Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Wednesday, 11 May 2016

KEJATUHAN ERA MAHATHIR MOHAMAD DAN KESELESUAN NASIONALISME, SATU PELUANG KEEMASAN JANGKA PANJANG



Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan Nasionalisme sebagai perasaan cinta kepada bangsa yang mendalam. Takrifan lain juga berbunyi sebuah pergerakan untuk mencapai kebebasan ekonomi dan politik daripada kuasa asing. Saya tanpa ragu-ragu menyatakan pendirian bahawa bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad sebagai antara pelopor utama semangat nasionalisme di dalam negara menjelang era selepas kemerdekaan.

Dalam kita menilai perjalanan perlaksanaan agenda nasionalisme tersebut, perlu juga untuk disemak bagaimana segalanya bermula. Pemikiran beliau pada peringkat awal banyak terkandung di dalam penulisan Dilema Melayu, yang ditulis selepas beliau dipecat oleh pimpinan parti beliau, United Malay National Organisation UMNO berikutan perbezaan pendapat beliau terhadap Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Buku tersebut menerangkan beberapa elemen penting yang membentuk corak pemikiran nasionalisme beliau. Ia bermula daripada elemen yang berkait dengan penindasan British dan Jepun terhadap kaum Melayu, sehinga kepada kegagalan masyarakat Melayu dalam membangunkan ekonomi di bumi mereka sendiri. Beliau turut mengenengahkan akan sentimen kompleks rasa rendah diri dalam kalangan masyarakat Melayu apabila berhadapan dengan masyarakat bangsa lain.

Pada masa yang sama, perjuangan nasionalisme yang dibawa oleh Mahathir Mohamad tidak hanya berasaskan penguasaan terhadap kuasa mutlak semata-mata – kuasa politik. Walaupun beliau ada menyatakan akan kepentingan untuk satu kuasa yang bersatu padu dalam menentang penjajah dan ahli masyarakat yang menindas, beliau turut mengutarakan akan kepentingan untuk membentuk satu revolusi pemikiran yang ‘tidak bertentangan dengan agama dan pandangan feudal masyarakat Melayu’.

Pemikiran ini, seterusnya dijunjung beliau sepanjang tempoh penguasaan politik negara melalui perlaksanaan polisi-polisi yang pro-nasionalisme serta pembentukan sumber-sumber manusia Melayu elit untuk diposisikan ke dalam agensi-agensi swasta dan kerajaan. Dan ini dibuktikan melalui usaha beliau dalam memposisikan tokoh-tokoh Melayu pakar ke dalam institusi-insitusi awam yang berpengaruh.

Nama-nama seperti Tun Ahmad Sarji (Kini Pengerusi Pemodalan Nasional Berhad PNB) yang merupakan seorang ahli diplomat graduan Harvard dilantik beliau sebagai pegawai kanan beliau dalam pengurusan sektor kerajaan melalui portfolio Ketua Setiausaha Negara. Dr. Mahathir turut memposisikan Dr Zeti Akhtar Aziz yang pada ketika itu masih menjadi pegawai bank, sebagai Gabenor Bank Negara. Zeti melalui penulisan Wong Sulong, disifatkan Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang ahli ekonomi muda yang kompeten, dan mampu menjawab pelbagai soalan ekonomi yang dilontarkan beliau ketika negara berhadapan dengan Krisis Ekonomi 1998.

Pakar kewangan seperti Tan Sri Nor Mohamed Yaakop, yang berangkat ke Argentina sebaik sahaja dipanggil Mahathir Mohamad selepas beliau mendengar kejatuhan matawang di Thailand turut dijawatkan sebagai Penasihat Kewangan Perdana Menteri seterusnya dilantik sebagai Menteri Kewangan di akhir tahun-tahun politik beliau. Tan Sri Dr Robaayah, seorang konsultant kardiologi pula dilantik beliau sebagai Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN). Robaayah adalah antara individu penting yang menjalankan prosedur Percutaneous Intervention (PCI) di saat Dr. Mahathir diserang penyakit jantung. Dr Mazlan Othman pula adalah saintis astronomi wanita pertama di Malaysa, diangkat beliau sebagai pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa). Pelbagai lagi nama lain tidak disebut.

