Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Wednesday 1 June 2016

Bangunan Freemason di...

Bangunan Freemason di Bukit Jalil legasi Raja Haji di Cyberjaya dan Masjid Besi di Putrajaya

Meneruskan gerak penceritaan yang mesti dilunaskan malam ini juga. Bersambung daripada Jadi 'Chef Wan' di Bentong sebelum mencari jejak Dato' Bahaman di Lanchang.


Esoknya tengah hari Ahad 29 Mei 2016. Saya dan isteri membawa dua orang anak kecil kami ke satu majlis di Bukit Jalil.




Ia adalah majlis kesyukuran dan hari terbuka bagi sebuah yayasan Islam. Difahamkan bangunan untuk yayasan baru siap dibuka dalam tempoh sebulan dua. Yayasan diterajui oleh seorang bapa saudara saya yang agak terkenal di seluruh Malaysia kerana usaha dan kepakarannya dalam bidang tertentu. Majlis diadakan seiring dengan qeqah seorang anak buah saya. 



Bila dah berlegar cukup lama dan berbual dengan beberapa orang saya dapat tahu yayasan ini baru ditubuhkan sekitar 2 tahun lalu untuk menggantikan sebuah yayasan terdahulu. Yayasan lama didirikan sekitar 25-30 tahun lalu dengan tujuan mahu mendirikan hospital Islam pertama di Malaysia. Seketika itu juga saya teringat beberapa perkara yang sudah lama dilupakan. Disebabkan terdapat ramai ahli pengarah syarikat bawahan tidak jujur dan amanah menjalankan kerja projek tersebut gagal. 

Pada tahun 2002 saya telah dibawa masuk oleh bapa saudara untuk cuba menghidupkan kembali yayasan. Tetapi apabila mendapati ada pihak berkaitan yang rapat dengan golongan pentadbira tertinggi negara masih ingin cuba mengambil kesempatan atas yayasan saya pun keluar setelah 3 bulan bersama. Ah. Mengingatkan hal ini saya rasa sedih sebenarnya. Saya rasa sedih lagi apabila melihat bangunan yang baru siap tersepit di celah beberapa bangunan kondominium tinggi.



Kenapa saya rasa sedih, dan amat kecewa juga? Kerana sebagai pegawai pentadbir yayasan walaupun selama 3 bulan saya dapat melihat begitu banyak pembaziran dan penyelewengan berlaku. Bapa saudara saya yang merupakan salah satu pengarah tertinggi yayasan terlalu sibuk dengan bidang profesyional dia... dia nampaknya tidak dapat memantau segala perkembangan. Atau mungkin juga dia tidak dapat memantau kerana 2 pengarah tertinggi lain yang merupakan orang-orang kuat politik negara telah mengaburi pandangannya. Saya rasa itulah yang telah berlaku, Dahulu saya ada access atau capaian kepada segala dokumen yayasan, sekurang-kurangnya apa yang boleh dicapai setelah projek hospital Islam lama gagal lalu kelihatan seperti mahu dilupakan. Saya akan cerita apa yang saya boleh ingat terus daripada fikiran. Mungkin akan ada sedikit kesilapan fakta daripada segi nombor dan nilai.



Seingat saya yayasan dimulakan tahun 1980an, tak pun awal 1990an dengan diberi suntikan dana awal sebanyak RM1 juta oleh kerajaan. Kemudian ada lagi sumbangan daripada beberapa pihak menjadikan jumlah dana bertambah menjadi RM4 juta. Kerajaan juga menganugerahkan sekeping tanah yang luas. Ingatan saya menyebut 17 ekar. Tetapi seorang hadirin majlis memberitahu ia adalah 12 ekar. Ketika itu Bukit Jalil belum lagi dimajukan, kalau tak salah masih tanah hutan dan ladang. Bila saya memegang teraju pentadbiran sudah banyak bangunan didirikan di sekitar termasuk kompleks stadium dan sukan yang didirikan untuk Sukan Komanwel KL tahun 2001.

