SHAH ALAM: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal menjadi momentum kepada parti itu untuk terus menjadi kerajaan kelak, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Nizamuddin Sulaiman.
Ujarnya dalam keadaan pembangkang yang masih mengekalkan sikap berpecah-belah ini, maka tidak mustahil untuk BN meraih kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-14.
"Pengajaran pada pembangkang harus ambil iktibar bahawa mereka ini tidak bersatu maksudnya berpecah-pecah, jika keadaan ini berlaku pada PRU 14 ada kemungkinan dia boleh jadi macam itu (kemenangan kepada BN).
"Tetapi jika pada PRU 14 nanti mereka (pembangkang) muhasabah, hendak buat pakatan atau ada perbincangan satu lawan satu. Kita akan dapat lihat kesannya bagaimana pula (pada PRU 14 nanti)," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Keputusan PRK semalam menyaksikan BN mengekalkan kemenangan di kedua-dua kerusi dengan peningkatan majoriti ketara berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Di kerusi Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi apabila memperoleh 12,653 undi.
Balu kepada Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu menewaskan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad yang hanya memperoleh 5,684 undi, calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi).
Sementara itu, calon BN bagi kerusi Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menang dengan memperoleh 16,800 undi dengan majoriti 9,191 undi.
ADUN Sungai Panjang itu mengalahkan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang memperoleh 6,902 undi dan calon Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukor meraih 7,609 undi apabila mendapat .
Dalam pada itu, ketika ditanya kegagalan Tun Mahathir Mohamad mempengaruhi pengundi, Nizamuddin berpendapat bekas Perdana Menteri itu hanya fokus kepada isu bersifat nasional sekaligus tidak memberi kesan kepada pengundi yang lebih berminat dengan isu setempat.
"Kempen dia (Tun Mahathir) bukannya kepada tumpuan kempen Pilihan Raya. Tun lebih kepada isunya iaitu supaya Perdana Menteri ditukar dan ini satu isu yang bersifat nasional yang dibawa oleh gerakan itu (Deklarasi Rakyat) sebelum daripada PRK ini.
"Saya lihat undi ini memang nampak banyak kepada BN sebab saya katakan tadi kekuatan mereka (BN) lebih daripada parti lain yang memang banyak kurangnya kerana berpecah walaupun Tun Mahathir bantu mereka (PH) tetap banyak lagi kekurangan di dalam perkara-perkara tertentu," katanya lagi.
Sebelum ini, Mahathir bersama dalam kempen Pakatan Harapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan menggunakan pentas PAN yang mewakili gabungan pembangkang itu untuk menyeru rakyat menolak BN.
siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/dah-meroyan-dan-gelisah-jika.html
No comments:
Post a Comment