Hasil tindakan-tindakan memposisikan bakat-bakat ini terus mengukuhkan kedudukan negara sebagai sebuah negara bergelar Islam yang maju, yang berkembang di bawah payung ideologi nasionalisme. Walaupun politik di dalam parti yang terbesar itu cukup berkecamuk, namun negara masih mampu untuk berdiri teguh hasil daripada tindakan awal Dr. Mahathir dalam meletakkan bakat tersendiri pada tempat yang tersendiri, dan pada waktu yang terbaik.

Namun seperti sejarah yang kian berulang, mana-mana ideologi tidak akan bertahan lama. Sama seperti nasionalisme, hanya mereka yang benar-benar cintakan bangsa, dan benar-benar menghayati dan berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah bangsa sahaja akan mampu untuk bertindak dalam menjaga ideologi tersebut daripada tumbang. Namun penulis berkeyakinan bahawa zaman ideologi nasionalisme yang sempit tersebut sudah hampir menemui penghujungnya.

Pemimpin-pemimpin nasionalis kini dilihat tidak mampu untuk menjungjung semangat ideologi tersebut sebagaimana yang dijunjung oleh bekas perdana menteri. Anak-anak bangsawan kini menjadi pemimpin, kurang kefahaman terhadap ideologi yang dibawa, di samping penguasaan yang lemah di dalam kefahaman Islam yang juga menjadi salah satu daripada laungan mereka. Mereka turut bergantung harap kepada institusi-institusi awam untuk menegakkan perjuangan bangsa tanpa semangat yang membara di dalam diri, sudah pasti akan membawa kepada kejatuhan nasionalisme di dalam negara.

Namun untuk mengganti ideologi tersebut memerlukan satu lagi kuasa yang berkeupayaan untuk menggantinya, mungkin yang lebih baik. Ideologi Islam moden yang dibawa oleh Parti Islam Malaysia, pada hemat penulis, mempunyai potensi yang cukup besar namun masih muda serta memerlukan keutuhan tenaga, bakat, ahli-ahli strategi dan bilangan ilmuan yang menjadi pemimpin yang mencukupi. Selain turut memfokuskan kepada pembangunan masyarakat Melayu miskin, polisi-polisi utama ia sudah tentu akan turut membantu dan melindungi kepentingan masyarakat bukan Islam – kerana Islam mengajar sedemikian.

Islam dahulu, nasionalisme dipayunginya. Sama seperti apa yang diutarakan oleh Dr Yusof Qardhawi berkenaan nasionalisme di dalam risalahnya.

Jika kesemua kriteria-kriteria ini mampu dicapai, dibantu pula dengan kefahaman terhadap ideologi Islam yang baik dalam kalangan ahli – maka Pas pasti akan mampu menerajui negara dengan cemerlang. Penulis berpendapat bahawa Pas perlu segera mencari bakat-bakat baru di luar sana, sama ada dengan memberi dakwah kepada golongan elit untuk menyertai perjuangannya, atau pun membentuk pasukannya yang tersendiri – dibina dengan ilmu-ilmu tinggi sains – ekonomi – teknologi – pengurusan – kesemuanya dililit dengan keutuhan ilmu Islam – sudah tentu akan membentuk satu paradigma pandangan baru daripada masyarakat terhadap kesyumulan dan ketangkasan Pas sebagai kuasa baru peneraju negara yang berhemah terhadap prinsip laungannya.

Penulis merupakan pelajar yang sedang menuntut di UK. Dengan strategi yang betul dan memposisikan profesional yang ada di dalam parti dengan sebaiknya, beliau melihat PAS berpotensi menjadi pemacu politik negara ke arah Malaysia yang sejahtera di masa hadapan.

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/05/kejatuhan-era-mahathir-mohamad-dan.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...