adalah sesuatu yang amat meragukan malah persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh NGO sivil masyarakat seperti CAP dan SAM adalah petanda betapa projek ini cukup berbahaya dan malapetaka sedang menanti rakyat Pulau Pinang.

http://blog2-barisan.blogspot.my/2016/05/taipingmali-tm_11.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...