BN mampu mencatat kemenangan besar seperti di PRK kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sekiranya PRU diadakan lebih awal pada tahun depan.
Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, momentum yang tercetus daripada dua PRK itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meraih sokongan lebih besar dalam PRU14.
“Kebelakangan ini, ramai yang meramalkan BN akan kalah dalam PRU14. Di sebalik itu, BN mencatatkan kemenangan luar biasa dalam dua PRK lalu.
“Tentunya bukan mudah untuk BN peroleh kemenangan ini. Jadi kesempatan ini sepatutnya digunakan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan PRU14 dalam masa terdekat bagi mengekalkan momentum dua PRK ini,” katanya.
Namun, katanya, jentera BN tidak boleh cepat ‘khayal’ dengan kemenangan dalam dua PRK lalu itu sebaliknya perlu memantapkan gerak kerja mereka.
“Masalah dengan jentera BN ialah kadang-kadang mereka buat kerja, kadang-kadang tidak. Tetapi, di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, jentera yang turun memang terbaik. Jadi, mereka hanya perlu meneruskan kecemerlangan ini dan turun padang,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, faktor pembangkang yang masih berpecah memberi kelebihan kepada BN untuk mendapat sokongan rakyat.
“Apa yang penting kita kena berjaga-jaga dengan pembangkang. Jangan sesekali biarkan mereka bersatu. Kalau ambil contoh di dua PRK lalu, undi Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) memang tak boleh atasi BN. Tetapi kalau mereka bersatu, kedudukan BN mungkin agak goyah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, PRU14 tidak perlu diadakan lebih awal dan tergesa-gesa walaupun BN menang besar dalam dua PRK lepas.
Katanya, keputusan cemerlang BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan penanda aras sebenar kepada PRU14.
“Suasana PRK dan PRU sangat berbeza, misalnya dari segi jentera yang turun. Dalam PRK, seluruh tenaga jentera dapat ditumpukan di satu kawasan.
“Namun, dalam PRU setiap jentera perlu menjaga kawasan masing-masing. Jadi kita tidak boleh samakan PRK dengan PRK,” katanya.
Beliau berpendapat, lebih baik BN menggunakan baki 20 bulan yang tinggal sebelum PRU14 berlangsung untuk memperkemaskan jentera dan meminimakan masalah dalaman parti.
“Masih banyak lagi kerja yang kita perlu buat dalam tempoh ini. Bukan saja Umno, tetapi parti komponen lain pun ada masalah dalaman.,” katanya.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/06/veteren-umno-ramal-bn-menang-besar.html
No comments:
Post a Comment