Isu-isu besar yang dimainkan oleh pembangkang sebenarnya memakan diri sendiri sehingga menyebabkan mereka kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, kata pemimpin veteran Tun Musa Hitam.
Beliau berkata, isu-isu seperti 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang ‘dimainkan’ oleh pembangkang ketika berkempen pada PRK tidak memberi sebarang kesan kepada pengundi-pengundi dari kampung yang kebanyakannya tidak faham.
“Isu yang dibawa oleh BN pula sangat mudah, isu-isu ‘kampung’ seperti masalah jalan, sekolah, pendapatan dan pekerjaan membuatkan pengundi cepat faham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Festival Seni Yayasan Sime Darby yang diadakan selama dua hari bermula 20 Ogos ini secara percuma.
Mengulas lanjut, beliau sendiri tidak menjangka kemenangan luar biasa pada PRK kali ini terutamanya di saat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menyertai barisan pembangkang untuk berkempen.
“Saya melihat Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah kalah dalam perjuangannya sebelum ini. Kalau dia (Mahathir) turun pasti akan berjaya. Tetapi kali ini lain pula yang terjadi,” tambahnya.
Beliau memberitahu, hanya pasukan kuat dari segi kewangan dan bersatu seperti BN mampu untuk membangunkan serta membawa perubahan kepada negara.
“Pembangkang hanya berani cakap besar, seolah-olah indah rupa daripada berita,” katanya.
Terdahulu Musa yang juga Pengerusi Yayasan Sime Darby ketika berucap memberitahu, festival yang bertemakan Pendidikan Seni dan Masa Depan ini adalah gabungan persembahan artis-artis tempatan dan pelajar universiti di bawah bumbung yang sama.
Beliau yakin, festival ini dapat menjadi platform kepada artis-artis serta penggiat seni negara untuk menonjolkan hasil kerja serta melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/isu-besar-dimainkan-pembangkang-makan.html
No comments:
Post a Comment