KUALA LUMPUR, Jumaat – Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini menghormati perasaan anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter AS350 di Sarawak, petang semalam.
Beliau berkata, tindakan segelintir pihak yang ‘bercakap-cakap’ dan mempermainkan isu insiden berkenaan dalam laman sosial merupakan satu tindakan tidak wajar.
“Ia tidak ada kena mengena dengan apa-apa peristiwa pun. Sesiapa yang telah sampai ajalnya akan mati tanpa sebab atau dengan pelbagai sebab yang tidak diduga.
“Ajal dan maut di tangan tuhan dan semua pihak perlu menerima dengan reda tanpa ada cakap-cakap,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai memberi teguran kepada pengguna Internet (netizen) yang memberi komen negatif mengenai insiden helikopter itu dengan ada dalam kalangan mereka yang menyifatkan kemalangan itu sebagai wayang.
Helikopter berkenaan berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching dan kali terakhir berhubung dengan menara kawalan pada 4.15 petang, setelah tiga minit berlepas.
Serpihan helikopter yang dinaiki enam orang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohamad Khairil ditemukan pagi ini.
Mayat Noriah dijumpai pasukan penyelamat mencari helikopter di tebing sungai Batang Lupar, tengah hari tadi.
Penumpang lain yang berada dalam helikopter tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, suami kepada Datuk Noriah Kasnon, Asmuni Abdullah dan pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. – Bernama
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/05/mufti-nasihat-hormati-perasaan-keluarga.html
No comments:
Post a Comment