KUALA LUMPUR 22 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini akan mengundang banyak perkara negatif.
“Bersahabat baik dengan musuh Islam, kita akan jadi seperti mereka juga.
“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita balik mempertahankan syariat Islam dengan mengutamakan ukhuwah atau persaudaraan yang berteraskan kepada hukum-hukum syarak dan menjauhi diri daripada tindakan yang mengundang kemurkaan Allah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memberi amaran bahawa tindakan Dr. Mahathir bersekongkol dengan DAP dan PAN akan membawa kemudaratan lebih besar kepada orang Melayu.
Haron yang juga Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) berpandangan, Dr. Mahathir mungkin bersikap emosional kerana hasratnya untuk menukar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berjaya.
Beliau memberitahu, hasrat Dr. Mahathir sebelum ini dikatakan semuanya dapat dicapai.
“Apabila hasratnya untuk menukar Perdana Menteri tidak berhasil, maka semuanya telah berubah,” jelasnya.
Menurut Haron, sebagai seorang ahli politik veteran yang matang, Dr. Mahathir sepatutnya tahu apa yang beliau lakukan.
“Perjuangan untuk memartabatkan Islam melalui perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan Dr. Mahathir dalam umur yang begitu lanjut,” katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/dr-harun-din-sudah-bersuara-pada.html
No comments:
Post a Comment