MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa Anggota Parlimen DAP yang mempertikaikan usul yang dibawanya mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat semalam adalah tidak beradab dan ingin memusuhi Islam.
Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang menegaskan tindakan DAP yang terus melenting sebaik usul itu dibentang semalam menunjukkan sifat mereka yang biadab dan anti Islam.
Sedangkan katanya, terdapat parti bukan Islam seperti MCA, Gerakan dan MIC juga kadangkala tidak bersetuju dengan agenda orang Islam namun mereka lebih tertib dan beradab jika mereka tidak bersetuju dengan hal berkenaan.
"DAP telah menunjukkan sikap anti Islamnya. DAP tidak ada adab dan dia terus melenting dan menentang (usul berkenaan). Pada hal usul ini tidak berkait dengan orang bukan Islam pun.
"Saya turut kesal dengan PAN (Parti Amanah Negara) yang digunakan DAP dalam hal ini kerana telah melanggar sempadan agama sendiri demi kepentingan politik," katanya kepada pemberita di pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia di sini, Jumaat.
Semalam Abdul Hadi membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat dengan tujuan memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
Dalam rang undang-undang ahli persendirian yang kali pertama dalam sejarah dibentangkan oleh wakil pembangkang itu, Abdul Hadi mencadangkan supaya Seksyen 2 rang undang-undang berkenaan digantikan dengan seksyen baharu.
Dengan pindaan itu, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan.
Bagaimanapun, sebelum ia dibentang oleh Abdul Hadi, beberapa wakil pembangkang termasuk Anthony Loke (DAP-Seremban), Teresa Kok (DAP-Seputeh), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Khalid Abdul Samad (PAN-Shah Alam) dan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) bangkit untuk mempertikaikan mengapa usul yang dibawa Abdul Hadi itu didahulukan sedangkan ia berada di kedudukan ke-15 atau terakhir dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat semalam.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia seterusnya membenarkan ia dibentang atas budi bicara beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ditanya adakah tindakan membentangkan usul tersebut sebagai gimik politik menjelang pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Abdul Hadi berkata ia tidak ada kena mengena dengan politik.
Abdul Hadi berkata ini bukan kali pertama usul itu dibentang kerana beliau pernah membawanya ke Parlimen sebelum ini.
"Kalau ini satu gimik politik sudah tentu ia akan menakutkan PAS sebab mungkin akan kehilangan undi orang bukan Islam.
"Tetapi ini tidak ada kaitan dengan pilihan raya sebab ia pernah dibawa ke Parlimen pada tahun 1995 dan seingat saya titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pernah menyatakan perlunya peranan Mahkamah Syariah dimartabatkan," jelasnya.-- Bernama
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/05/dap-mahu-memusuhi-islam-hadi-awang.html
No comments:
Post a Comment