SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar menjadi topik perbualan di media sosial selepas didedahkan beliau menjadi pemandu Uber sebaik tempoh khidmatnya tamat baru-baru ini.
Persoalan yang bermain di fikiran sudah tentu kenapa bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank itu memilih untuk menjadi pemandu.
Melalui perkongsian kakak kepada Allahyarham Yasmin Ahmad, Datin Orked di Facebook, beliau mendedahkan pengakuan Abdul Wahid atas tindakannya itu.
“Ia adalah sesuatu yang saya ingin lakukan sejak awal, tetapi tidak dapat berbuat demikian sebagai seorang menteri. Malah ketika itu, kerajaan masih belum memutuskan tentang peraturan operasi perkhidmatan teksi Uber,” kata Wahid menerusi WhatsApp kepada Orked.
Menurut Wahid, ia merupakan inisiatif peribadinya sendiri untuk mendapat pengalaman sebagai seorang pemandu Uber serta merasai bebannya selain mempromosi kereta baharu Proton Perdana sebagai kereta eksekutif negara.
Katanya lagi, usahanya itu juga demi mengumpul dana untuk tujuan kebajikan yang bakal dikenal pasti.
“Setakat ini, saya mendapat ‘top up’ sebanyak 30 kali. Ini bermaksud, perjalanan dari Putrajaya ke KL Sentral yang berjumlah RM30 berjaya mendapat kutipan RM900 untuk kebajikan. Alhamdulillah,” katanya.
Abdul Wahid memberitahu beliau mendaftar sebagai pemandu Uber pada 16 Jun lalu dan sempat mengambil lapan penumpang pada hari Jumaat dari jam 9 pagi hingga 4 petang dan menyambungnya, pagi ini.
Melalui perkongsian seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Norizan Sharif memberitahu Abdul Wahid bakal menjadi pemandu Uber selama tiga hari sahaja sebelum menunaikan umrah di tanah suci.
Norizan yang sempat berbuka puasa dan menunaikan solat sunat terawih bersama Abdul Wahid semalam,berkata bekas menteri itu memberitahu keputusannya menjadi pemandu Uber itu sebagai cubaannya memahami denyut nadi rakyat.
Sebelum ini, salah seorang pengguna aplikasi Uber tersebut, Firdaus Fadzil berkongsi keterujaannya menaiki kenderaan yang dipandu bekas menteri itu di laman Facebook.
“Perjalanan ke pejabat dengan Uber dengan salah seorang maestro korporat dan ekonomi yang paling berjaya dengan Proton Perdana barunya,” tulis Firdaus pada sekeping gambarnya bersama Wahid di dalam kereta. - SH
http://celahgelegar.blogspot.my/2016/06/tan-sri-wahid-bekas-menteri-bn-jadi.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+celahgelegarblogspotcom+(CELAH+GELEGAR)
No comments:
Post a Comment