Sebagai pentadbir tugas pertama saya adalah mendapatkan kembali segala maklumat, akaun kira-kira, bank dan sebagainya kemudian merangka sesuatu untuk menjana pendapatan baru. Ketika mengkaji maklumat inilah saya dapati dana awal banyak dihabiskan untuk kerja-kerja atas kertas yang nampaknya diberikan sebut harga melampaui nilai kerja sebenar. Ini termasuk harga untuk membuat pelan hospital, membuat penilaian tanah juga kos menjalankan beberapa syarikat bawahan. Lembaga pengarah syarikat diberikan gaji yang bukan-bukan tinggi malah saya pasti tercatat dalam dokumen perjanjian pekerjaan bahawa setiap tahun mereka boleh membawa keluarga melancong ke luar negara dengan dibiayai oleh syarikat. Sedangkan duit syarikat pula datang daripada dana yayasan kerana ia belum dapat menjana apa-apa lagi pendapatan, sekadar menunggu (kononnya) hospital Islam yang dirancang dapat didirikan...


Kalau tak salah ingatan yayasan memiliki 3 atau 4 akaun bank apabila saya membuat siasatan. Campur semua jumlah yang tinggal ada le RM20,000 aje berbanding berjuta yang pernah dipegang yayasan. Duit itulah yang digunakan untuk membayar gaji bulanan saya sebanyak RM2,000. tak banyak malah terlalu sedikit berbanding kelulusan yang dimiliki, ijazah kepujian dalam bidang Matematik daripada University College of London, salah satu universiti terbaik di dunia selain pengalaman menjadi wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times 1996-2001. Tapi saya ambil kerja ini atas saranan bapa saudara dengan niat mahu menaikkan kembali yayasan, Dan kalau boleh mahu menghidupkan kembali impian beliau mendirikan sebuah hospital yang dianggap betul-betul berkonsepkan Islam.

Sebaliknya saya dapati diri saya cuba 'digesel' oleh pihak berkepentingan yang ada hubungan dengan pengarah tertinggi lain yayasan. Saya mahu dipujuk untuk membenarkan transaksi yang saya lihat akan menyebabkan tanah 12 ekar jatuh ke tangan pihak tersebut, kononnya mahu membuat pembangunan komersial yang menguntungkan yaysan juga pihaknya ala-ala win-win situation. Sedangkan daripada awal transaksi mahu dibuat mereka menggunakan penilaian tanah yang sangat rendah berbanding harga semasa pasaran diikuti timbal balik kos yang tidak memadai (mereka dapat mendirikan kondominium dan menjual pada harga ekslusif, kami cuma dapat dewan serbaguna yang didirikan pihak mereka, lebih kurang begitu yang saya ingat). Saya megadukan hal ini kepada bapa saudara tetapi beliau menganggap saya yang silap menilai keadaan, Setelah beberapa lama saya membuat keputusan untuk berhenti kerja. Ini kerana saya tidak setuju dengan apa yang berlaku. Dan saya lihat kalau saya menandatangani apa-apa dokumen membenarkan transaksi sebegitu diteruskan, ada kemungkinan saya akan dikambing-hitamkan atas tuduhan salah laku pentadbiran jika perkara ini terdedah sehingga disiasat oleh pihak berkuasa...


Sekarang cuba bayangkan perasaan saya apabila menghadiri majlis yang diadakan oleh yayasan baru. Diakui saya ada rasa gembira melihat yayasan yang setahu saya sudah lama seperti mati akibat ada tangan--tangan keji dapat dihidupkan kembali walau atas nama baru sejak 2 tahun lalu. Dan setelah beberapa lama, setelah 20-30 tahun didirikan ia akhirnya memilki bangunan sendiri walau tidak tercapai impian asal untuk mendirikan hospital Islam. Tetapi apabila melihat saiz bangunan 2 tingkat dalam kawasan yang pada anggaran saya seluas 1/2 ekar sahaja dihimpit bangunan-bangunan kondominium tinggi saya jadi kecewa. Ini kerana saya pasti bangunan-bangunan yang menenggelamkan dewan yayasan itu didirikan atas tanah seluas belasan ekar yang pernah dimiliki yayasan lama.

