Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM660,000 kepada syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi kerana gagal mematuhi kualti perkhidmatan dan pendaftaran kad sim prabayar. SKMM dalam kenyataan hari ini berkata 12 kompaun berjumlah RM600,000 dikeluarkan untuk kesalahan ketidakpatuhan kepada ‘Guidelines On Registration of End-Users of Prepaid Public Cellular Services’ iaitu kegagalan membuat pengesahan maklumat pengguna akhir semasa pendaftaran kad sim prabayar.
Dua kompaun dikeluarkan kepada Maxis Mobile Services Sdn Bhd berjumlah RM100,000, lima kompaun masing-masing DiGi Telecommunications Sdn Bhd (RM250,000) dan Celcom Mobile Sdn Bhd (RM250,000). Setiap kompaun bernilai RM50,000. SKMM berkata ia juga mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM60,000 terhadap tiga syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi, dua syarikat Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (Mobile Virtual Network Operator) dan sebuah badan penyiar kerana kesalahan ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori mengenai kualiti perkhidmatan.
Bagi kesalahan itu, satu kompaun dikeluarkan kepada Celcom Axiata Bhd berjumlah RM20,000 manakala satu kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 kepada Red One Network Sdn Bhd, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Merchantrade Asia Sdn Bhd dan Husa Network Sdn Bhd. “Kawal selia SKMM terus bertumpu kepada kualiti perkhidmatan dan pendaftaran kad sim prabayar.
“Justeru itu, SKMM memandang serius kesalahan yang melibatkan pendaftaran kad sim prabayar dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap pemberi perkhidmatan atau pengedar yang gagal mematuhi kehendak Standard Mandatori dan Garis Panduan SKMM bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna dipelihara,” kata kenyataan itu. – Bernama
http://www.lulu-pages.com/2016/05/senarai-syarikat-telekomunikasi-yang-kena-kompaun-oleh-skmm.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Lulu-Pages+%28Lulu+pages%29
No comments:
Post a Comment