SINGAPURA – Jika diberi pilihan, kebanyakan warga Singapura lebih cenderung terhadap seseorang daripada kaum yang sama dengan mereka untuk dipilih mengisi jawatan sebagai Perdana Menteri atau Presiden republik tersebut.
Itulah antara penemuan paling mengejutkan satu tinjauan serata negara terhadap seramai 2,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap mengenai pendapat mereka tentang hubungan antara empat kaum terbesar negara ini iaitu Cina, Melayu, India dan Lain-lain.
Tinjauan itu dijalankan oleh stesen Channel NewsAsia dengan kerjasama Institut Pengajian Dasar (IPS), merupakan kajian lapangan antara yang terbesar seumpamanya sekali gus membuktikan warga Singapura masih lagi tebal semangat perkauman masing-masing.
Menurut tinjauan itu, majoriti responden Cina iaitu 98 peratus hanya akan menerima seorang warga Singapura berbangsa Cina sebagai Perdana Menteri, sementara 96 peratus lebih cenderung terhadap seorang warga Singapura berbangsa Cina untuk menjadi Presiden.
Ramai responden Melayu juga mahu orang Melayu sebagai Perdana Menteri atau Presiden dengan 93 peratus yang ditinjau berkata mereka lebih cenderung terhadap seorang Melayu Singapura sebagai Perdana Menteri, sementara 94 peratus menerima Melayu sebagai Presiden.
Begitu juga dalam kalangan para responden berbangsa India apabila 89 peratus ditinjau akan menerima seorang warga Singapura yang berbangsa India sebagai Perdana Menteri manakala 92 peratus lagi menyatakan demikian bagi jawatan Presiden republik tersebut.
Kebanyakan responden dari tiga kaum bersedia menerima bangsa Cina bagi kedua-dua jawatan, dengan lebih 80 peratus Melayu, India dan Kaum Lain berkata mereka boleh menerima seorang warga Singapura yang berbangsa Cina sebagai Perdana Menteri dan Presiden.
Sedihnya sejumlah kecil responden berkata mereka akan menerima kaum minoriti bagi kedua-dua jawatan iaitu sekitar 60 peratus Cina, 75 peratus Melayu dan sekitar 68 peratus Kaum Lain berkata ‘ya’ kepada Perdana Menteri atau Presiden warga Singapura berbangsa India.
Bagi mengisi jawatan Perdana Menteri atau Presiden dalam kalangan warga Singapura berbangsa Melayu pula, tinjauan IPS mendapati hanya lebih separuh warga kaum Cina, masing-masing sekitar 70 peratus India dan sekitar 80 peratus Kaum Lain sanggup berkata ‘ya’.
Bagaimanapun responden yang usia lebih tua kurang berkemungkinan menyatakan mereka sanggup menerima seseorang daripada kaum lain untuk memegang dua jawatan tertinggi negara ini, menurut tinjauan tersebut lagi yang disiarkan agensi berita tempatan MediaCorp.
Dalam kalangan responden Cina berusia bawah 30 tahun, lebih 60 peratus daripada mereka akan menerima warga Singapura kaum Melayu sebagai Perdana Menteri atau Presiden, sementara lebih 70 peratus pula akan menerima warga Singapura yang berbangsa India.
Namun mereka berusia lebih 60 tahun, sekitar 40 hingga 42 peratus sedia menerima warga Singapura berbangsa Melayu, sementara antara 45 hingga 50 peratus akan menerima warga Singapura berbangsa India bagi mengisi dua jawatan itu.
http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/anda-nilaikan-lahpengundi-cina-enggan.html
No comments:
Post a Comment