Dalam perjalanan ke dewan saya dan isteri terlihat bangunan pusat Freemason sekitar 50 meter sahaja daripada bangunan baru yayasan. Selesai majlis saya pun pergi meneliti lebih dekat. Ah. Inilah bangunan Freemason yang saya lihat ada disebut beberapa orang telah didirikan di Bukit Jalil lalu menerbitkan persoalan besar siapakah atau bagaimanakah ia boleh dibenarkan didirikan di sini. Sedangkan ramai tahu Freemason adalah satu badan yang terkait dengan gerakan Yahudi Zionis Illuminati lalu anti-Islam. Yang membuat saya lebih kecewa ada hadirin yang tahu sedikit selok belok yayasan lama memberitahu bahawa tanah yayasan menjangkau hingga ke stesyen LRT yang terletak ke belakang bangunan Freemason ini. Bermakna banguan yang terletak antara dewan yayasan baru dengan stesyen mestilah terletak dalam tanah yang dahulu dimiliki yayasan!


Bayangkan apa perasaan saya ketika mengetahui ini. Bahawa tanah seluas belasan ekar yang dianugerahkan oleh kerajaan 20-30 tahun bukan sahaja gagal diterjemahkan menjadi hospital Islam pertama di Malaysia seperti diimpikan bapa saudara saya sejak sekian lama... ia didominasi kondominium-kondominium mewah komersial malah boleh pula didirikan pusat Freemason begitu dekat dengan dewan. Bagaimana boleh jadi begini? Siapakah yang memberikan kelulusan, jalan untuk ia berlaku? Sebagai anak saudara kepada seorang pengarah tertinggi mungkin saya kelihatn berat sebelah kalau menyatakan beliau tidak terlibat langsung, tidak tahu menahu atau telah dikaburkan oleh pihak lain. Saya kenal beliau sejak kecil, beliau pernah menjaga saya ketika bayi dan ketika saya hampir-hampir mati akibat sakit kuning teruk selepas lahir tak cukup sebulan. Berdasarkan pengalaman beberapa kali turun naik ke satu tingkat teratas Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semasa menjadi pentadbir yayasan lama walau setakat selama 3 bulan saya rasa boleh meneka. Cuma tiada bukti. Nak sebut lagi pun cuma buat sakit hati kerana ramai pun tahu begitulah realiti keadaan peringkat atasan dunia politik di Malaysia.


Lupakan hal yayasan dan Freemason. Daripada Bukit Jalil kami ke kawasan Puchong lama untuk menziarahi abang kandung isteri yang sedang menerima rawatan di sebuah klinik. Oleh kerana sudah dekat ke Putrajaya kami kemudian menghala ke sana untuk berjalan-jalan. Terlihat nombor plet kereta ini teringat bahawa ketika itu sudah terdapat 1,441 artikel di blogspot ini. Lihat artikel Nisfu Syaaban di Pulau Besar - Ujian babi hutan dan jejak kesyahidan Raja Haji yang dipersembahkan 5 hari lalu. Terasa kemunculan nombor mahu menunjukkan sesuatu yang berkaitan dengan artikel tersebut.


