KUALA LUMPUR 26 Mei - Melihat penderitaan yang dihadapi Yazit Ahmad, 54, Wings melalui vokalisnya, Awie, menyatakan hasrat mengumpul dana untuk membantu pemain drum kumpulan Search tersebut.
Kata Awie, melalui perbincangan awal dengan salah seorang anggota kumpulan Wings, Iaitu Joe, mereka sudah membayangkan persembahan itu akan disertai beberapa pelawak tempatan.
"Kita tahu bagaimana sepanjang berpuluh tahun Yazit berada dalam industri dia berjaya menghiburkan kita. Jadi ini antara usaha kami untuk membantunya.
"Selain Wings, antara idea lain kami ialah mengumpulkan pelawak di atas pentas yang sama untuk persembahan ini," katanya.
Masih dalam proses perbincangan, katanya, dengan usaha ini harapnya mereka dapat membantu meringankan beban Yazit yang kini menghidap penyakit buah pinggang.
"Saya tidak berani janji bila akan kami laksanakan persembahan ini. Sebab masih dalam proses perbincangan.
"Namun memang Wings juga sudah bersetuju untuk membantu rakan kami ini, iaitu Yazit yang sedang berada dalam kesusahan," katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran produk Royal Glow, di Damansara, Selangor.
Sementara itu bercakap mengenai kemelut yang melanda kumpulan Search, Awie berharap agar kumpulan ini kembali berbincang demi kebaikkan semua pihak.
"Saya cadangkan mereka duduk berbincang. Selesaikan perkara ini dengan baik. Beri kembali hak Yazit, seperti yang didakwa.
"Dalam saat ini ketepikan kepentingan lain, ingat kembali apa yang mereka sudah lalui sepanjang bersama," katanya yang turut berjanji untuk menjaga hubungan antara dia dan ahli kumpulan Wings yang lain. - UTUSAN ONLINE
http://blog2-barisan.blogspot.my/2016/05/berani-membuat-pilihan_26.html
No comments:
Post a Comment