SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz menyifatkan 'taring' penggerak Deklarasi Rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tercabut berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Sabtu lalu.
Secara sinis, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyarankan agar mantan Perdana Menteri itu menghabiskan masa dengan beribadah.
"Saya sarankan Tun Mahathir banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan kaabah.
"Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan almarhum ayahanda TGNA (Tok Guru Nik Aziz) telah berakhir.
"Jika Tun kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir sebelum ini sibuk berkempen menggunakan pentas Pakatan Harapan di kedua-dua parlimen itu bagi mengajak pengundi menyokong Deklarasi Rakyat dan menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Walaubagaimanapun, hasratnya yang mahu kedua-dua PRK itu menjadi referundum bagi rakyat menolak Najib dan pentadbiran BN, gagal berikutan kemenangan besar parti pemerintah itu.
Ramai pihak menyarankan agar tokoh itu berehat daripada terus memburukkan integriti dan reputasinya dengan menyerang Najib, antaranya bekas ketua hakim negara, pimpinan PAS lain dan pemimpin Umno.
Dalam pada itu mengulas mengenai prestasi PAS pada PRK itu, ujar Nik Abduh, ia adalah manifestasi awal kekuatan PAS selepas terkeluarnya anasir 'buruk' yang berusaha mengubah hala tuju perjuangan PAS, merujuk kepada bekas pemimpinnya yang menubuhkan parti baru, Parti Amanah Negara (PAN).
"Adakah 25 peratus sokongan bersih di kubu Umno untuk PAS itu kecil? Tidak. Itulah kekuatan tegar sokongan terhadap perjuangan Islam yang syumul di Malaysia.
"Itulah tuaian perjuangan yang disemai oleh para ulamak dan pejuang Islam sepanjang 65 tahun perjuangan PAS.
"Saya dan seluruh pemuda PAS bertekad melebarkan kesatuan dan muafakat umat ke arah cara hidup Islam yang benar. Kebatilan pastikan lebur.
"Itulah janji pemuda Islam untuk ayah dan ibu yang telah pergi meninggalkan kita dengan warisan perjuangan yang mulia," katanya lagi.
Pada PRK Sabtu lalu, PAS tewas di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Calon PAS di Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman memperoleh 6,902 undi dan berada di belakang PAN yang memperoleh 7,609 undi.
Manakala calon PAS di Kuala Kangsar, Dr Najihatussaleh Ahmad berjaya mengatasi undi PAN dengan memperoleh 5,684 undi.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/panasss-bn-menang-taring-tun-m-sudah.html
No comments:
Post a Comment