Daripada Puchong kami main agak je jalan. Masuk ke Maju Expressway ke hapa dengan niat  mahu ke Masjid Besi di Putrajaya. Terlihat pula papan tanda ke Cyberjaya, teringat Masjid Raja Haji di sana. Oleh kerana isteri dan anak-anak belum sampai saya pun mengajak mereka singgah. Bila dah sampai terbetik dalam fikiran. Agaknya inilah sebab ternampak nombor 1441 pada plet kereta tadi. Lihat sahaja bahagian akhir tajuk Nisfu Syaaban di Pulau Besar - Ujian babi hutan dan jejak kesyahidan Raja Haji yang merupakan artikel ke 1,441 di blogspot ini. Kan ada sebut pasal Raja Haji?


Nampaknya memang ada sesuatu yang tersurat dan tersirat tentang ini. Untuk pengetahuan ini adalah kali ke-3 saya bertandang ke masjid ini, tetapi kali pertama membawa isteri dan anak-anak. Menariknya kali pertama saya sampai adalah dalam rangka perjalanan untuk masuk ke Pulau Besar di Melaka bersama seorang kawan dan anak-anaknya. Lihat artikel Menyahut panggilan pulau yang dipersembahkan 13 November tahun lepas. Kali kedua pula adalah untuk majlis memperingati nama besar pahlawan Bugis-Melayu  yang namanya diabadikan pada masjid iaitu baru sebulan lebih lalu. Lihat Majlis hol almarhum Raja Haji di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya. Kini saya datang bersama isteri dan anak-anak setelah seminggu keluar dari Pulau Besar, satu lawatan terbaru ke pulau keramat tersebut yang diikuti pula usaha untuk mencari makam lama asal;/tempat Raja Haji gugur ketika menentang Belanda di Melaka lebih 200 tahun yang lampau. Terasa seperti ada semangat kepahlawanan terserap ketika bertafakur selepas solat.

Maklumat tentang Raja Haji yang terdapat di bahagian belakang masjid. Lihat Bringing the family to Raja Haji mosque in Cyberjaya.

Perjalanan diteruskan masuk ke Putrajaya.


Tengok-tengok terdapat kesesakan lalu lintas ketika masuk ke Presint 4 akibat ada pesta ke pameran apa. Hampir-hampir mahu berpatah balik, malas nak diteruskan.


Nasib baik lalu lintas sesak di kawasan tertentu sahaja. Dapatlah berpusing-pusing melihat pemandangan daripada beberapa kawasan lain.



Kami sampai ketika senja hampir menjelang, Pemandangan matahari hampir nak terbenam sangat cantik ketika itu.


Pemandangan menjadi lebih cantik ketika kami menghampiri Masjid Besi.


Kalau tidak kerana ada perkara harus dikejar di rumah malam itu mahu sahaja saya duduk bertafakur lama dalam masjid. Lihat Walking to Putrajaya's 'iron' mosque close to dusk.


Bila melangkah keluar daripada masjid kelihatan pula pelangi melengkung tinggi ke atas langit.


Ah. Ketika menulis artikel sampai ke bahagian ini terbetik dalam fikiran apakah ada kaitan dengan urutan peristiwa dan perasaan melibatkan apa yang berlaku sepanjang hari itu? Daripada rasa kekecewaan melihat keadaan pembangunan di tanah lama yayasan di Bukit Jalil dengan bangunan Freemason menonjol diikuti harapan semangat kepahlawanan yang muncul atas nama Raja Haji. Timbul rasa ketenangan amat di Masjid Besi, Putrajaya kemudian keluar pula pelangi berwarna-warni. Apakah ini petunjuk ke arah satu macam kesenangan setelah mengalami pelbagai macam kesulitan? Harapnya begitulah. Dengan ini selesailah gerak penulisan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan hujung minggu lalu. Bolehlah saya memberikan penumpuan pada satu acara yang dirasakan penting siang nanti sekitar 7 jam daripada sekarang...


Sumber tambahan koleksi-koleksi gambar dari facebook :-

Freemasons di Bukit Jalil, Malaysia. Mereka tidak lagi berselindung.


Gambar 1


Gambar 2


Gambar 3


Gambar 4

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...