Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday 19 June 2016

Antara ego dan takbur, ke mana haluan PAS selepas ini...



Nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK)  Sungai Besar dan  Kuala Kangsar bukan untuk ahli serta pemimpin parti itu bersikap ego dan takbur, memang wajar.

Walaupun, Budiman Mohd Zohdi dan Mastura Mohd Yazid menang dengan majoriti 9,191 undi dan 6,969 undi, ianya bukan jaminan bahawa BN boleh menang selesa pada pilihan raya umum ke 14, dua tahun lagi.

Ini kerana sumbangan majoriti di luar jangka itu adalah berikutan perpecahan dikalangan parti pembangkang terutama PAS dan Parti Amanah Negara (PAN).

Bayangkan, jika pembangkang masih sepakat dan hanya salah satu daripada parti yang bertanding, BN tidak mungkin dapat menikmati kemenangan besar sama ada di Parlimen Sungai Besar mahupun Kuala Kangsar.

Keputusan dua PRK itu tentu akan membuka mata dan fikiran kepada PAS, PAN, PKR dan DAP bahawa jika mereka tidak berada bersama-sama di dalam Pakatan Harapan (PH) ketika PRU 14 14 nanti, BN tentu menang lebih selesa termasuk memperolehi majoriti dua pertiga kerusi parlimen.

Bagi pembangkang, mereka sudah menduga kekalahan calon PAS dan PAN tetapi majoriti yang bertambah berbanding hanya 399 undi di Sungai Besar dan 1,083 di Kuala Kangsar pada PRU ke 13 lalu tentu sedikit sebanyak mengejutkan mereka.

Ini akan menimbulkan soalan adakah parti-parti pembangkang akan terus bertelagah atau bersatu bagi berdepan BN pada masa akan datang.

Cuba bayangkan, jika mereka bersatu dan hanya satu parti bertanding pada dua PRK semalam, Budiman mungkin hanya mendapat majoriti kira-kira 2,288 undi setelah undinya ditolak dengan undi calon PAN Azhar Abdul Shukur dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman.

Untuk rekod Budiman memperolehi 16,800 undi, Azhar (7,609) dan Dr Rani (6,902).

Begitu juga di Kuala Kangsar. Mastura mungkin hanya memperolehi majoriti 2,086 jika hanya berdepan satu calon pembangkang sama ada mewakili PAS mahupun PAN.

Mastura memperolehi 12,653 undi manakala calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad ( 5,684), calon PAN Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan caln Bebas , Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 54 undi.

PH dan PAS tentu akan memikirkan perkara ini dengan mendalam sebagai persediaan berdepan PRU ke 14 kelak.

PAKATAN HARAPAN paling menarik untuk dibincang adalah kedudukan PAS sama ada parti itu bersedia berada di dalam PH selepas ini.

PAS mungkin tidak ada masalah dengan PKR tetapi bolehkah parti itu mengenggam erat tangan DAP dan parti serpihan PAN yang telah membuktikan mereka juga hebat apabila calon mereka mengatasi PAS di Sungai Besar.

Jika pun PAS menerima pelawaan bersatu di dalam PH dengan alasan kononnya mahu menumbangkan kerajaan BN, parti itu mungkin tidak akan mendapat agihan kerusi yang adil sama seperti ketika berada di dalam Pakatan Rakyat (PR).

PAN tentu akan menuntut bilangan kerusi yang lebih besar berbanding PAS kerana mereka terlebih dahulu menyertai PH.

Inilah bakal menjadi masalah besar kepada PAS.

PAS juga perlu ingat  tidak mustahil PAN akan bertanding besar-besar di Kelantan – negeri yang ditadbir PAS sejak berpuluh tahun lalu.

Dengan sokongan PKR, tidak mustahil PH boleh melakukan kejutan sekiranya BN tidak mendapat manfaat daripada pertembungan tiga penjuru yang bakal berlaku kelak.     .

Sudah tentu PAS perlu memikirkan pilihan lain yang parti itu ada.

PAS boleh bersendirian berdepan PH dan BN pada pilihan raya akan datang.

Namun, tidak salah PAS memikirkan untuk bekerjaama dengan UMNO dan BN seperti dihasrati banyak pihak demi penyatuan Melayu dan keteguhan agama Islam.

Bagaimanapun, PAS juga tidak bleh takbur atau ego mendakwa parti itu hebat berbanding UMNO dan perlu diberi layanan istimewa jika kerjasama itu terjalin.

Perlu diingat pada PRU lalu, PAS hanya menang 23 kerusi parlimen manakala UMNO menambah bilangan kepada 88 kerusi daripada 80 sebelumnya.

Dengan tiada lagi PRK selepas ini, semua parti di negara ini tentu mempunyai masa memikirkan senjata paling ampuh berdepan PRU ke 14 dan bagi komponen BN, pesanan Najib yang juga Pengerusi BN supaya pemimpin parti tidak ego dan takbur harus dihayati dengan mendalam.

http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/antara-ego-dan-takbur-ke-mana-haluan.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...